Bagaimana Thailand membeli Stryker dengan cara yng kreatif dan menjimatkan.
Walaupun Thailand memiliki industri pertahanan yang agak besar dan berjaya mengeksport produk mereka ke beberapa buah negara (sebagai contoh kereta perisai Lipan Bara), mereka seringkali membuat pilihan serta strategi bijak dalam memodenkan angkatan tentera mereka.
Salah satu contoh menarik, di waktu negara- negara jiran Thailand membelanjakan wang yang banyak untuk membangunkan kenderaan tempur 8x8 yang diubah suai khusus untuk memenuhi keperluan tentera darat masing- masing, Thailand memilih untuk membeli kenderaan tempur VN-1 daripada China. Untuk menjimatkan wang dan memastikan pembelian tidak mengganggu pembelian pertahanan yang lain, mereka membeli kenderaan tempur tersebut secara berdikit-dikit tetapi secara berterusan. Sehingga tahun ini, Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) telah memiliki kira- kira 111 buah kenderaan tempur VN-1 8x8.
Mungkin mereka ingin menambah bilangan kenderaan tempur yang dimiliki tetapi dengan jenis yang berbeza, RTA telah merencanakan untuk membeli kenderaan tempur M1126 Stryker daripada Amerika. Malangnya keadaan ekonomi Thailand (dan negara serantau) agak kurang memberansangkan untuk memungkinkan pembelian kenderaan tempur tersebut.
Enggan mengalah, kerajaan Thailand mula bertindak bijak (dan kreatif!). Mereka merundingkan pembelian sejumlah 37 buah kenderaan tempur M1126 Stryker terpakai pada harga USD80 juta. Meskipun pakej pembelian ini kelihatan sangat mahal, ia meliputi pakej latihan, alatan ganti, pembinaan fasiliti, persenjataan dan sokongan senggaraan serta pakej sistem komunikasi. Pun begitu, ia masih kelihatan mahal. Akan tetapi Amerika kemudiannya bersetuju untuk menambah 23 buah lagi kenderaan tempur Stryker secara percuma dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 60 buah. Terkini, Thailand dilaporkan bercadang untuk menambah lagi 60 buah kenderaan tempur Stryker. Sudah pastinya mereka cuba untuk mendapatkan pakej yang terbaik (dan mungkin juga mendapatkannya secara percuma!).
Sememangnya kerajaan Thailand bertindak kreatif, bijak dan istiqamah (serta berani!) dalam memodenkan angkatan tentera mereka. Agak berbeza dengan situasi di negara kita. Bayangkan jika kerajaan Malaysia membeli 37 kenderaan tempur terpakai pada harga USD80 juta. Sudah pastinya kerajaan dihamburkan dengan pelbagai seranah. Teringat pula di waktu pembelian helikopter EC725AP dahulu. Sungguh berwarna- warni bukan?