Analisa RENTAKA - Keperluan pesawat MPA untuk TUDM

No photo description available.

Pada 16 April 2020, laman FB rasmi TUDM menyiarkan berita bahawa tindakan pantas sebuah pesawat C-130H milik TUDM dari No 20 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah mematahkan cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari memasuki perairan negara. Pesawat yang diterbangkan oleh Mej Faizul Hussein TUDM itu sedang melaksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya mengesan kehadiran sebuah bot PATI Rohingya dari memasuki perairan negara.


Seperti yang dijangka, kebanyakan laman FB Malaysia memberikan reaksi positif terhadap berita itu. Akan tetapi tidak banyak yang memberikan komen (atau kurang memberikan perhatian) terhadap pesawat yang digunakan untuk mengesan bot PATI tersebut. Seperti yang kita ketahui, pesawat MPA utama TUDM adalah Beechcraft B200T Super King Air. Biarpun telah berkhidmat sejak tahun 1990an, ia masih lagi gagah menabur bakti menjaga perairan negara sehingga sekarang. Sememangnya terdapat usaha- usaha untuk menggantikan pesawat MPA memandangkan perairan negara yang sememangnya luas memerlukan pelbagai cara untuk menjaga hasil mahsul laut negara dan juga realiti bahawa terdapat kawasan- kawasan perairan negara yang mula menjadi rebutan sehinggakan menjadi titik panas yang boleh merebak menjadi konflik terbuka. Walaupun begitu, diatas pelbagai faktor termasuklah faktor politik, perancangan tersebut masih belum kelihatan hasilnya. Malah perancangan TUDM untuk mengubah sebuah pesawat C235 menjadi pesawat MPA juga masih tidak nampak penghujungnya.

Pembaca setia Rentaka semestinya setia maklum bahawa Rentaka sentiasa konsisten dalam menyatakan bahawa betapa perlunya pesawat MPA untuk #TUDM dan diantara saranan Rentaka adalah samada membeli pesawat P-8 Poseidon atau SC-130J MPA atau mengubah suai sebuah C-130H TUDM bagi fungsi #MPA. Apapun pilihan kerajaan, pesawat MPA yang dipilih haruslah dilengkapi dengan penderia dan keupayaan terkini bagi membolehkan ia melakukan tugas dengan cemerlang.

TUDM pernah mengoperasikan pesawat rondaan maritim C-130H-MP (kemudian dikenali sebagai PC-130H). Sebanyak tiga buah pesawat ini dipesan dan pesawat terakhir telah sampai pada penghujung tahun 1980. PC-130H Hercules beroperasi sebagai pesawat MPA pada tahun 1980an dan 90an dan digelar sebagai “Camar”. Daripada segi fizikal, C-130H-MP/ PC-130H tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan C-130H biasa. Akan tetapi daripada segi peralatan, ia dilengkapi dengan tempat rehat bagi tim krew kedua, palet ramp yang boleh dipasang dengan pelancar suar dan kit menyelamat, sistem pembesar suara, stesen pemerhati di bahagian belakang pesawat, sistem kamera sasaran jenis Hasselblad yang diintegrasikan bersama dengan sistem navigasi pesawat, lampu spotlight pada sayap pesawat dan satu tingkap cembung pada kedua- dua belah pesawat untuk memudahkan pemerhatian dilakukan. Pesawat ini juga dilengkapi dengan radar jenis AN/APS-128B yang boleh mengesan snorkel kapal selam atau perahu kecil pada jarak 56km dalam keadaan laut Sea State 3. Pun begitu, pesawat ini masih boleh melakukan tugas pengangkutan seperti pesawat C-130 yang lain. Walaubagaimanapun PC-130H telah digantikan oleh pesawat B200T Super King Air. Sebuah dikonfigurasikan sebagai pesawat pengangkut manakala selebihnya telah diubahsuai kepada konfigurasi KC-130H.

Samada pesawat C-130H yang digunakan untuk mengesan bot PATI Rohingya tempohari sememangnya ditugaskan sebagai pesawat rondaan maritim secara khusus ataupun tugasan tersebut diberikan secara berdasarkan "aircraft availability", adalah tidak diketahui. Walaubagaimanapun ia menunjukkan sifat serba boleh atau versatility pesawat C-130 yang memungkinkannya untuk diubahsuai sebagai pesawat MPA samada secara khusus mahupun secara bidan terjun. Sebenarnya terdapat banyak pilihan ubahsuai yang ada di pasaran yang boleh dilakukan untuk mengubah pesawat C-130 untuk tugas rondaan maritim. Salah satu pilihan yang diminati oleh #Rentaka adalah apa yang dikenali sebagai Palletized Mission System atau Sistem Misi Berpalet. Sistem ini adalah merupakan palet-palet yang dipasang padanya stesen- stesen kerja bagi krew, lengkap dengan monitor, komputer, jaringan sistem komunikasi, sistem elektrikal serta apa yang diperlukan untuk melaksanakan rondaan maritim termasuklah tempat rehat krew serta pantri kecil untuk penyediaan makanan/ minuman serta tandas. Apa yang menarik, palet- palet ini hanya perlu ditolak masuk ke dalam perut pesawat dan dipasang kepada sistem elektrikal dan sistem penderia pesawat dan pesawat boleh bertukar fungsi kepada pesawat rondaan maritim. Begitu juga sebaliknya jika pesawat diperlukan untuk tugas lain seperti tugas mengangkut misalnya. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menanggalkan sistem elektrikal dan sistem penderia pesawat dan seterusnya menarik palet- palet tadi keluar daripada perut pesawat. Bagi sistem penderia yang diperlukan dalam misi rondaan maritim seperti sistem penderia elektro-optik mahupun radar bukaan sintetik, ia boleh dipasang secara terus pada pesawat dengan impak yang agak minimal. Disamping itu radar pesawat boleh digantikan dengan radar pelbagai mod yang bersesuaian serta berkemampuan tinggi. Begitu juga dengan sistem ESM dan sistem pengesan kejanggalan magnetik boleh dipasang pada pesawat C-130 dengan impak yang minima.

Dengan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk berusaha bagi mengawal paras hutang dengan bijaksana dan dengan pelbagai keperluan ATM yang masih belum dapat dipenuhi serta dengan usaha memerangi virus Covid-19 yang menelan belanja sangat besar tetapi masih belum nampak penghujungnya, sudah tentulah pembelian banyak aset ketenteraan terpaksa ditangguhkan. Meskipun begitu, keadaan geopolitik serantau terutamanya di sempadan perairan negara menuntut kehadiran pesawat rondaan #maritim berkeupayaan tinggi untuk menjaga kedaulatan sempadan negara. Dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin merosot dan harga minyak yang menjunam, mungkin pilihan untuk mengubah-suai beberapa pesawat C-130H untuk tugas pesawat rondaa maritim sangat wajar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan!