Kota Kara Camp Keating

May be an image of nature and mountain

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa hampir kesemua sistem persenjataan keluaran Amerika diuji di kawasan padang pasir di kawasan tersebut. Kawasan padang pasir bukan sahaja menawarkan keadaan cuaca yang baik hampir sepanjang tahun yang membolehkan ujian persenjataan dilakukan tanpa gangguan dan turut menawarkan sudut pandangan yang luas dan jelas. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika sistem persenjataan keluaran Amerika berfungsi dengan optimum jika digunakan semasa bertempur di kawasan seperti itu. Pertempuran udara semasa perang Vietnam sebenarnya mengejutkan banyak pihak di Amerika kerana sistem persenjataan yang telah berfungsi dengan cemerlang semasa ujian tiba- tiba menghadapi banyak masalah terutamanya masalah keandalan (reliability) ketika dalam pertempuran sebenar. Salah satu faktor yang dikenalpasti adalah sistem elektronik yang terdapat pada sistem persenjataan pada masa itu tidak mesra iklim tropika yang panas dan lembab.


Meluncur ke tahun 2009. Afghanistan telah diserang dan ditawan oleh Amerika. Seperti yang dijangka penaklukan berlaku dengan pantas dan Amerika menggunakan kuasa tembaknya yang padu untuk memusnahkan sebarang tentangan. Iklim dan cuaca di Afghanistan yang seperti di padang pasir memastikan sistem persenjataan Amerika berfungsi secara optimum. Pun begitu seperti juga semasa Perang Vietnam, penguasaan Amerika hanyalah di bandar atau pekan- pekan utama sahaja. Kawasan luar bandar masih lagi dikuasai oleh kumpulan- kumpulan tertentu terutamanya kumpulan Taliban. Walaupun begitu, tentera Amerika dan sekutunya berusaha untuk meluaskan penguasaan mereka di kawasan- kawasan strategik di luar bandar melalui pembinaan kem- kem atau kota- kota kara (outpost). Daripada situ mereka akan cuba untuk meluaskan dan menguatkan cengkaman mereka. Sudah tentunya tindakan ini tidak disenangi oleh kumpulan bersenjata setempat terutamanya Taliban yang sentiasa mencari titik kelemahan pada pertahanan di kem atau kota kara tersebut dan menyerangnya.

Salah satu serangan kumpulan Taliban ke atas kem/ kota kara Amerika berlaku di satu kawasan terpencil yang dikenali sebagai Kamdesh. Kota kara Amerika di kawasan tersebut mengawasi kawasan laluan strategik ke sempadan Afghanistan- Pakistan dan sangat penting dalam usaha untuk menyekat saluran logistik kumpulan Taliban daripada Pakistan. Meskipun demikian, ia hanya mempunyai kekuatan seramai 79 anggota sahaja.

Seperti yang dijangka, pada 3 Oktober 2009, kota kara yang dikenali sebagai Camp Keating ini diserang oleh kumpulan Taliban yang dianggarkan berjumlah 300 orang. Serangan yang bermula pukul 6.00 pagi itu cukup teliti dan kota kara tersebut hampir berjaya ditawan. Pertempuran berlangsung dengan sengit dan berlanjutan hingga ke petang. Tentera Amerika dan sekutunya yang berada di kota kara tersebut tetap memberikan tentangan sengit meskipun mereka terperangkap tanpa ada jalan keluar. Bantuan udara dilaporkan sampai pada petang hari pertempuran dengan Amerika menghantar pesawat F-15E dan A-10, helikopter penyerang AH-64 Apache dan pesawat pengebom B-1B untuk menekan dan memusnahkan kumpulan Taliban yang menyerang.

Pun begitu serangan kumpulan Taliban tetap bertali arus. Malah ketika pasukan bantuan Amerika sampai pada jam 7.00 petang, masih terdapat kawasan di kota kara tersebut yang masih dikuasai oleh kumpulan Taliban. Bukan itu sahaja, mereka turut cuba untuk melaksanakan serangan susulan tetapi gagal kerana dihalang dek pengeboman oleh pesawat udara Amerika. Meskipun menghadapi kuasa udara Amerika yang dahsyat, kumpulan Taliban dianggarkan kehilangan kira- kira 150 orang anggota- satu jumlah yang kecil berbanding dengan kuasa tembak dahsyat yang digunakan untuk memburu dan membunuh mereka. Tentera Amerika pula hanya kehilangan 8 anggota manakala 27 lagi mengalami kecederaan. Pun begitu, Camp Keating hampir- hampir ditawan musuh dan hampir keseluruhan kota kara tersebut musnah akibat serangan tersebut. Ini memaksa tentera Amerika meninggalkan kota kara tersebut. Turut ditinggalkan adalah persenjataan dan peluru yang kemudiannya dirampas oleh kumpulan Taliban. Kota kara tersebut hanya dibom oleh pesawat pengebom B-1B pada 6 Oktober kononnya untuk mengelakkan senjata dan peluru dirampas oleh kumpulan Taliban.

Satu kisah yang menarik untuk dijadikan kajian kes tentang cara- cara untuk mengatasi kuasa tembak dan kuasa udara musuh yang padu.

Foto: Anggota tentera Amerika sedang memerhatikan bentuk muka bumi kawasan operasi mereka di Afghanistan.

Most Read