Peluru berpandu P-15 Hermit ASM
Kapal serang laju atau Fast Attack Craft (FAC) digeruni kerana kerana kuasa tembak yang dimilikinya berbanding saiznya yang kecil. Umpama cili padi, ia direka untuk menyerang hendap kapal perang muduh yang jauh lebih besar dan memecut pergi dengan laju sebaik sahaja selepas melancarkan peluru berpandunya. Taktik yang sering digunakan oleh FAC adalah dengan bersembunyi di kawasan perairan cetek, pulau- pulau kecil atau laluan perkapalan yang sibuk sebelum menyerang secara tiba- tiba. Konsep kapal serang laju dikatakan berasal daripada bot penyerang torpedo atau Motor Torpedo Boat (MTB) yang juga melancarkan serangan kilat ke atas kapal perang musuh dengan melancarkan torpedo sebelum melarikan diri. TLDM sendiri pernah mengoperasikan bot penyerang torpedo daripada kelas Perkasa.
Pada zaman kemunculannya, kapal serang laju dipandang rendah kerana kekuatan tentera laut diukur daripada jumlah pemilikan kapal perang. Meskipun MTB berkhidmat dengan cemerlang semasa Perang Dunia Kedua, ia dianggap tidak lebih daripada gangguan yang menyusahkan di dalamperang laut. Malah komander MTB lazimnya dianggap tidak mempunyai harapan yang cerah dalam perkhidmatan berbanding pegawai- pegawai yang berkhidmat di kapal perang. Namun begitu, Tentera Laut USSR telah melihat potensi senjata yang baru direka untuk menidakkan keunggulan kuasa laut negara- negara NATO yang sememangnya secara tradisinya telah memiliki tentera laut yang kuat. Senjata tersebut adalah peluru berpandu anti kapal.
Peluru berpandu anti kapal awal keluaran USSR menggunakan rekabentuk ataupun badan pesawat pejuang sedia ada seperti MiG-15 yang telah diubahsuai. Keburukkannya adalah saiznya yang besar memerlukan ruang di atas kapal yang luas. Disamping itu beratnya yang tinggi memerlukan bahan api cecair bagi menghasilkan daya tujahan yang mencukupi. Masalahnya bahan api cecair ini sangat menghakis sifatnya. Oleh itu bahan api tersebut perlu dipam masuk ke dalam peluru berpandu sebelum ia dapat dilancarkan- satu proses yang memakan masa, merbahaya dan penuh dengan risiko tinggi. Kelebihannya adalah oleh kerana saiznya yang gedabak (dan mungkin juga gedebab), maka dia mampu untuk memuatkan kepala peledak yang besar saiznya dengan kuasa memusnah yang tinggi. Tidak mustahil untuk sebuah peluru berpandu ini mampu untuk menenggelamkan kapal pembinasa dengan mudah!
Peluru berpandu anti kapal yang banyak dipasang pada kapal perang USSR adalah peluru berpandu P-15 Termit (SS-N-2 Styx). Tentera Laut USSR kemudiannya menzahirkan idea untuk melengkapi bot penyerang torpedo Project 183 dengan peluru berpandu anti kapal P-15 dan melahirkan kapal serang laju Project 183R atau lebih dikenali sebagai Komar. Pada permulaan operasinya, kapal serang laju ini dipandang rendah malah peluru berpandunya juga tidak dipandang sebagai sesuatu yang merbahaya memandangkan ianya masih belum terbukti dalam peperangan. Pun begitu kapal serang laju ini dieksport kepada negara- negara sekutu USSR terutamanya negara- negara dunia ketiga termasuklah Mesir.
Pada tahun 1967, dua buah kapal serang laju Komar Tentera Laut Mesir telah melancarkan empat peluru berpandu P-15 ke arah kapal pembinasa INS Eilat milik Tentera Laut Israel. Dua P-15 pertama yang menghentam kapal pembinasa tersebut menyebabkannya hampir patah dua dan dua peluru berpandu lagi menambahkan lagi luka yang sememangnya sudah parah. Tenggelamnya kapal pembinasa INS Eilat Israel telah merevolusikan penggunaan peluru berpandu anti kapal dalam peperangan laut dan membuka mata banyak pihak terutamanya Amerika.
INS Eilat bukanlah mangsa terakhir peluru berpandu P-15 malah sehingga tahun 1990, peluru berpandu ini telah berjaya menenggelamkan empat buah kapal perang dan menyebabkan dua lagi mengalami kerosakan yang begitu serius sehingga terpaksa dibersarakan. Oleh itu tidak hairanlah Amerika mengganggapnya satu ancaman yang serius terhadap kapal perangnya. Menerusi agensi perisikannya, Amerika berjaya mendapatkan sistem panduan P-15 daripada Indonesia dan setelah mengkajinya, mereka mendapati peluru berpandu tersebut boleh dipatahkan serangannya dengan menggunakan penyerakan elektronik. P-15 juga agak mudah untuk dikesan oleh radar (kerana saiznya yang sangat besar) dan boleh dipintas oleh peluru berpandu pertahanan udara. Apa yang pasti, semasa perang Ramadan 1972, puluhan peluru berpandu P-15 yang dilancarkan terhadap kapal perang Israel, tidak satupun yang mengenai sasarannya.