Keupayaan Network Centric Warfare ATM
Umum mengetahui bahawa secara amnya bilangan pesawat pejuang yang dimiliki oleh TUDM bukan sahaja sedikit bilanganny tetapi juga ada yang mencapai usia hampir 25 tahun! Pun begitu, seperti biasa penambahan aset TUDM seringkali terhalang dek kekangan kewangan dan wabak Covid-19 yang melanda sekarang ini jelas telah merencatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020-2021. Faktor ini dijangka akan memberi impak kepada perancangan perolehan aset ketenteraan ATM. Pun begitu, kerajaan telah memberi isyarat lampu hijau untuk beberapa perancangan pembelian untuk TUDM seperti pesawat latihan/ tempur ringan dan UAV.
Telah banyak RENTAKA kupaskan tentang isu calon- calon pesawat tempur ringan TUDM. Rasanya tidak perlu lagi untuk RENTAKA mengulangi apa yang telah diperkatakan sebelum ini tentang subjek tersebut. Cuma kali ini RENTAKA ingin meneroka satu jalan untuk menjawap persoalan bagaimana caranya TUDM boleh mempertahankan ruang udara negara yang cukup luas ini.
Selain daipada membeli pesawat pejuang yang memiliki jangkauan operasi yang jauh, satu lagi caranya untuk mengoptimakan penggunaan aset udara TUDM dalam mempertahankan ruang udara daripada dicerobohi musuh adalah dengan menggunakan konsep "Network Centric Warfare" atau Peperangan Berteraskan Rangkaian.
Pada sekilas pandang, biarpun aset- aset tempur yang dimiliki oleh ATM tidaklah besar bilangannya, spesifikasinya agak hebat. Disini bolehlah RENTAKA rumuskan bahawa oleh kerana kerajaan gemar membeli aset- aset pertahanan dalam jumlah yang sedikit, ATM pula bertindak menggariskan spesifikasi aset- aset tersebut sehingga mencapai ke tahap elit. Pun begitu, sehebat mana atau secanggih manapun aset tersebut, dalam pertempuran ia terpaksa bertindak bersendirian. Sebagai contoh, sebuah pesawat pejuang Su-30MKM hanya boleh bertempur dengan pesawat musuh yang boleh dikesan oleh penderianya sahaja dan tidak mampu bertindak ke atas sasaran yang berada di luar jangkauan penderianya.
Pendekatan konsep "Network Centric Warfare" (NCW) memungkinkan data daripada keseluruhan aset penderia milik ATM - tidak kiralah radar pertahanan udara, radar pesawat pejuang, video daripada UAV, radar maritim daripada pesawat MPA- kesemuanya digabungkan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas dan lebih menyeluruh tentang setiap aset- aset musuh yang dikesan. Data- data ini bukan sahaja boleh dihantar kepada pesawat pejuang TUDM yang sedang bertempur ataupun sedang dalam misi memintas tetapi juga membentuk satu gambaran strategik pergerakan atau serangan pesawat musuh. Gambaran seperti ini membolehkan sel pemerintahan TUDM bertindak tepat untuk menghantar pesawat- pesawat pejuang ke sektor yang sepatutnya untuk tujuan pemintasan mahupun menyerang hendap kumpulan pesawat musuh. Oleh itu, pendekatan konsep NCW memungkinkan penggunaan pesawat pejuang TUDM dengan cekap dan efisyen meskipun hanya berbekalkan bilangan pesawat pejuang yang kecil.
Mungkin ada yang tertanya- tanya, bolehkah serangan hendap dilakukan terhadap pesawat musuh dengan menggunakan konsep NCW? Mari kita terokai satu senario yang boleh memberikan sedikit penjelasan tentang apakah Peperangan Berteraskan Rangkaian mampu lakukan. Bayangkan sekumpulan empat buah pesawat musuh sedang terbang tinggi dan berada dalam kedudukan untuk menceroboh masuk ke ruang udara negara. Kehadiran mereka mudah dikesan dan segera dipantau oleh radar pertahanan udara TUDM. Selepas memasuki ruang udara negara sejauh beberapa kilometer, mereka segera beredar keluar untuk kembali ke pangkalan. Pada masa yang sama, 200 kilometer daripada situ, sekumpulan empat buah pesawat pejuang musuh sedang terbang rendah untuk menyelinap masuk tanpa dikesan. Malangnya kehadiran mereka telah dikesan selama beberapa saat oleh penderia elektro-optik sistem Jernas. Meskipun gagal untuk dikunci, data tentang kehadiran kumpulan pesawat musuh tadi segera dihantar ke pusat operasi TUDM. Daripada gambaran tersebut, diketahui bahawa kumpulan pertama pesawat musuh itu hanyalah untuk mengumpan pesawat pejuang TUDM daripada meronda di sektor sebenar yang hendak dicerobohi. Tiga buah pesawat pejuang Hawk 208 segera dihantar untuk memintas. Mereka tidak menghidupkan radar sebaliknya menerima data sektor yang disasar secara elektronik. Sebaik sahaja mereka berhampiran dengan sektor tersebut, sebuah radar gap filler TRML-3D milik GAPU tiba- tiba muncul daripada celah rimbunan pohon rendang dan mula mencari sasaran. Radar ini meenggunakan antena berfasa yang memancarkan pancaran radar halus dan sukar untuk dikesan oleh penderia ESM pesawat musuh. Kumpulan pesawat musuh dikesan dan kedudukannya terkininya segera dihantar kepada pusat operasi TUDM dan ketiga- tiga pesawat Hawk 208 tadi. Keputusan segera diambil untuk memusnahkan kumpulan pesawat musuh dan ketiga- tiga pesawat Hawk 208 diperintahkan untuk melancarkan peluru berpandu AIM-7 Sparrow daripada jauh. Sebaik sahaja dilancarkan, radar TRML-3D mengambil alih dan terus menerus menghantar isyarat panduan kepada peluru berpandu AIM-7 Sparrow yang telah dilancarkan sehinggalah setiap satunya menghentam sasarannya. Daripada mula sehingga ke akhir pemintasan, pesawat Hawk 208 tidak menghidupkan radarnya dan pesawat musuh tidak menyedari bahawa mereka telah dikesan dan disasar. Ini adalah satu senario mudah tentang bagaimana NCW berfungsi.
Tetapi sejauh mana TUDM bersedia untuk menggunakan konsep NCW tidak diketahui. Akan tetapi dipercayai TUDM telah didedahkan terhadap konsep NCW sejak sistem kawalan pertahanan udara MADGE dinaik taraf pada tahun 1980/90an. Walaubagaimanapun, sekilas pandang kebanyakan pesawat pejuang TUDM telah dilengkapi dengan data link yang membolehkan mereka berkongsi maklumat. Pun begitu, satu perkara yang menimbulkan kegusaran adalah kemungkinan terdapat kesukaran untuk pesawat pejuang Su-30MKM dan F/A-18D bertukar- tukar data kerana kedua- duanya menggunakan data link berbeza yang tidak serasi. Data link bersesuaian (dan serasi) juga seharusnya menjadi salah satu kelengkapan wajib pada pesawat LCA yang bakal dipilih. Dalam hal ini pesawat pejuang Gripen mahupun pesawat latihan T-7 Redhawk sememangnya telah dilengkapi dengan data link Link 16 yang serasi dengan jringan data yang digunakan oleh NATO.
Tidak ramai yang tahu tentang peranan konsep NCW serta kepentingannya. Malah tidak ramai yang mengetahui betapa pentingnya untuk pesawat pejuang dilengkapi dengan data link yang bersesuaian serta penubuhan jaringan rangkaian data khusus untuk ATM. Paling penting, bagaimana untuk menerangkan kepada pembuat dasar serta penjaga peruntukan Perbendaharaan tentang pentingnya ATM bersedia untuk berperang menggunakan konsep NCW. Kita tidak boleh menyalahkan pembuat dasar serta penjaga peruntukan Perbendaharaan semata-mata kerana penerangan tentang NCW yang ada di internet mahupun sumber yang terbuka samada kurang jelas ataupun terlalu kompleks kerana bersifat perbincangan ilmiah. Tidak dinafikan bahawa konsep NCW agak sukar untuk difahami kerana aplikasinya di dalam peperangan adalah meluas dan merangkumi pelbagai faktor. Dalam kita mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan kekusutan ini, negara lain telah mula mengorak langkah makin laju untuk memperlengkapkan angkatan tentera mereka bagi menghadapi Peperangan Berteraskan Rangkaian atau Network Centric Warfare.