Senjata anti armor TDM

May be an image of outdoors

Meskipun jentera berenjin telah mula diperkenalkan dalam perang secara meluas semasa Perang Dunia Pertama, ia masih belum dapat mengatasi penggunaan haiwan seperti kuda, lembu dan keldai. Malah, semasa Perang Dunia Kedua dimana Jerman telah memperkenalkan pasukan mekanis, masih banyak negara yang masih mengekalkan penggunaan pasukan kalvari berkuda dalam peperangan!

Pun begitu, jentera telah mula menggantikan haiwan untuk tujuan ketenteraan sehingga lah sekarang dimasa pasukan berkuda dianggap simbol dan sebahagian daripada tradisi pasukan kalvari. Kini hampir setiap negara memiliki pelbagai jenis kenderaan armor daripada kereta perisai, APC sehinggalah kepada kenderaan tempur infantri dan MBT. TDM sahaja memiliki lebih daripada 500 buah kenderaan tempur infantri yang berfungsi untuk meninjau, mengiringi MBT dan mengasak rusuk pasukan musuh secara serangan pantas. Malah semasa peperangan menawan Iraq dan pertempuran di Marawi yang melibatkan peperangan dalam bandar, kereta perisai dan kenderaan tempur masih dapat berjuang dengan baik apabila digunakan dengan taktik yang betul. Oleh itu, sekiranya peperangan meletus, kenderaan tempur akan digunakan sebagai elemen kejutan untuk menekan musuh secara berterusan dan mematahkan semangat juang mereka.

Untuk menentang ancaman seperti ini, pasukan infantri memerlukan keupayaan anti armor ringan. Sebelum Perang Dunia Kedua, keupayaan anti armor adalah merupakan keupayaan khusus bagi sesetengah unit atau pasukan. Fakta ini boleh dilihat semasa kempen menaklukan Malaya oleh Jepun semasa Perang Dunia Kedua apabila usaha tentera British untuk menyekat kemaraan tentera Jepun yang bergerak daripada sempadan Thailand turut meliputi meriam- meriam anti kereta kebal 2 pounder. Meskipun tentera Jepun hanya menggunakan kereta kebal ringan, ia tetap menggusarkan pemerintah tertinggi British. Ternyata kereta kebal ringan Jepun mudah untuk dimusnahkan oleh meriam 2 pounder. Dalam satu siri serangan hendap di Kedah untuk melengahkan kemaraan tentera Jepun, tentera British telah berjaya memusnahkan puluhan kereta kebal ringan Jepun dengan hanya menggunakan meriam 2 pounder. Walaubagaimanapun mereka terleka dan dikejutkan dengan kemaraan pantas kereta kebal ringan Jepun yang muncul secara tiba- tiba ketika mereka sedang berehat sebelum bersiap untuk serangan hendap seterusnya di Changlun. Oleh kerana dalam keadaan tidak bersedia dan mungkin meriam anti kereta kebal masih lagi dalam posisi tundaan, seluruh anggota batalion Punjab 1/ 4 telah bertempiaran lari meninggalkan senjata berat mereka. Hanya 270 anggota yang berjaya sampai ke garisan pertahanan British di Asun.

Pengenalan senjata anti armor ringan yang dapat menembusi perisai kenderaan tempur dengan baik setiap kali ia digunakan seperti M9 Bazooka dan Panzerfaust serta Panzerschrek telah merintis jalan untuk pengenalan keupayaan anti armor ringan kepada pasukan infantri. Perang Vietnam pula menyaksikan pihak yang bertelagah menggunakan senjata anti armor ringan mereka seperti M72, RPG-2 dan RPG-7, terhadap sasaran yang tidak konvensional seperti bangunan dan kubu pertahanan seperti yang dapat dilihat semasa operasi Tet Offensive terutamanya semasa usaha menawan kembali bandar Hue. Penggunaan senjata anti armor ringan ini didapati agak efektif jika latihan secukupnya diberikan dan penggunaan taktik yang betul. Cara pengoperasian yang begitu mudah serta ringkas juga turut menyumbang kepada keberkesanan senjata anti armor ringan pada ketika itu. Sebagai contoh, semasa serangan tentera Vietnam Utara pada tahun 1972, tentera Vietnam Selatan dilaporkan berjaya mengekang serangan armor musuh dengan hanya menggunakan senjata anti armor ringan M72.

Jelas sekali keupayaan anti armor bagi pasukan infantri adalah amat penting bagi membolehkan mereka untuk menangani ancaman kenderaan tempur atau pelbagai ancaman serta sasaran lain seperti kubu, bunker dan dinding bangunan. Oleh itu tidak hairanlah TDM dilihat seperti sedang memantapkan keupayaan anti armornya. Samada sedar ataupun tidak, TDM sekarang memiliki lebih daripada 10 senjata anti armor daripada pelbagai jenis. Secara amnya senjata anti armor TDM boleh dikategorikan kepada 3 iaitu:

ATGM
- Baktar Shikan
- Metis M
- ZT3 Ingwe

Senjata anti armor ringan pakai buang
- C90
- M-72
- NLAW

Senjata anti armor ringan isian semula
- M2 Carl Gustav
- M3 Carl Gustav
- M4 Carl Gustav
- RPG-7
- RBR-7

Jelas sekali ATGM adalah untuk membantai dan memusnahkan MBT serta struktur musuh yang kukuh. Baktar Shikan dan Metis M dipasang pada kenderaan dan lazimnya bertindak sebagai hunter killer dimana mereka memburu dan menyerang hendap dengan pantas MBT musuh sebelum berundur dengan segera sebelum musuh dapat membalas.

Senjata anti armor ringan pula untuk memusnahkan kenderaan tempur, kereta perisai, kenderaan dan struktur tempat musuh berlindung serta sasaran yang bersesuaian. Bezanya senjata anti armor ringan isian semula lebih dinamik kerana operator boleh memilih untuk menghentam sasaran dengan menggunakan roket bersesuaian bagi menghasilkan kerosakan yang lebih besar atau lebih efisyien.

Dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata anti armor, TDM lebih bersedia untuk menghadapi ancaman pasukan armor musuh mahupun medan peperangan yang berbeza seperti peperangan dalam bandar yang semakin relevan dewasa ini.

Most Read