Dewasa ini, ada pembaca yang memberikan komen adalah berkenaan ATM dan kerajaan yang seperti hanya berminat untuk mengkaji sahaja daripada membuat pembelian. Pada sekilas pandang, komen- komen seperti ini banyak di ruangan komen page ketenteraan tempatan sehinggakan kelihatan seperti ada agenda tersembunyi kerana nada dan ayatnya hampir sama di semua tempat. Komen daripada peminat muda/ cilik? Mungkin. Tetapi mungkin juga cybertrooper kerana ada yang memberikan komen seperti ini mempunyai profil yang agak meragukan. Apapun, RENTAKA melihat komen seperti ini sebagai komen yang kurang bijaksana.

Pertama- tamanya, orang yang memberi komen bukanlah mereka yang pernah berkhidmat dalam angkatan tentera, apatah lagi terlibat dalam merancang pertahanan negara. Keduanya, aset pertahanan negara melibatkan bidang yang cukup teknikal yang kurang difahami oleh orang awam. Jadi, kajian menyeluruh tentang satu- satu sistem persenjataan harus dilakukan bagi memastikan impak positif terhadap keupayaan pertahanan negara adalah besar dan pada masa yang sama kesan negatif dapat diminimakan.



Contoh yang terbaik? Sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana. Ramai yang marah dengan sikap kerajaan yang mengambil masa agak lama untuk mengkaji kesesuaian sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana. Tidak kurang juga mereka yang mempersoalkan pemilikan sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat (SHORAD) dan MANPADS oleh ATM. Ada juga yang menganggap sistem peluru berpandu pertahanan udara tertentu sudah lebih daripada mencukupi bagi memastikan pesawat musuh tidak berani menghadirkan diri. Tiba- tiba, berita pelabuhan Latakia di Syria diserang oleh pesawat pejuang Israel dan sistem peluru berpandu pertahanan udara S400 gagal untuk bertindak secara efektif. Tiada satupun pesawat pejuang Israel yang berjaya ditembak jatuh. Sekelip mata pendapat mula berubah dan ramai mula memperkatakan tentang pentingnya sistem SHORAD dan MANPADS dalam membentuk pertahanan udara berlapis yang berkesan (seperti yang dilakukan oleh ATM selama ini). Segala komen dan kutukan terhadap pertahanan udara ATM selama ini segera dilupakan.

Sebagai satu angkatan tentera yang profesional, ATM sudah pastinya memiliki pelbagai kepakaran dalam bidang pertahanan. Ia bukan sahaja melihat dan mengkaji sistem persenjataan menerusi pelbagai sumber tetapi juga menguji sistem persenjataan tersebut. Jadi pendedahan dan maklumat yang mereka perolehi adalah daripada pelbagai sumber dan meliputi pelbagai aspek dalam menentukan kesesuaiannya di medan tempur menggunakan doktrin ATM. Ini berbeza dengan kebanyakan orang yang membina pendapat daripada sumber yang terhad yang diukir dan dibentuk oleh pihak- pihak tertentu. Pendedahan yang berbeza menghasilkan pendapat yang berbeza.

Jadi persoalannya, adakah "mereka- mereka" yang lantang mengkritik ini benar- benar prihatin dengan pertahanan negara atau hanya ini memenangi perdebatan di forum- forum atau ruangan komen page pertahanan?

©2022 RENTAKA. © Tips Empire. Sebarang ulang terbit, ulang siar atau perkongsian dalam apa jua bentuk dan medium daripada mana- mana bahagian atau keseluruhannya tanpa kebenaran secara bertulis, adalah dilarang.

Sebarang idea untuk projek usahasama yang berkaitan dengan RENTAKA, bolehlah berhubung terus dengan pihak admin RENTAKA.