Pesawat rondaan maritim CN-235 MPA TUDM Pt.2

May be an image of one or more people and people standing
Gambar pesawat CN-235 TUDM yang sedang menjalani proses pengubahsuaian untuk menjadi pesawat MPA. Daripada gambar ini boleh dilihat kubah untuk menempatkan radar OceanEye telahpun siap dipasang.

Dua minggu lepas, RENTAKA ada siarkan gambar pesawat CN-235 TUDM yang sedang dalam proses untuk dibuah menjadi pesawat MPA. Seperti biasa, banyak PM kritikan yang diterima. Kebanyakkannya kerana foto kurang jelas, terlalu kecil dan tidak kurang yang berkata tiada tanda- tanda pesawat tersebut sedang menjalani proses modifikasi. Maka terpaksalah tim RENTAKA menghubungi "our man in Bandung" untuk mendapatkan pertolongan beliau. Daripada mana beliau mencilok gambar tersebut, kami tak tanya, dia tak cakap. Terimalah seadanya dan itulah yang dipersembahkan kepada pembaca. Habis cerita.
 
 
Berbalik kepada kisah pesawat CN-235 MPA tadi, setelah menyelidiki sedikit dalam, pesawat ini sebenarnya hampir sama dengan pesawat HC-144A yang digunakan oleh Pengawal Pantai Amerika daripada segi spesifikasi mahupun peralatan yang dipasang. Oleh kerana pesawat CN-235 dihasilkan oleh firma PT. Dirgantara Indonesia (PTDI), maka TNI-AU diberikan perhormatan untuk menjadi penerima pertama pesawat CN-235 MPA. Pada pegamatan tim RENTAKA, PTDI sebenarnya telah mengklasifikasikan pesawat ini sebagai CN-235 MPA-NG tetapi kemudiannya membuat singkatan NG setelah ia memasuki perkhidmatan TNI-AU. Setelah mendapati bahawa pesawat CN-235 MPA TNI-AU beroperasi dengan baik dan setelah melihat serta mengkaji apa yang bakal diterima oleh TUDM berdasarkan pengoperasian pesawat tersebut oleh TNI-AU, barulah ianya dianggap sebagai satu pelaburan berrisiko rendah oleh kerajaan Malaysia (haaaa... bijak tak?) dan barulah lampu hijau diberikan kepada TUDM untuk meneruskan kerja- kerja pengubahsuaian.
 
Daripada segi peralatan yang dipasang pada pesawat serta keupayaannya, sebenarnya pesawat HC-144A dan CN-235 MPA adalah hampir sama. Oleh kerana pesawat CN-235 TUDM adalah sama dengan pesawat CN-235 MPA milik TNI-AU, jadi untuk mengetahui apa yang bakal ada pada pesawat CN-235 TUDM, intai sahaja apa yang dimiliki oleh pesawat CN-235 MPA TNI-AU.
 
May be an image of indoor
Kabin pesawat CN-235 MPA yang kelihatan cukup kemas dan luas- sesuai untuk operasi rondaan jarak jauh. Melihatkan pada lantai kabin pesawat, boleh dirumuskan bahawa pesawat CN-235 MPA akan kehilangan keupayaan membawa kargo secara roll on- roll off dan pemasangan konsol dan perubahan pada ruang kabin kelihatan seperti bersifat kekal.

Daripada sumber terbuka, dua peralatan utama CN-235 MPA dalam menjalankan tugasnya adalah kepala penderia FLIR Star SAFIRE 380HD dan radar maritim AN/APS-143C(V)3 OceanEye.
 
Kepala penderia FLIR Star SAFIRE 380HD yang dipasang di bawah hidung pesawat ini terdiri daripada gabungan empat penderia utama iaitu penderia pengimejan thermal, kamera berdefinasi tinggi, kamera pencahayaan rendah berdefinasi tinggi dan kamera penderia infra merah gelombang pendek. Ia mampu melihat sasaran di waktu siang mahupun di dalam kepekatan malam daripada altitut lebih daripada 15,000 meter dengan imej/ video dihasilkan dalam format HD. Kepala penderia ini turut dilengkapi dengan laser pengukur jarak dan IMU/GPS digital untuk memberi maklumat kedudukan sasaran dengan tepat. Maklumat ini akan diintegrasikan pada imej atau video untuk memberikan maklumat tepat tentang sasaran tanpa perlu merujuk pada sumber yang lain. Kepala penderia FLIR Star SAFIRE 380HD ini memberikan keupayaan kepada pesawat CN-235 MPA melakukan misi ketenteraan mahupun misi bukan bersifat ketenteraan seperti mengesan kebakaran hutan, mengesan orang yang hilang di kawasan hutan dan mengesan laluan tikus atau penceroboh di kawasan sempadan negara.
 
Seperti yang dinyatakan dalam artikel terdahulu, radar maritim AN/APS-143C(V)3 OceanEye mempunyai jangkauan pengesanan sejauh 370 kilometer. Apa yang tidak dinyatakan adalah radar ini berfungsi pada gelombang X-band. Ini bermakna ia mempunyai keupayaan bukan sahaja untuk mengesan kapal dagang mahupun kapal perang tetapi juga objek- objek kecil seperti bot RHIB, sampan dan mungkin juga rakit kecemasan. Disamping itu, radar ini turut mempunyai keupayaan untuk menghasilkan imej kapal, objek di laut mahupun di darat dengan (resolusi 1 meter) menerusi mod Pembalikan Radar Bukaan Sintetik atau Inverse Synthetic Aperture Radar (ISAR). Ia juga boleh mengesan objek yang bergerak samada di laut mahupun di darat dan mengklasifikasikannya secara automatik. Mod yang dikenali sebagai Penunjuk Sasaran Darat Bergerak atau Ground Moving Target Indicator (GMTI) ini diperkenalkan kepada umum buat pertama kalinya semasa Operation Desert Storm untuk mendedahkan pergerakan serta kedudukan tentera Iraq sebelum mereka dihentam daripada udara. Inilah salah satu sebab utama pesawat MPA seringkali muncul di medan pertempuran di darat. Radar OceanEye ini mampu untuk diperanankan dalam perbagai tugas seperti peperangan anti permukaan, SAR, pemantauan pesisir pantai, pelindungan kawasan perikanan, anti penyeludupan, pemantauan sempada dan pemantauan maritim jarak jauh. Radar maritim AN/APS-143C(V)3 OceanEye ini dipasang di dalam kubah berwarna hitam yang terletak di bawah perut pesawat.
 
Kabin pesawat CN-235 MPA direka untuk pesawat meronda pada tempoh yang agak panjang. Kabin pesawat adalah terdiri daripada dua konsol misi, enam tempat duduk penumpang dan kawasan rehat/ pantri yang mempunyai empat tempat duduk bersama satu meja kecil. Ini bermakna pesawat mempunyai krew untuk dua shift dengan setiap shift adalah sepanjang kira- kira empat jam. Ini bermakna pesawat CN-235 mampu meronda di antara 8- 9 jam atau kira- kira 3,000 kilometer setiap misi rondaan.
 
Ramai yang terkeliru dengan berita pengubahsuaian pesawat CN-235 TUDM menjadi MPA dengan tender pesawat MPA TUDM yang dibuka tidak lama dulu. Pendapat tim RENTAKA kedua- dua pesawat MPA ini adalah dalam kelas yang berbeza. Tender pesawat MPA TUDM adalah untuk pesawat MPA dalam ertikata sebenarnya iaitu mempunyai jangkauan operasi yang jauh dan mampu meronda dalam masa yang lama, berkeupayaan untuk membawa sistem persenjataan anti permukaan dan anti di bawah permukaan serta dilengkapi dengan penderia untuk memburu sasaran di bawah permukaan laut. Ketiga- tiga keupayaan ini tiada pada pesawat CN-235 MPA yang bakal dimiliki TUDM.
 
Secara jujurnya tim RENTAKA merasakan bahawa pesawat CN-235 MPA pada spesifikasinya dan keupayaannya adalah lebih sesuai dengan tugas penguatkuasaan undang- undang. Jadi tim RENTAKA tidak terkejut jika TUDM menggunakan pesawat CN-235 MPA untuk menimba pengalaman dalam memikul misi rondaan maritim sebelum pesawat MPA sebenar diterima. Pada masa itu, berkemungkinan pesawat CN-235 MPA akan diserahkan kepada APMM untuk mengembangkan lagi keupayaan rondaan maritimnya.