Analisa RENTAKA - Pelancar roket berganda Astros II TDM- Cadangan penambahbaikan.
Mahkota aset yang punyai kuasa tembak paling ampuh milik TDM tidak dapat dinafikan lagi adalah milik pelancar roket berganda Astros II. Keupayaannya untuk menghujani serta memusnahkan posisi musuh dengan bom- bom melayakkan ia mendapat gelaran "grid square eraser" atau memadam petak peta. Ke mana sahaja tembakan dihalakan, sudah pastinya kawasan sasaran disesakkan dengan jumlah kuasa tembak yang turun seperti hujan dalam jumlah yang singkat. Sebarang aset musuh yang berada di sesebuah kawasan akan setidak- tidaknya mengalami kerosakan yang serius sebaik sahaja Astros II selesai membelasah kawasan tersebut. Sebarang pusat tumpuan atau pengumpulan tentera musuh seperti pangkalan, pangkalan hadapan atau pusat operasi medan (terutamanya bagi helikopter penyerang musuh) adalah merupakan sasaran utama Astros II. Bukan itu sahaja, keupayaannya untuk menyebarkan dan menyemai ribuan periuk api dalam masa beberapa minit membolehkannya menyekat kemaraan atau pergerakan pasukan musuh sebelum menghentamnya dengan roket dan ribuan bom- bom anti personal. Kombinasi tumbukan berkembar ini pasti setidak- tidaknya melumpuhkan ketumbukan musuh terutamanya yang berada di kawasan terbuka. Oleh itu, tidak hairanlah Astros II dianggap sebagai aset strategik dan kehadirannya di medan perang begitu menggusarkan musuh. Malah semasa Operation Desert Storm, Astros II milik Iraq adalah salah satu sasaran utama pemburuan oleh pesawat- pesawat pihak bersekutu.
Pun begitu, kekuatan Astros II juga adalah merupakan kelemahannya. Ia hanya mampu menghujani sasaran dengan bom dan roket tetapi tidak mampu untuk menghentam sasaran dengan tepat. Jadi keupayaan memusnahnya lebih tertumpu kepada sasaran atau struktur yang bersaiz besar atau yang meliputi kawasan yang luas. Oleh kerana itulah namanya adalah singkatan kepada perkataan Area SaTuration ROcket System (ASTROS). Ketepatan roketnya juga bergantung kepada faktor cuaca seperti angin mahupun hujan. Oleh kerana itu musuh telah mula cuba untuk mengatasi kekuatan ASTROS II dengan bergerak dalam kumpulan yang kecil dan mengelakkan daripada berkumpul di tempat yang terbuka. Pihak musuh juga boleh menggunakan aset udara dan radar pemburu artileri untuk untuk mengesan dan memburu pelancar ASTROS II. Bukanlah sesuatu yang sukar untuk mengesan pelancar ASTROS II kerana setiap kali roket dilancarkan sudah pasti menghasilkan asap yang banyak. Malah, radar pemburu artileri dapat mengenalpasti tapak pelancaran dan sasaran roket sebaik sahaja ia mengesan roket- roket yang telah dilancarkan. Ini membolehkan pihak musuh untuk membuat bedilan balas pantas dengan harapan dapat memusnahkan atau merosakkan pelancar ASTROS II jika mereka tidak dapat menghantar aset udara untuk memburunya.
Bagi mengelakkan satu bateri pelancar ASTROS II dimusnahkan oleh musuh dengan mudah, satu cara yang boleh digunakan adalah dengan setiap pelancar ASTROS II beroperasi secara bersendirian. Apabila sasaran telah dikenalpasti kedudukannya, setiap pelancar akan menghentam sasaran daripada posisi yang berbeza. Walaubagaimanapun ia memerlukan koordinasi serta jaringan komunikasi yang jelas (sesuatu yang sangat jarang untuk kedapatan dalam peperangan masa kini) untuk melaksanakan misi tembakan sebegitu.
Dalam peranannya sebagai aset anti pendaratan amfibia juga kekurangan ASTROS II agak terserlah. Pengalaman serangan amfibia Jepun dan Operation Overlord semasa Perang Dunia Kedua mengajar bahawa pasukan amfibia musuh seharusnya tidak boleh dibiarkan untuk mendarat dan bertapak di pantai walaupun seinci. Lazimnya, selain diasak oleh pesawat pejuang dan diserang oleh kapal perang dengan menggunakan peluru berpandu anti kapal, armada amfibia musuh juga boleh dibedil dengan menggunakan meriam dan roket. Walaubagaimanapun, meskipun pelancar roket mempunyai jangkauan yang diperlukan untuk mengasak armada musuh yang berada jauh di tengah laut, ia tidak memiliki ketepatan yang diperlukan untuk menghentam kapal perang mahupun kapal pengangkut musuh dengan tepat. Terdapat kemungkinan roket untuk menghujani armada musuh dengan bom kluster. Pun begitu bom- bom ini hanya mampu merosakkan struktur luaran kapal musuh dan mungkin merosakkan sistem penderia dan antena tetapi kapal masih mampu untuk berlayar dan terus berjuang.
Berdasarkan maklumbalas yang diterima, peminat ketenteraan Malaysia lebih teruja untuk negara memiliki peluru berpandu AV-TM 300 yang mampu membelasah sasaran sehingga ke jarak 300 kilometer. Akan tetapi RENTAKA berpendapat bahawa apa yang lebih penting adalah memberi kepada setiap roket ASTROS II keupayaan untuk menghentam sasaran dengan tepat atau lebih baik lagi, keupayaan untuk melakukan serangan surgikal. Ini boleh dilaksanakan dengan mencipta satu kit panduan yang mempunyai penderia GPS, sistem navigasi inersia, penderia laser serta sirip boleh gerak dan komputer kawalan. Sepertimana kit JDAM boleh mengubah bom besi biasa menjadi senjata serangan surgikal, RENTAKA percaya bahawa roket juga boleh diubah dengan memberi keupayaan serangan surgikal. Roket yang dipasang dengan kit panduan seperti ini mampu melakukan serangan tepat ke atas sasaran dan tidak terjejas oleh hujan, awan, kabut mahupun asap. Ia juga boleh diberikan keupayaan untuk melakukan serangan ke atas sasaran yang sedang bergerak dengan berpandukan penderia laser.
Pembangunan kit panduan ini boleh dilaksanakan oleh gabungan STRIDE dan pusat penyelidikan universiti tempatan mengikut kepakaran masing- masing. Pihak UiTM-MTC HEMREL misalnya yang kini sedang giat membangun serta menguji roket rekaan mereka, boleh diberikan tanggungjawab untuk memastikan prestasi roket tetap optimum dan tidak terjejas biarpun setelah dipasang dengan kit panduan tersebut. Secara tidak langsung, pihak UiTM-MTC HEMREL diberikan akses kepada pelbagai jenis roket ASTROS II yang dimiliki oleh TDM untuk dipelajari dan menggunakan ilmu yang didapati untuk menambahbaik rekaan pada roket mereka. Kit panduan yang direka boleh dipasarkan oleh syarikat entiti milikan bersama dan dipasarkan kepada negara- negara yang memiliki dan mengoperasikan sistem Astros II. Teknologi yang didapati daripada pembangunan kit panduan roket ASTROS II boleh dikembangkan lagi kepada sistem roket atau peluru berpandu yang lain.