Trivia RENTAKA: Penggunaan laser LIDAR dalam bidang ketenteraan

May be an image of outdoorsFoto: Grafik kota-kota kuno di Tikal, Guatamala yang dibina berdasarkan data- data daripada pemetaan oleh sistem LIDAR. Kebanyakan kota- kota ini tersembunyi di bawah lembayung hutan hujan tropika.

Iklim tropika serta tanah yang subur bukan sahaja menjadi rahmat kepada Malaysia tetapi juga ia turut membentuk hutan hujan yang penuh dengan khazanah alam tetapi agak sukar untuk ditembusi. Malah hutan hujan juga menjadi kawasan selamat bagi pasukan Force 136 dan MPAJA beroperasi menentang pendudukan Jepun serta medan pemberontakan PKM semasa zaman insurgensi. Kepakaran TDM dalam berperang di hutan juga boleh dijadikan sebagai salah satu elemen cegah rintang kepada musuh untuk menyerang. Sejak ribuan tahun dahulu, hutan hujan di Malaysia menyaksikan pembangunan tamadun dan kerajaan melayu kuno dan ratusan peperangan yang meletus untuk menakluk kota- kota yang menjadi pusat ketamadunan yang begitu makmur serta kaya raya. Kejatuhan kota- kota ini lazimnya menyebabkan ia dimusnahkan oleh pasukan penakluk, ditinggalkan oleh penduduknya serta segera ditelan oleh hutan hujan tropika sehingga sukar untuk dikesan.


Di seluruh dunia, pakar arkeologi telah mula meneroka dan menggunakan satu sistem laser yang bukan sahaja murah tetapi mudah untuk digunakan dalam mencari pusat- pusat ketamadunan yang terselindung di sebalik lembayung hutan hujan tropika yang sukar untuk ditembusi. Sistem laser yang dikenali sebagai LIDAR kini menjadi popular bukan sahaja ketepatannya dalam mengukur jarak dan mengesan halangan sehinggakan dijadikan salah satu sistem penting dalam kenderaan panduan automatik, ia juga mula digunakan dalam pelbagai bidang dan aplikasi termasuk ilmu alam lautan.

Sudah pastinya sekarang ini ramai pembaca yang tergaru- garu kepala memikirkan apa kaitan diantara sistem LIDAR, arkeologi, hutan hujan tropika dan kereta panduan automatik dengan bidang ketenteraan bukan? Sabarrrr...

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ahli arkeologi telah mula menggunakan sistem LIDAR dalam pencarian kota- kota kuno yang ditelan oleh hutan tropika yang tebal. LIDAR berfungsi seperti sonar tetapi menggunakan cahaya untuk memetakan satu- satu kawasan dengan tepat dan terperinci. Salah satu kelebihan LIDAR adalah ia mampu untuk menembusi lembayung hutan dan belukar yang menutupi bentuk muka bumi. Oleh itu ia mampu mengesan dan memetakan kota- kota yang hilang ditelan hutan. Dalam aplikasi ketenteraan pula, LIDAR boleh mengesan dan memetakan kedudukan pasukan tentera dan kubu pertahanan mereka di dalam hutan mahupun ladang kelapa sawit. Malah LIDAR dikatakan boleh mengesan kereta kebal dan meriam artileri yang berlindung dibawah jaring penyamaran. Apa yang diperlukan adalah sebuah dron atau UAV yang dipasang dengan sistem LIDAR untuk terbang di kawasan sasaran selama kurang daripada sejam (bergantung kepada keluasan kawasan sasaran) untuk mengumpul data. Data kemudiannya akan diproses untuk membentuk imej grafik 3D yang boleh dimanipulasikan untuk dikaji dengan lebih dekat.

Penggunaan LIDAR pada kenderaan panduan automatik kini telah mula merebak kepada UGV dimana ia memberi panduan kepada UGV tentang halangan yang terdapat pada laluan bagi membolehkan kenderaan untuk meronda tanpa melanggar halangan. Tentera Laut Amerika juga kini sedang meneroka penggunaan LIDAR untuk memetakan kawasan perairan yang cetek, mencari periuk api dan juga kapal selam musuh yang belayar berdekatan dengan permukaan laut atau bersembunyi di perairan yang cetek dimana sukar untuk dikesan oleh sonar. Malah kuasa- kuasa besar telah mula membangunkan satelit yang dilengkapi dengan LIDAR untuk mengesan kapal selam musuh yang beroperasi di laut dalam.

Foto: Grafik kota-kota kuno di Tikal, Guatamala yang dibina berdasarkan data- data daripada pemetaan oleh sistem LIDAR. Kebanyakan kota- kota ini tersembunyi di bawah lembayung hutan hujan tropika.

Most Read