Super Lynx dan Sea Skua - Gandingan pemburu FAC

https://www.malaysiandefence.com/wp-content/uploads/2017/03/sea-skua-firing.jpg

Kapal serang laju atau Fast Attack Craft (FAC) digeruni kerana kerana kuasa tembak yang dimilikinya berbanding saiznya yang kecil. Umpama cili padi, ia direka untuk menyerang hendap kapal perang musuh yang jauh lebih besar dan memecut pergi dengan laju sebaik sahaja selepas melancarkan peluru berpandunya. Taktik yang sering digunakan oleh FAC adalah dengan bersembunyi di kawasan perairan cetek, pulau- pulau kecil atau laluan perkapalan yang sibuk sebelum menyerang secara tiba- tiba. Oleh kerana itu, ia digemari oleh tentera laut di Asia Tenggara.
 
Satu lagi trend yang menarik adalah penggunaan bot- bot serta kapal- kapal peronda bersaiz kecil untuk menjaga perairan negara. Bot serta kapal seperti ini mudah dan murah untuk dikeluarkan dan amat sesuai untuk digunakan bagi menjaga keselamatan perairan sesebuah negara daripada dicerobohi. Meskipun tidak mempunyai jangkauan operasi yang jauh, krew yang kecil dan dilengkapi dengan meriam berkaliber kecil, jumlah yang boleh dihasilkan pada peruntukan yang kecil menjadikannya satu pendekatan yang agak popular terutamanya bagi negara- negara yang mempunyai kawasan laut yang luas tetapi kemampuan belanjawan yang rendah. Malah ada sesetengah negara yang melengkapi kapal peronda mereka dengan peluru berpandu anti kapal, menjadikan kapal- kapal peronda kecil ini sebagai ancaman serius kepada kapal- kapal perang negara lain.
 
Oleh kerana saiznya yang kecil, adalah agak merugikan untuk memusnahkan kapal peronda seperti ini dengan menggunakan peluru berpandu anti kapal biasa seperti Exocet dan Harpoon yang lebih sesuai untuk menghentam kapal- kapal perang musuh yang lebih besar seperti frigat dan korvet.
 
Namun begitu, kapal- kapal serta bot peronda seperti ini mempunyai satu kelemahan yang ketara - ia lazimnya tidak dilengkapi dengan sistem pertahanan udara yang baik. Oleh kerana itu lazimnya helikopter atau pesawat dihantar untuk meninjau kawasan- kawasan dimana FAC mungkin bersembunyi untuk menyerang hendap. Sekiranya dijumpai, helikopter/ pesawat akan menyerang FAC menggunakan peluru berpandu ringan seperti Sea Skua, Marte atau Maverick daripada jarak yang selamat. Sekiranya peluru berpandu mengenai tepat pada sasarannya, ia lazimnya akan mengakibatkan kemusnahan yang serius kepada FAC atau kapal peronda tersebut.
 
Helikopter Super Lynx TLDM boleh dilengkapi dengan sehingga dua peluru berpandu Sea Skua untuk menghadapi ancaman kapal serang laju dan kapal peronda yang cuba menyerang hendap atau menceroboh masuk ke perairan negara. Mana mau lari heheheh...