Analisa RENTAKA: Pesawat pejuang Saudi dan TUDM
Bagi RENTAKA, pengumuman berkenaan kemungkinan penjualan pesawat pejuang kepada Malaysia oleh Arab Saudi adalah satu perkara yang menarik kerana ia bukan sahaja berkemungkinan akan memberi bayangan terhadap keupayaan TUDM untuk tempoh sekurang- kurangnya dua dekad di hadapan, tetapi ia juga akan menentukan hala tuju TUDM dalam mempertahankan negara. Tentera Udara Diraja Arab Saudi mungkin nampak kecil berbanding negara- negara Timur Tengah yang lain tetapi ia adalah diantara yang terbaik.
Daripada segi pemilikan pesawat pejuang ia memiliki empat jenis pesawat pejuang utama iaitu Eurofighter Typhoon Tranche 2, F-15C Eagle, F-15S/SA Eagle dan Panavia Tornado IDS. Jadi persoalan seterusnya adalah, pesawat pejuang yang mana yang bakal dihibahkan kepada TUDM? Bagi RENTAKA, kuncinya terletak didalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh kerajaan dimana adalah dinyatakan bahawa:
1. Kerajaan Arab Saudi memberi pertimbangan serius untuk menawarkan penjualan lebihan aset ketenteraan milik Angkatan Tentera Arab Saudi kepada Malaysia.
2. Aset-aset ini bukan sahaja bersesuaian membantu melaksanakan penugasan dan operasi di peringkat serantau malah turut berupaya meningkatkan persefahaman untuk beroperasi secara bersama antara angkatan tentera Malaysia dan Arab Saudi.
Jadi bolehlah dirumuskan bahawa aset mungkin yang bakal dipilih adalah lebihan aset ketenteraan Arab Saudi, sesuai untuk operasi serantau dan sama jenisnya bagi peningkatan persefahaman dalam operasi bersama tentera Arab Saudi. Diantara pesawat pejuang yang menjadi calon, Arab Saudi memiliki 86 buah F-15C/D yang dibeli pada tahun 1981, 80 buah Tornado IDS yang dibeli pada tahun 1985 dan sedang dalam proses naik taraf, 72 buah pesawat Eurofighter Typhoon yang dibeli pada tahun 2006, 68 buah F-15S Strike Eagle yang dimiliki sejak tahun 1992 dan terbaru adalah 84 buah F-15SA yang mulai diterima pada tahun 2016.
Berdasarkan kenyataan media yang telah diberikan, bolehlah dirumuskan bahawa kata kuncinya adalah "bersesuaian" dan "berupaya untuk meningkatkan kesefahaman". Walaupun ia kelihatan seperti samar- samar, bagi #rentaka, ia seolah- olah memberikan bayangan bahawa pesawat pejuang yang bakal dipilih adalah pesawat pejuang "multirole" dan sememangnya ia adalah satu pilihan yang logik. Walaubagaimanapun, Arab Saudi memiliki dua jenis pesawat pejuang "multirole" iaitu Eurofighter Typhoon dan F-15S/SA (dua jenis lagi adalah F-15C adalah pesawat pejuang khusus untuk pertempuran udara manakala pesawat pejuang Tornado IDS khusus untuk serangan darat.). Eurofighter Typhoon kepunyaan Arab Saudi adalah daripada Tranche 2 (48 buah) dan Tranche 3A (24 buah) manakala pesawat pejuang F-15S yang dimiliki adalah sebanyak 68 buah. Jadi yang mana satu yang bakal dipinang oleh kerajaan Malaysia untuk TUDM?
Daripada analisa- analisa berdasarkan perkembangan politik di rantau timur tengah dan perkembangan di rantau Asia Tenggara, RENTAKA meramalkan bahawa pesawat yang mungkin bakal untuk dipilih adalah F-15S. Mengapa? Ada banyak kelebihan jika Malaysia memilih pesawat F-15S. Pertama- tamanya ia memenuhi keperluan TUDM untuk pesawat pejuang “multirole”. Ia juga bersesuaian untuk operasi serantau. Dengan jangkauan operasi kombat sejauh 1,270km, pesawat F-15S mampu untuk meronda hingga ke perairan Sabah dan Sarawak daripada pangkalan udara TUDM di Butterworth atau di Gong Kedak. Bandingkan dengan jangkauan operasi tempur F/A-18D Hornet dan F/A-18F Super Hornet yang kurang daripada 750km. Disamping itu ini adalah peluang untuk TUDM memiliki pesawat pejuang yang terbukti di dalam peperangan pada harga yang agak murah. Ia juga adalah penjualan diantara dua buah negara tanpa ada orang tengah. Daripada segi sistem persenjataan, ia boleh menggunakan kesemua jenis persenjataan yang digunakan oleh Hornet TUDM. Oleh kerana Singapura telahpun mengoperasikan pesawat F-15T yang hampir sama, tiada sebab untuk Amerika untuk menyekat penjualan pesawat F-15S Arab Saudi kepada Malaysia. Kos penyenggaraan juga boleh dikurangkan dengan menggunakan peruntukan EDA bagi membeli alatan ganti pada harga yang murah.
Mungkin ada yang bertanya mengapa tidak Eurofighter Typhoon? Jika dilihat kepada perkembangan di rantau timur tengah, negara ahli GCC yang merupakan sekutu kuat Arab Saudi seperti Kuwait, Qatar, UAE dan Oman telah mula mengikuti jejak langkah Arab Saudi dalam pemilihan pesawat pejuang terkini mereka. Kuwait dan Oman telah membeli pesawat Eurofighter Typhoon manakala Qatar telah membeli 72 buah F-15QA (QA- Qatar Advanced?). Jadi penggunaan pesawat yang sama akan memudahkan peningkatan kesefahaman dalam operasi bersama serantau. Selain itu, Arab Saudi baru sahaja selesai menerima Eurofighter Typhoon mereka dan agak tidak logik untuk menyedekahkan pesawat terbaik dan terbaru mereka terutamanya ketik mereka sedang giat dalam menentang pemberontakan puak Houthi di Yaman. Pesawat ini juga digunakan secara intensif dalam kempen ofensif Arab Saudi terhadap pemberontak Houthis. Disamping itu, jika dibandingkan dengan Eurofighter Typhoon, pesawat F-15S yang diiliki oleh Arab Saudi adalah jauh ketinggalan daripada segi keupayaan.
F-15E Strike Eagle dan versi- versinya adalah merupakan pesawat pejuang multirole yang hanya dijual kepada sekutu- sekutu kuat Amerika. F-15S adalah merupakan F-15E yang dibina khas untuk Arab Saudi tetapi dengan keupayaan radarnya telah direndahkan serta serta ia tidak boleh menggunakan kesemua jenis sistem persenjataan yang boleh dibawa oleh F-15E biasa. Sebagai contoh, radar AN/APG-70S nya hanya beroperasi pada kadar kuasa 60% berbanding radar AN/APG-70 dan hanya mempunyai 16 mod berbanding 32 mod. Resolusi mod Synthetic Aperture radarnya juga telah dikurangkan daripada 0.67 batu nautik kepada 4.7 batu nautika. Bukan itu sahaja, malah pod pembidik LANTRIN yang digunakan oleh F-15S juga telah direndahkan keupayaannya dimana mod penyerakan elektroniknya hanya efektif terhadap sistem pertahanan udara buatan Rusia tetapi tidak begitu efektif jika digunakan terhadap pesawat Amerika serta ia tidak mempunyai keupayaan ECCM langsung . Sistem avionik F-15S juga tidak mempunyai keupayaan “terrain following” seperti F-15E yang lain dimana ia membolehkan pesawat untuk terbang rendah menyusup masuk ke kawasan musuh dan menjadikannya sukar untuk dikesan oleh radar pertahanan udara musuh. Sistem navigasi F-15S pula menggunakan sistem navigasi inersia giro bulatan laser atau “laser ring gyro” yang digandingkan dengan GPS komersil- tepat tetapi tidaklah setepat jika digandingkan dengan sistem GPS gred tentera. Daripada segi persenjataan pula, F-15S tidak boleh melancarkan kesemua sistem persenjataan yang boleh dilancarkan oleh F-15E Strike Eagle seperti AGM-65D/G Maverick missiles, bom kluster CBU-87 dan bom panduan laser GBU-10, GBU-15 serta GBU-24.
Kepada yang berkata mengapa perlu memilih F-15S jika ia mempunyai begitu banyak kelemahan? Walaupun dengan kelemahan- kelemahan yang ada, F-15S masih lagi sebuah pesawat pejuang yang hebat dan dapat memenuhi keperluan TUDM. Reputasinya di dalam peperangan cukup menggerunkan dan ini menjadikannya satu elemen cegah rintang yang cukup ampuh kepada TUDM. Ia juga dapat mengekalkan imbangan kuasa serantau. Jadi walaupun dengan kekurangan yang ada pada F-15S, sekiranya dipilih dan sekiranya penjualannya dipersetujui oleh Arab Saudi dan Amerika, pada pendapat RENTAKA ia adalah satu pembelian yang cukup baik. Pun begitu, pada tahun 2011, Arab Saudi telah menandatangani kontrak pembelian sejumlah 84 buah pesawat pejuang F-15SA (SA= Saudi Advanced) baru dan kesemua 68 F-15S di dalam inventorinya akan turut dinaiktaraf menjadi F-15SA. Ini akan menjadikan jumlah F-15SA yang bakal dimiliki adalah sebanyak 152 buah. Jadi sekiranya kerajaan memilih untuk membeli F-15S dan sekiranya penjualannya dipersetujui oleh Arab Saudi dan Amerika, adakah TUDM akan memiliki F-15SA, sebenarnya?
Adakah analisa RENTAKA ini tepat dan akan menjadi kenyataan? Sama- samalah kita tunggu dan lihat...