Sistem IFF pesawat pejuang 

No photo description available.

Dalam peperangan udara, keupayaan untuk mensasarkan dan memusnahkan pesawat musuh jarak di luar ufuk penglihatan atau Beyond Visual Range (BVR) adalah penting. Jika dahulu pertempuran jarak dekat atau dogfight dikira sebagai sesuatu yang biasa, pengenalan peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana telah memungkinkan pesawat musuh dimusnahkan sebelum ia dapat dilihat oleh mata kasar.

Pun begitu penggunaan peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana awal dilihat mempunyai kelemahannya sendiri seperti prestasinya yang kurang memuaskan dan tidak boleh diharapkan. Semasa Perang Vietnam, peluru berpandu AIM-7 seringkali gagal samada disebabkan oleh faktor kurangnya latihan, cuaca atau berlaku kerosakan semasa pembuatan/ pengendalian peluru berpandu. Sistem panduan peluru berpandu yang memerlukan pesawat sentiasa menghalakan radar kepada pesawat musuh sehingga proses pemintasan selesai juga tidak membantu.

Pengenalan peluru berpandu udara ke udara jarak sederhana dengan panduan aktif seperti AIM-120 AMRAAM telah merevolusikan pertempuran udara. Ia memiliki prestasi yang jauh lebih baik, keandalan yang tinggi dan mempunyai sistem panduan radar aktif. Ini bermakna ia adalah bersifat "tembak dan lupakan" iaitu ia beroperasi secara automatik sebaik sahaja dilancarkan tanpa perlu bantuan atau panduan daripada pesawat yang melancarkannya. AMRAAM memberi keupayaan keupayaan untuk mensasarkan dan memusnahkan pesawat musuh jarak di luar ufuk penglihatan kepada kebanyakan pesawat pejuang biasa.

Walaupun begitu, keupayaan untuk mensasarkan dan memusnahkan pesawat musuh jarak di luar ufuk penglihatan mempunyai masalah-masalahnya tersendiri. Salah satu daripadanya adalah masalah pengenalan pesawat yang hendak disasarkan - samada ianya pesawat kawan atau lawan? Lazimnya cara pengenalan yang digunakan adalah pengenalan menerusi sistem pengenalan pesawat kawan atau lawan (Identification Friend or Foe- IFF) Hampir setiap pesawat akan memiliki Sistem IFF ini. Ia berfungsi secara berkomunikasi dengan sistem IFF pesawat yang hendak disasarkan melalui kod- kod tertentu. Sekiranya tiada jawapan diterima atau kod balas yang salah diterima, sistem akan mengklasifikasikan pesawat tersebut sebagai musuh. Kod untuk sistem IFF akan ditukar setiap hari bagi mengelakkan ianya diketahui musuh.

Walaubagaimanapun sistem IFF tidaklah andal sepenuhnya. Ia mungkin mengalami kerosakan atau kodnya tidak ditukar setiap hari seperti yang sepatutnya dan mungkin juga berlaku kesilapan seasa memasukkan kod yang betul. Oleh itu wajib ada cara kedua mahupun ketiga untuk juruterbang untuk mengenalpasti identiti pesawat yang hendak disasarkan. Satu cara yang lazimnya digunapakai adalah menerusi penggunaan pesawat AEW&C. Pun begitu, dalam peperangan ada sahaja kemalangan atau kesilapan yang boleh berlaku sehingga mengakibatkan terjadinya kejadian tertembak pesawat kawan.

Most Read