Tawaran Buyback MIG-29N oleh Kerajaan Russia kepada Malaysia

No photo description available.

 

Ramai yang meminta pendapat Rentaka tentang tawaran Presiden Rusia, Vladimir Putin, untuk membeli kembali pesawat pejuang MiG 29N dan Su-30MKM TUDM dan menjual MiG 35 (yang merupakan versi MiG 29 terkini) serta pesawat pejuang Su-35, dengan pakej pembayaran kembali yang cukup menarik termasuklah menerima minyak sawit sebagai sebahagian daripada pakej pembayaran. Terus terang, dalam hal ini tim Rentaka sebulat suara berpendapat adalah wajar untuk kerajaan menolak tawaran menarik daripada Rusia ini. Mengapa? Terdapat beberapa sebab yang menyumbang ke arah pendapat ini.
 
 
Tidak dapat dinafikan terdapat ramai penyokong MiG 29 di kalangan peminat pertahanan tempatan. Apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengundurkan pesawat tersebut daripada perkhidmatan TUDM secara berperingkat- peringkat, ramai yang tidak bersetuju. Begitu kuatnya rasa sayang terhadap pesawat buatan Rusia ini. Benar, pesawat pejuang ini memang hebat. Keupayaan dogfight nya cukup menggerunkan. Akan tetapi ramai yang lupa bahawa MiG 29 direka pada tahun 1970an dimana konsep pertempuran udara adalah jauh berbeza. Jangkauan operasi MiG 29 yang pendek memang benar- benar menghadkan potensinya. Itulah sebabnya Tentera Udara Rusia mempunyai dua pesawat pejuang utama- MiG 29 untuk jarak dekat dan Su-27 untuk jarak jauh. Oleh kerana saiz negara Rusia yang tersangat luas, maka Su-27/30 yang menjadi peneraju utama pertahanan udara Rusia. Begitulah demikiannya China. Malaysia pula menghadapi keadaan yang hampir serupa- negara yang jauh terpisah dua oleh Laut China Selatan di tengah- tengahnya. Meskipun MiG 35 telah dirombak, keupayaannya dipertingkatkan dan sistem utamanya diganti baru menyebabkan prestasinya melonjak naik, ia masih lagi tidak mampu untuk mengatasi sesetengah pesawat pejuang barat. Sebagai contoh, jangkauan operasi tempur MiG 35 hanyalah 1,000 kilometer. Bandingkan pula dengan jangkauan operasi tempur Rafale iaitu sekitar 1,850 kilometer (Su-30MKM dipercayai mempunyai jangkauan operasi tempur sekitar 1,300 kilometer). Mungkin ada yang tertanya mengapa jangkauan operasi tempur ini penting. Faktor ini penting kerana ia bakal menentukan bukan sahaja berapa jauh jangkauan satu- satu pesawat pejuang dalam melaksanakan operasinya dan juga dalam pertempuran udara, berapa lama ia boleh meronda di udara dan berapa lama dia boleh bertempur. Dalam dogfight, pengurusan daya dan tenaga itu adalah sangat penting. Jadi penggunaan bahan api adalah sangat tinggi dalam dogfight. Sebuah pesawat pejuang bersaiz besar seperti F-14 Tomcat mempunyai daya dan kuasa yang banyak dibekalkan oleh dua enjin jetnya. Oleh itu jika ia bertempur dengan pesawat pejuang bersaiz kecil seperti A-4 Skyhawk, ia mempunyai daya dan tenaga untuk mengatasi pergerakan pesawat pejuang tersebut. Pun begitu, A-4 Skyhawk bukan sahaja ringan, kecil dan lincah tetapi dengan satu enjin, penggunaan bahan apinya tidaklah begitu tinggi. Oleh kerana itu juruterbang F-14 akan cuba menembak jatuh pesawat A-4 dengan seberapa segera tetapi juruterbang A-4 pulak bertindak sebaliknya iaitu cuba untuk mengelak daripada dibidik oleh pesawat lawan sambil menunggu saat yang sesuai atau sehingga pesawat musuh terpaksa berundur kerana hampir kehabisan bahan api.
 
Jika diamati kepada spesifikasi MiG 35, apa yang paling menonjol adalah hampir kesemua aspek keupayaan serta prestasinya telah dipertingkatkan sekurang- kurangnya sekali ganda, Sebagai Contoh, keupayaan membawa bebanan persenjataan dipertingkatkan sehingga 7 tan dan sistem elektro-optiknya telah diganti baru dengan prestasi pengesanan yang jauh lebih baik berbanding dahulu. Pesawat juga telah berubah peranan daripada “air superiority fighter” menjadi “multi-role combat aircraft”. Pun begitu, jika diamati dengan lebih dekat, sebenarnya tiada keupayaan persenjataan yang baru pada pesawat MiG 35. Apa jua jenis persenjataan yang boleh dibawa oleh MiG 35, boleh dibawa Su-30 MKM (dan dalam kuantiti yang lebih!).
 
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, MiG 29 direka ketika konsep pertempuran udara jauh berbeza jika dibandingkan dengan sekarang. Pertempuran udara sekarang lebih berpaksikan jaringan atau “network centric” dimana setiap aset berkerjasama untuk berkongsi maklumat, penderia dan data untuk memberikan gambaran pertempuran udara yang lebih menyeluruh bagi mengatasi pihak lawan. Sungguhpun kelincahan dan keupayaan untuk pesawat membawa pelbagai bebanan persenjataan dalam jumlah yang banyak itu penting, perkongsian maklumat akan memberikan kesedaran yang lebih tinggi dan memungkinkan pertempuran udara diurus dan diselaraskan dengan lebih cekap dan efisyen. Dengan jaringan data, pesawat musuh boleh dikesan lebih awal, pada gambaran yang lebih menyeluruh dan boleh dikalahkan dengan efisyen. Pun begitu, pesawat pejuang Rusia dilihat seperti kurang memberikan penekanan terhadap aspek jaringan data dan perkongsian maklumat. Ini bermakna negara pembeli terpaksa mengeluarkan belanja sendiri sekiranya ingin keupayaan tersebut melengkapi pesawat MiG 35 mereka. Satu lagi persoalan adalah masih adakah ruang untuk memuatkan sistem komputer serta peralatan berkaitan dengan jaringan data pada MiG 35? Terdapat kemungkinan bahawa sistem avionik mungkin terpaksa diubah bagi membolehkan keupayaan jaringan data dimasukkan dan ini akan meningkatkan lagi kos tambahan kepada pembeli. Ini berbeza dengan kebanyakan pesawat pejuang buatan negara- negara barat yang sememangnya direka untuk beroperasi dalam ruang network centric.
 
Salah satu faktor yang menjadi duri dalam daging pengoperasian MiG 29N TUDM adalah masalah alat ganti dan senggaraan. TUDM mewarisi tradisi pengoperasian pesawat daripada RAF dan kemudiannya hampir keseluruhan pesawat yang dioperasikan oleh TUDM adalah keluaran negara- negara barat. Cuma dengan pembelian MiG 29N barulah TUDM terdedah dengan cara pengoperasian pesawat pejuang buatan Rusia dan ianya cukup berbeza dengan falsafah penyenggaraan yang kadang-kala agak sukar untuk difahami. Ini memberi impak pada penyenggaraan pesawat dan seterusnya mempengaruhi jumlah pesawat yang sedia untuk penugasan. Lebih malang lagi, ketiadaan alat ganti agak menggusarkan dan pesanan mengambil masa berbulan- bulan untuk diproses dan alat ganti untuk dihantar. Bukan sahaja TUDM menghadapi masalah ini tetapi menurut laporan media, Tentera Udara India turut sama terkesan dalam pengoperasian pesawat buatan Rusia. Sehebat manapun sesebuah pesawat pejuang itu, ianya tidak berguna jika ia tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik dan masalah ketiadaan alat ganti adalah sangat menjejaskan. Sebagai perbandingan, alat ganti bagi pesawat buatan barat sentiasa dihantar dengan pantas bagi memastikan pesawat sentiasa beroperasi dengan baik pada sebilang masa. Memetik kata- kata seorang pegawai tentera Rusia (ironinya!) “Apa guna membeli pesawat pejuang hebat jika ianya hanya terbang semasa lintas hormat hari kemerdekaan sahaja”.
 
Oleh itu tim Rentaka berpendapat adalah wajar untuk tawaran Presiden Putin ditolak atau setidak- tidaknya menunggu sehingga masalah alatan ganti pesawat Rusia dapat diselesaikan. Jika kerajaan ingin menjaga hati Presiden Rusia dan mengeratkan hubungan dua hala serta menyelesaikan ketandusan pesawat pejuang, adalah wajar untuk kerajaan untuk menambah lagi bilangan pesawat Su-30MKM tetapi dengan peningkatan prestasi serta penderia yang lebih baik. Mungkin Su-30MKM juga menghadapai masalah pengoperasiannya sendiri tetapi bak kata mat saleh, it’s better to deal with the devil you know than with the angel you don’t.