Sistem laser anti roket/ dron Iron Beam
Sudah pastinya ramai yang tergasima dengan keupayaan sistem Iron Dome. Keupayaannya untuk menangkis ribuan roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin di sepanjang konflik Palestin-Israel sudah pastinya menimbulkan banyak perhatian dan perbincangkan. Sudah tentunya ada yang mula berfikir tentang strategi untuk mengatasi sistem pertahanan udara seperti Iron Dome.
Diantara kelemahan sistem pertahanan udara seperti Iron Dome dan C-RAM yangh dapat dilihat adalah ia mempunyai roket pemintas yang terhad bilangannya. Setiap bateri pelancar Iron Dome misalnya cuma mempunyai 30-40 peluru berpandu pemintas. Seperti yang telah dibuktikan oleh pejuang Palestin, sistem Iron Dome boleh dilemaskan oleh pelancaran roket yang banyak. Bukan itu saja, kos pemilikan dan pengoperasian sistem pertahanan udara Iron Dome juga agak tinggi. Sebagai contoh, setiap peluru berpandu pemintas adalah berharga kira- kira USD40 ribu. manakala setiap bateri adalah berharga sekitar USD50 juta. Bayangkan peluru berpandu pemintas bernilai USD40 ribu ditugaskan untuk memintas roket yang dihasilkan pada kos beberapa ratus dolar sahaja. Benar, setiap nyawa yang berjaya diselamatkan itu adalah jauh lebih berharga daripada nilai sebuah peluru berpandu pemintas. Walaubagaimanapun bebanannya terhadap perbendaharaan sesebuah negara untuk menampung sistem pertahanan udara seperti ini sudah tentunya amat besar. Kos pemilikan yang tinggi juga bermakna sasaran- sasaran yang penting seperti dron peninjauan dan dron kamikaze mungkin tidak ekonomikal untuk dipintas serta dimusnahkan. Satu lagi kelemahan Iron Dome adalah serpihan daripada letupan peluru berpandu pemintas dan roket yang dipintas boleh membahayakan pasukan sahabat atau orang awam terutamanya jika pemintasan berlaku di ruang udara kawasan perumahan. Jadi setiap pemintasan yang berjaya masih mempunyai risiko untuk menghujani kawasan sekitar dengan serpihan- serpihan besi yang bergerak pada kelajuan yang agak tinggi. Ini bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan terhadap orang awam malah boleh mengakibatkan kerosakan terhadap harta benda awam mahupun kebakaran.
Keberkesanan sistem Iron Dome semasa konflik Palestin- Israel baru- baru ini adalah bukti betapa pentingnya keperluan untuk sistem pemintas artileri, roket dan mortar dan sudah pastinya banyak negara sedang mempertimbangkan secara serius untuk memiliki keupayaan seperti ini. Meskipun sistem pertahanan udara seperti Iron Dome memiliki beberapa kelemahan ketara (diantaranya seperti yang dinyatakan sebelum ini), ia masih lagi dianggap efektif. Pun begitu satu lagi pendekatan yang sedang dibangunkan yang mungkin dapat menyelesaikan kebanyakan kelemahan sistem pertahanan udara berasaskan peluru berpandu. Pendekatan yang juga dipelopori oleh Israel (dan dibantu oleh sekutu rapatnya- Amerika) tidak lagi berasaskan peluru berpandu sebaliknya berasaskan laser.
Sebelum ramai yang mengekeh dek kegelian hati, Israel sememangnya sedang menguji sistem pertahanan udara berasaskan laser yang dikenali sebagai sistem Iron Beam. Komponen utama sistem Iron Beam adalah pemancar laser fiber yang bertindak memancarkan laser untuk memanaskan komponen- komponen tertentu pada sasaran yang akan menyebabkan sasaran tidak lagi aerodinamik, mengalami kerosakan serius atau meletup. Biarpun kos pemilikan permulaannya dijangka tinggi, sistem laser seperti ini boleh memintas ribuan sasaran tanpa kos tambahan selagi sumber bekalan elektrik masih berterusan. Oleh itu ia adalah ekonomikal pada jangka masa yang panjang. Setakat yang diketahui, sistem Iron Beam memerlukan sebuah kontena untuk dimuatkan tetapi usaha untuk memajukan dan mengecilkan sistem laser ini sedang giat diusahakan. Malah telah terdapat cadangan untuk memasang sistem laser tersebut pada kenderaan seperti buggy atau kenderaan 4x4 bagi meluaskan lagi lembayung perlindungannya.
Dalam kesibukkan harian, kita tidak sedar betapa teknologi persenjataan kini semakin maju. Persoalannya, adakah ATM bersedia untuk memiliki dan mengoperasikan sistem pertahanan udara canggih yang berasaskan laser? Sudah pastinya sistem seperti ini memerlukan kepakaran tinggi dalam bidang sains dan elektronik bukan sahaja untuk mengoperasi tetapi juga untuk menyenggarakannya. Apa yang pasti, sistem pertahanan udara berasaskan laser sudah pastinya tinggi maharnya. Sanggupkah negara untuk membayarnya?