Kapal sokongan kelas USS Harpers Perry mampu memacu keupayaan sokongan TLDM

May be an image of oceanPandangan daripada udara kapal sokongan amfibia USS Harpers Ferry.

Salah satu keperluan TLDM yang sudah cukup lama tertangguh adalah keperluan untuk kapal Multi Role Support Ship -MRSS. Walaupun hanyalah kapal bersifat sokongan, ia adalah satu elemen yang sangat penting dalam sesebuah tentera laut. Hampir kesemua operasi tempur TLDM di luar negara seperti di perairan Somalia sehingga ke Teluk Aden dan juga operasi rondaan di sekitar Kepulauan Spratly dilakukan oleh kapal sokongan TLDM seperti KD Mahawangsa, KD Indera Sakti dan KA Bunga Mas Lima.
Kedudukan negara yang bukan sahaja strategik tetapi juga unik (kerana terbahagi dua dan dipisahkan oleh Laut Melayu) memerlukan TLDM bukan sahaja mempunyai armada laut yang kuat tetapi juga flotilla sokongan yang mantap. Contoh terbaik adalah semasa serangan tentera penceroboh Sulu di Lahad Datu, kapal MPCSS TLDM dikerahkan untuk menghantar pasukan bantuan, senjata berat serta material yang diperlukan untuk menghapuskan ancaman secara total. Ketika itu, ketiadaan kapal KD Inderapura yang musnah akibat terbakar, begitu amat terasa.
 
Biarpun perancangan untuk pembelian kapal MRSS telah lama dibuat, akan tetapi tiada sebarang tindakan yang realistik dilakukan dan semakin lama ia mula ditekan ke bawah oleh keperluan lain yang lebih meruncing. Kini, pandemik COVID-19 yang melanda dunia turut sama memusnahkan ekonomi global dimana Malaysia juga tidak terkecuali. Maka tidak dapat tidak, TLDM berterusan mengoperasikan kapal sokongan untuk melakukan pelbagai jenis misi daripada operasi sokongan hinggalah kepada rondaan.
 
Bagaimana hendak keluar daripada kitaran permasalahan seperti ini? Jika dilihat secara kasar, TLDM memerlukan kapal sokongan yang memiliki keupayaan mengangkut yang besar, mempunyai peralatan seperti kren dan tapak pendaratan helikopter untuk tugas pemunggahan, mempunyai jangkauan operasi yang besar, mampu untuk bertindak sebagai pusat pemerintahan bergerak , mempunyai kelajuan maksimum yang hampir setanding dengan kapal frigat atau peronda TLDM, dilengkapi dengan keupayaan defensif dan sebagai keperluan sekunder, mampu menyokong operasi amfibia. Secara jujurnya, tidak banyak kapal sokongan yang memenuhi ciri- ciri atau memenuhi keperluan yang dinyatakan tadi. Pun begitu RENTAKA menyarankan agar kerajaan melihat kewajaran untuk membeli kapal sokongan terpakai daripada Tentera Laut Amerika. Kapal sokongan yang RENTAKA maksudkan adalah kapal sokongan daripada kelas USS Harpers Ferry.
 
Kapal kelas USS Harpers Ferry adalah merupakan kapal sokongan amfibia atau Landing Ship Dock dan ia merupakan varian kapal kelas USS Whidbey Island dimana kapal kelas USS Harpers Ferry diubah sedikit rekabentuknya dan dikhususkan untuk tugas membawa kargo. Pun begitu ia masih mampu untuk menyokong operasi amfibia dalam kapasiti yang sedikit terhad. terdapat empat buah kapal daripada kelas ini iaitu USS Harpers Ferry, USS Carter Hall, USS Oak Hill dan USS Pearl Harbour. Kapal kelas ini adalah seberat 11,500 tan dan mampu membawa bebanan keseluruhan sebanyak kira- kira 8,100 tan. Ia dilengkapi dengan kren pemunggahan dan dek pendaratan helikopter yang boleh memuatkan sehingga dua buah helikopter CH-53D Sea Stallion. Kapal kelas ini dikuasakan oleh empat enjin diesel SEMT-Pielstick 16 PC2.5 V 400 yang membekalkan kuasa sehingga 33,000 kuasa kuda yang membolehkan kapal untuk belayar sehingga ke kelajuan 20- 24.5 knots. Ia mempunyai jangkauan operasi sejauh 14,816 kilometer apabila belayar pada kelajuan 18 knots. Kapal sokongan ini dikendalikan oleh 419 krew dan mampu memuatkan sehingga 504 anggota bersama persenjataan dan material. Dalam menyokong operasi amfibia, kapal kelas USS Harpers Perry mampu membawa 2 buah hovercraft LCAC atau 9 lancang pendarat atau 15 AAV-7. Daripada segi persenjataan pula, kapal sokongan ini dilengkapi dengan dua Mk. 15 Phalanx CIWS, dua meriam Mk.38 berkaliber 25mm dan lapan mesingan berat M2 berkaliber 12.7mm. Disamping itu ia turut dipasang dengan dua pelancar peluru berpandu RIM-116A RAM.
 
Pada tahun 2009, kesemua kapal daripada kelas USS Harpers Ferry telah mula menjalani proses naik taraf yang membolehkan mereka untuk berkhidmat sehingga tahun 2038. Kerja- kerja naik taraf ini termasuklah penggantian sistem yang mengunakan kuasa stim kepada sistem kuasa elektrik sepenuhnya, sistem penyelenggaraan yang lebih menjimatkan, sistem pendingin hawa yang lebih cekap dan peningkatan terhadap enjin diesel kapal. walaupun kerja- kerja naik taraf ini siap pada sekitar 2014-2015, Tentera Laut Amerika mengumumkan bahawa mereka bercadang untuk mengundurkan daripada perkhidmatan kapal sokongan kelas USS Harpers Ferry secara berperingkat-peringkat dengan kapal yang terakhir akan berkhidmat sehingga tahun 2024- 2025.

May be an image of outdoors
Perbandingan saiz diantara kapal kelas USS Harpers Ferry (kiri) dan kapal pembinasa kelas Arleigh Burke (kanan).
Mengapa kapal kelas USS Harpers Ferry yang dicadangkan Rentaka? Pertama- tamanya, KD Inderapura bukanlah kapal sokongan pertama yang dibeli oleh negara daripada Amerika. Malah sejak dekad 1970an lagi TLDM telah memiliki tiga buah kapal sokongan amfibia daripada Amerika. Keduanya adalah kerana usia kapal yng masih produktif. Secara amnya adalah kapal sokongan ini jika dibeli secara hot transfer, baru mencapai usia 25-27 tahun, bergantung kepada kapal. Disamping itu, walaupun kapal yang dipindah milik daripada Tentera Laut Amerika lazimnya telah dilucutkan sistem penderia serta sistem persenjataannya, jika kerajaan Amerika mengizinkan kapal tersebut dipindahkan secara hot transfer bersama sistem penderia dan sistem persenjataan yang lengkap, ia bukan sahaja merevolusikan keupayaan TLDM daripada segi keupayaan sokongan tetapi juga menjadi diantara kapal yang paling canggih dan paling lengkap bersenjata selepas kapal frigat TLDM!
 
Perubahan arus ekonomi dan politik dunia telah menuntut ATM untuk mempunyai keupayaan beroperasi di serata dunia. 15 tahun dahulu siapa sangka TLDM terpaksa beroperasi di Teluk Aden, TUDM terpaksa membuat operasi selamat di Mesir dan TDM serta PDRM membuat operasi SAR di tengah- tengah medan perang di sempadan Ukraine- Rusia. Kini kapal TLDM dan APMM pula saban hari memerhatikan dan menekan kapal pengawal pantai China yang sering berada di kawasan Kepulauan Spratly. Jelas sekali TLDM memerlukan kapal sokongan yang boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan mungkin juga menghimpit sama hebat dengan kapal- kapal penceroboh yang rata- ratanya leluhurnya daripada kapal frigat atau kapal pembinasa.
 
Akhir kalam, saranan RENTAKA, wajar kapal ini diambil dua agar ada penemannya dan molek imbangannya. Cuma jangan diangkut tilam.