Pengisian bahan api di udara

https://www.malaysiandefence.com/wp-content/uploads/2018/02/A400MrefuellingF-18-1.jpg

Walaupun seringkali tidak diberikan perhatian peminat ketenteraan, pesawat penangki sebenarnya adalah salah satu pengganda kuasa bagi tentera udara sesebuah negara. Keupayaan pengisian bahan api di udara bukan sahaja mampu untuk menggandakan jangkauan operasi pesawat pejuang/ penyerang serta membantu pesawat-pesawat tersebut meronda/ berada di kawasan operasi dengan lebih lama, ia juga mengizinkan pesawat- pesawat tersebut untuk membawa bebanan persenjataan sehingga ke semaksimum mungkin.
 
Setiap pesawat mempunyai berat berlepas maksimum atau maximum take-off weight yang merupakan gabungan berat pesawat, bahan api, bebanan yang dibawa dan juga juruterbang. ada sesetengah pesawat yang mampu membawa bebanan yang tinggi tetapi dihalang daripada membawa bebanan semaksimum mungkin oleh faktor berat berlepas maksimum. Disamping itu, berlepas dengan pesawat yang membawa berat berlepas maksimum memerlukan skil juruterbang yang tinggi dan landasan berlepas yang panjang.
 
Salah satu cara yang digunakan untuk melangkaui sekatan berat berlepas maksimum adalah dengan mengisi bahan api pada kadar yang sedikit dan pada masa yang sama, membawa bebanan semaksimum mungkin. ini menjadikan berat keseluruhan pesawat berada dibawah berat berlepas maksimum dan menjadikan pesawat lebih selamat untuk berlepas. Sebaik sahaja pesawat telah berlepas, pengisian bahan api di udara akan dilakukan dan sebaik sahaja tangki bahan api penuh, pesawat boleh meneruskan operasi seperti biasa tetapi dengan membawa bebanan persenjatan yang jauh lebih berat daripada kebiasaannya.
 
Lazimnya terdapat dua jenis pengisian bahan api di udara iaitu sistem "Probe and Drogue" dan sistem "Boom". Kedua- dua sistem ini amat berbeza dan mempunyai kelebihan serta kelemahan tersendiri. TUDM menggunakan sistem Probe and Drogue bukan sahaja kerana ia lebih mudah untuk digunakan dan lebih selamat, ia juga turut digunakan oleh kebanyakan tentera udara di seluruh dunia dan boleh digunakan untuk mengisi minyak pelbagai jenis pesawat serta helikopter yang dilengkapi dengan peralatan yang bersesuaian (dan mungkin juga kerana kebanyakan pesawat pejuang TUDM adalah sama jenis dengan yang digunakan oleh Tentera Laut/ Tentera Marin Amerika dan mereka menggunakan sistem probe and drogue).
 
Walaupun juruterbang Su-30MKM dalam video ini nampaknya membuat proses pengisian bahan api di udara nampak mudah, ia sebenarnya agak sukar dan memerlukan daya konsentrasi serta kesabaran yang tinggi terutamanya sewaktu melaksanakannya ketika cuaca buruk.

Most Read