Laporan Oleh: Wanvadder dan Steno

Tanggal 13 Januari 2016, Tim RENTAKA telah dijemput untuk menghadiri majlis penerimaan merangkap perasmian aset terbaru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu pesawat pengangkut termoden Airbus A400M Atlas yang diadakan di Pangkalan Udara TUDM Subang.

Majlis yang bermula pada jam 1.45 petang itu dimulakan dengan penerbangan khas di mana Menteri Pertahanan, D.S Hishamuddin Hussein bersama para jemputan serta wakil- wakil media, dibawa menaiki penerbangan khas A400M untuk menunjukkan keupayaan pesawat tersebut. Sebelum berlepas, satu taklimat khas berkenaan aturcara majlis serta taklimat keselamatan semasa penerbangan telah diadakan di Pergerakan Udara, TUDM Subang.
 

Tepat jam 2.15 petang, pesawat A400M bernombor siri M54-01 telahpun bersedia di tarmac dan Menteri Pertahanan serta para tetamu jemputan mula melangkah masuk ke dalam perut pesawat. Beliau kemudiannya diberikan penerangan tentang pesawat dan kemudiannya krew pesawat mula melakukan persiapan untuk berlepas. Sebaik sahaja juruterbang menerima kebenaran untuk berlepas, pesawat mula bergerak perlahan menuju ke landasan. Berbeza dengan ketika menaiki pesawat penumpang komersil, pesawat pengangkut tentera tidak dilengkapi dengan keupayaan kedap bunyi yang tinggi. Jadi keadaan menjadi sedikit bising dan sedikit beralun- alun sama seperti ketika menaiki tren LRT. Akan tetapi keadaan menjadi lancar sebaik sahaja pesawat bergerak laju di landasan untuk berlepas.

Penerbangan A400M mengambil masa lebih kurang 35 minit dan terbang di sekitar ruang udara Pelabuhan Klang. Semasa penerbangan, D.S Hishamuddin Hussein telah melawat bahagian kokpit untuk melihat sendiri bagaimana krew mengendalikan pesawat. Jika dibandingkan dengan pesawat C-130H yang digunakan oleh TUDM sejak tahun 1970an, pesawat A400M bukan sahaja lebih besar dan lebih berkapasiti tinggi, ia juga dilengkapi dengan pelbagai sistem terkini seperti sistem pengendalian kargo berkomputer manakala kokpItnya pula menggunakan sistem glass cockpit sepenuhnya setanding dengan sistem glass cockpit yang digunakan oleh pesawat penumpang komersil keluaran firma Airbus yang lain. Tidak ketinggalan adalah sistem pertahanan pasif dan elektronik pesawat yang tiada pada pesawat C-130H. Disamping itu, terdapat inovasi-  inovasi yang mungkin kelihatan kecil tetapi tidak kurang pentingnya seperti kamera di bahagian kargo yang membolehkan krew di kokpit untuk memantau keadaan dan seterusnya meningkatkan situational awareness krew di sepanjang penerbangan.

Pesawat A400M yang membawa D.S Hishamuddin Hussein bersama para jemputan dan wakil- wakil media selamat mendarat di pangkalan udara Subang pada jam 3:40 petang dan dibawa terus ke hadapan hangar yang dibina khas untuk menempatkan pesawat A400M kendalian No.22 Skuadron  TUDM. Pesawat yang bakal dirasmikan iaitu pesawat A400M bernombor siri M54-02 telahpun gah berada di dalam hangar, menantikan ketibaan Menteri Pertahanan dan para jemputan. Dalam ucapan perasmian beliau, D.S Hishamuddin Hussein mengumumkan bahawa dua lagi pesawat A400M dijangka akan tiba di tanah air pada bulan April dan November 2016.

Tim RENTAKA mengucapkan setinggi- tinggi perhargaan kepada pihak TUDM kerana menjemput kami ke upacara yang gilang-gemilang ini. Kami berharap agar TUDM terus akan dimantapkan lagi keupayaannya sejajar dengan fungsinya sebagai salah satu benteng pertahanan utama negara, insyaAllah.

Most Read