Covid-19
Senario politik tempatan adalah salah satu topik yang seboleh- bolehnya dielakkan untuk dibincangkan oleh tim RENTAKA. Fahaman politik adalah salah satu faktor yang mampu memecahbelahkan masyarakat dan meskipun tim RENTAKA hampir sebulat kata dalam bidang pertahanan, fahaman politik lain pula ceritanya. Oleh itu topik yang hendak dibincangkan kali ini adalah umpama meniti di titian usang.
Meskipun terdapat pelbagai percanggahan pendapat tentang keberkesanan usaha kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19, pada dasarnya kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk menghentikan penyebaran Covid-19 dan telah membelanjakan berbilion ringgit dalam bukan sahaja memastikan pesakit dijaga dengan baik, malah untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan serta sektor industri dan perniagaan yang merudum akibat impak daripada pandemik dahsyat ini. Oleh itu tidak hairanlah pertumbuhan ekonomi telah menguncup selaras dengan langkah- langkah pencegahan penyakit yang telah diambil seperti kuarantin dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penguncupan kadar pertumbukan Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK akan memberi impak negatif terhadap pendapatan negara dan iannya akan turut mempengaruhi pertahanan negara secara negatif.
Samada secara kebetulan ataupun tidak, pandemik Covid-19 ini tercetus di waktu pergeseran di Laut China Selatan semakin memuncak. Disaat negara sepatutnya mmperkuatkan pertahanan negara, perhatian dan sumber kewangan terpaksa dihalakan semula ke arah memerangi pandemik dan membantu rakyat. Pun begitu, pembangunan pertahanan tetap dilakukan tetapi pada skala yang jauh lebih kecil. Sebagai contoh, pembelian bot pemintas FIC dan retrofit kapal serang laju kelas Perdana yang bakal melanjutkan lagi usianya mungkin sehingga ke 2030-40. Masalah dalam program pembinaan kapal perang buatan tempatan turut membantutkan pembangunan armada TLDM. Lebih teruk lagi, ini berlaku setelah kerajaan membayar berbilion ringgit kepada firma- firma terbabit. Hasrat kerajaan untuk memajukan serta melihat kapal perang yang dikeluarkan oleh limbungan tempatan berterusan, telah lebur bukan sekali malah TIGA KALI. Persoalannya, adakah akan berlaku perkara yang sama buat kali seterusnya?
Yang menariknya jika dahulu ramai pembaca yang mengkritik kerajaan kerana tidak memberi peluang kepada limbungan tempatan untuk membina kapal perang untuk TLDM, kini kritikan seperti itu tiada lagi yang kedengaran.
Pencerobohan 16 buah pesawat pengangkut PLAAF di ruang udara EEZ negara telah menggemparkan negara. Mujurlah pesawat Hawk TUDM sempat dikerahkan untuk memintas pesawat- pesawat tersebut dan mengiringi keluar daripada ruang udara negara. Peristiwa ini dilihat sebagai China cuba untuk menguji kesiagaan pertahanan negara. Sudah pastinya berbakul China dikutuk secara berjemaah oleh rakyat Malaysia. Tapi impaknya adalah kerajaan segera mengeluarkan tender untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA. Bayangkan kalau 16 buah pesawat pejuang PLAAF yang menceroboh masuk, mungkin kerajaan akan membuka tender untuk pesawat MRCA yang telah sekian lama terbantut.
Kita harus mengakui bahawa perang melawan Covid-19 menuntut pengorbanan dan kesabaran daripada semua pihak. Kerajaan tidak mampu untuk melayan kehendak semua dan ada kehendak atau keperluan yang terpaksa ditangguhkan perlaksanaannya. Walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati, kerajaan masih menumpukan perhatian kepada perkara terpenting iaitu menjaga, merawat dan membantu rakyat ketika memerangi Covid-19. Ada sesetengah negara masih lagi membangunkan kekuatan tentera mereka sedangkan wabak Covid-19 terus merebak dengan pantas.
Jika terdapat negara- negara yang lambat bertindak dalam mengawal merebaknya Covid-19 secara berterusan, tidak mustahil berlakunya migrasi besar- besaran secara haram ke negara- negara yang kerajaannya lebih prihatin. Ini kan menyebabkan kawalan dan kadar jangkitan dI negara destinasi menjadi semakin memburuk dan memaksa negara tersebut untuk mengeluarkan belanja yang lebih besar bagi memastikan kadar jangkitan dapat dikawal. Akan tetapi ini boleh menyebabkan kerajaan negara tersebut hampir muflis.