Salah satu berita pertahanan terhangat baru- baru ini adalah pembelian sejumlah sistem peluru berpandu anti kapal supersonik Brahmos oleh Filipina. Memang gemparlah. Seperti biasa, bermulalah adegan cabar- mencabar secara halus dan banding- membanding diantara "kerajaan kamu dan kerajaan kami" di laman- laman peminat ketenteraan. Agak kelakar juga bila membacanya.

Untuk pengetahuan semua pembaca RENTAKA, pemilihan sistem Brahmos sememangnya agak mengejutkan tim RENTAKA kerana sistem ini bukan sahaja sangat mahal tetapi juga agak kompleks untuk dioperasikan. Ditambah lagi dengan keadaan ekonomi serantau dan pandemik Covid-19 yang masih berleluasa, kerajaan Filipina dilihat seperti tidak mampu untuk membeli sistem peluru berpandu anti kapal mudah gerak yang canggih seperti itu. Bukan itu sahaja, ia turut memerlukan pertimbangan politik serantau.



Bagi mereka yang kurang arif tentang sejarah peluru berpandu Brahmos, ia sebenarnya adalah peluru berpandu anti kapal supersonik yang dibangunkan secara usahasama oleh India dan Rusia. Hampir kesemua komponen fizikal peluru berpandu ini dikatakan menggunakan komponen daripada Rusia manakala sistem dalaman dan perisian peluru berpandu dibangunkan oleh India. Sebenarnya ada satu lagi pilihan yang dikatakan lebih murah iaitu sistem peluru berpandu anti kapal supersonik mudah gerak Bastion. Akan tetapi Filipina langsung tidak mempertimbangkannya. Hairan bukan?

Tidaklah begitu menghairankan bagi mereka yang mengetahui bahawa strategi penggunaan pelancar peluru berpandu anti kapal mudah gerak untuk menutup laluan utama kapal- kapal dagang (dan armada Tentera Laut China) telah mula- mula dicadangkan oleh agensi penyelidikan keselamatan tersohor Amerika iaitu Rand Corporation. Strategi ini juga boleh dikembangkan untuk menyekat bahan mentah penting seperti minyak daripada sampai ke China sekiranya konflik serantau semakin memburuk. Menurut Rand Corporation, pelancar peluru berpandu anti kapal mudah gerak adalah satu pilihan yang murah, mudah, pantas serta tidak memerlukan latihan yang panjang dan rumit bagi membolehkan krew mengoperasikannya dengan efektif. Memang sungguh bijak.

Jadi terdapat kemungkinan bahawa pembelian sistem peluru berpandu anti kapal Brahmos ini adalah salah satu usaha halus Amerika untuk menyekat kekuasaan China di rantau Asia Tenggara. China bukan sahaja telah mula mencabar Amerika daripada segi ekonomi dan teknologi tetapi juga telah mula melebarkan pengaruhnya ke seluruh dunia. Kini China dilihat telah mula meluaskan pengaruh ketenteraannya seperti ratusan tahun dahulu. Pembelian sistem peluru berpandu anti kapal Brahmos dilihat bukan sahaja bakal memberikan Filipina keupayaan cegah rintang terhadap peluasan kuasa China di kawasan yang dituntutnya tetapi juga mampu untuk menutup laluan perkapalan China sekiranya konflik China- Taiwan atau Asia Tenggara semakin memburuk. Pembelian Brahmos jelas mendokong kepentingan Amerika dan menyokong usahanya untuk menyekat China daripada terus meluaskan kekuasaannya di Asia Tenggara.

Oleh kerana sistem peluru berpandu anti kapal Brahmos menggunakan teknologi Rusia, sudah pastinya Filipina menggundang kemarahan dan sekatan ekonomi daripada Amerika sekiranya ia membelinya tanpa kebenaran. Maka tidak dapat tidak, kesimpulan boleh dicapai bahawa pembelian Brahmos sudah pastinya mendapat kebenaran daripada pakcik Sam. Amerika sudah pastinya tidak memberikan kebenaran sekiranya Filipina memilih untuk membeli sistem peluru berpandu anti kapal terus daripada Rusia seperti sistem Bastion yang dikatakan jauh lebih murah. Akan tetapi, Oleh kerana Brahmos dikeluarkan oleh India (walaupun dengan teknologi Rusia), maka Filipina dapat mengelak daripada dikenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan dibawah akta CAATSA. Malah bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dana pembelian Brahmos juga berkemungkinan berasal daripada poket Pakcik Sam.

Apa yang pasti, sistem peluru berpandu Brahmos Filipina bakal menjadi senjata strategik yang menjadi perhatian utama bukan sahaja China tetapi juga negara serantau. Ironinya, Brahmos juga secara tidak langsung memberi tanda bahawa Amerika berkemungkinan tidak dapat mengekalkan kehadiran armada lautnya dalam jumlah yang mencukupi untuk menyekat kemaraan Tentera Laut China pada sebilang masa. Meskipun keupayaan Brahmos menjadikannya satu senjata yang merbahaya, kehadirannya boleh dikesan melalui penderia elektronik musuh(sekiranya operatornya tidak berhati- hati) manakala keupayaan mudah geraknya agak terbatas berikutan ketiadaan infrastruktur yang bersesuaian dan ditambah pula pulau- pulau di Filipina banyak yang kecil dan sempit. Pun begitu, sekiranya operator Brahmos bertindak bijak serta berhati- hati, hampir mustahil untuk mengesan pelancar peluru berpandu ini yang bersembunyi di antara ribuan pulau yang terdapat di Filipina. Keadaan politik Filipina yang pada segi sejarahnya sering dilanda rampasan kuasa turut menjadi risiko. Sekiranya pelancar Brahmos jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya, ia bukan sahaja boleh menjadi senjata makan tuan, tetapi juga boleh menjadikan laluan utama perdagangan antarabangsa sebagai tebusannya.