No photo description available.Blackhawk/ Seahawk boleh memuatkan pelbagai modifikasi yang diperlukan malah ada modifikasi tersebut telahpun mencapai status battle proven seperti yang terdapat pada helikopter HH-60H Long Range SAR ini. (Foto: Rentaka)

Minggu lepas, tim Rentaka telah memilih helikopter Blackhawk sebagai helikopter yang baik untuk memenuhi keperluan TLDM bagi helikopter utiliti. Ada pembaca yang memperbetulkan posting #Rentaka bahawa versi helikopter yang sepatutnya adalah Seahawk yang digunakan oleh tentera laut Amerika (terima kasih diucapkan). Akan tetapi kesilapan itu sama sekali tidak mengubah pilihan tim Rentaka. Sudah tentu ramai yang tidak bersetuju dan rasanya ada yang pasti berkata posting ini dibayar siarannya (Pulau Perhentian, here we come hahaha...).
 
Tapi disini adalah 7 sebab mengapa tim Rentaka merasakan bahawa helikopter Blackhawk/ Seahawk adalah salah satu pilihan terbaik untuk TLDM.
 
1. Terdapat lebih daripada satu cara untuk mendapatkan helikopter ini daripada Amerika iaitu a) Pembelian dibuat menerusi program Foreign Military Sales (FMS)
b) Pemberian menerusi program Excess Defence Articles (EDA)
c) Pembelian secara terus atau Direct Commercial Sale (DCS) daripada syarikat pengeluar.
 
2. Samada pembelian menerusi FMS atau EDA, proses pembelian adalah secara telus dan tidak melibatkan pengambilan untung secara berlebihan mahupun penggunaan orang tengah yang mengambil komisyen. Maka penggunaan dana rakyat dapat dikurangkan dengan drastiknya.
 
3. Pembelian dibuat menerusi program Foreign Military Sales (FMS) dapat menjimatkan kos daripada segi harga kerana harga yang diperolehi adalah harga yang sama dengan yang dibayar oleh tentera Amerika malah mungkin menjadi lebih murah kerana penjimatan pembelian secara pukal. Helikopter juga adalah daripada spesifikasi yang sama dengan Blackhawk yang digunakan oleh tentera Amerika. Oleh itu bukan sahaja harga dapat dikurangkan malah masa menunggu juga dapat dipotong secara drastik lebih-lebih lagi jika spesifikasi yang diperlukan oleh TLDM hanyalah spesifikasi asas dan untuk kegunaan utiliti sahaja.
 
4. Pemberian dibuat menerusi program Excess Defence Articles (EDA) pula melibatkan pemberian helikopter terpakai secara percuma iaitu helikopter Blackhawk yang telah dilucut tauliah (dan mungkin usia jam penerbangan yang tinggi) dimana TLDM hanya perlu membayar kos untuk senggaraan dan kos pengangkutan. Pilihan ini memerlukan TLDM bertindak bijak untuk memilih helikopter yang masih mempunyai usia jam penerbangan yang masih banyak, badan serta kerangka yang masih utuh serta sistem dan komponen- komponen yang masih agak baru. Satu lagi cara pemberian adalah melalui hot transfer dimana helikopter yang diberi adalah yang masih berkhidmat dengan tentera laut Amerika. Akan tetapi TLDM masih perlu sangat berhati- hati, bimbang tersalah pilih, dapat helikopter yang bermasalah atau telah tinggi usianya. Pun begitu jika pilihan dibuat dengan baik, TLDM mungkin akan mendapat helikopter yang masih beroperasi dengan baik pada kos yang sangat rendah. EDA adalah satu pilihan yang wajar diterokai memandangkan bajet yang diberikan oleh kerajaan adalah agak rendah.
 
5. Daripada segi penyelenggaraan pula, dokumentasi serta peralatan dan alatan ganti dapat diperolehi dengan pantas, mudah dan dalam jangkamasa yang telah dijanjikan. Kos untuk khidmat sokongan serta pembelian alatan ganti boleh dikurangkan (atau dibayar sepenuhnya) menerusi geran yang telah diperuntukan oleh Amerika kepada setiap negara yang memohonnnya setiap tahun. Ada juga berlaku situasi dimana terdapat lebihan alatan ganti dalam pegangan tentera Amerika dan ianya akan ditawarkan menerusi program EDA untuk diberikan kepada negara- negara yang memohonnya. Daripada segi harga alat ganti pula, oleh kerana terdapat ribuan helikopter Blackhawk/ Seahawk beroperasi di seluruh dunia, harga alat gantinya berkemungkinan jauh lebih rendah daripada pesaingnya, mudah untuk diperolehi dan bekalannya sukar untuk terganggu.
 
6. Terdapat kemungkinan bahawa di masa hadapan senario geopolitik serantau akan berubah dan TLDM memerlukan helikopter samada untuk memburu kapal selam atau untuk menyusup masuk jauh ke kawasan musuh bagi menghantar tim PASKAL untuk melakukan operasi. Helikopter Blackhawk mampu untuk dipasang dengan pelbagai modifikasi yang diperlukan dan seringkali menjadi penanda aras terhadap sebarang projek modifikasi yang sedia ada mahupun di masa hadapan. Kebanyakan modifikasi ini adalah stabil, berisiko rendah malah ada yang telahpun mencapai status battle proven. Sekiranya diperlukan (dan jika ankel Sam membenarkannya), TLDM boleh mengubah helikopter Blackhawknya dengan pantas dan pada kos yang rendah untuk melakukan fungsi yang diperlukan, daripada pilihan lain iaitu terpaksa membeli helikopter baru, lengkap dengan modifikasi yang diperlukan, pada harga yang mahal dan memakan masa yang panjang untuk disiapkan.
 
7. Helikopter Blackhawk dijangka akan terus berkhidmat sehingga ke dekad 2020 mahupun 2030. Meskipun terdapat program penggantian helikopter Blackhawk telah dilancarkan oleh tentera darat Amerika, keputusan pemilihan akan dibuat oleh Pentagon paling awal adalah pada tahun 2021. Itupun jika program penggantian tersebut masih diteruskan. Apapun senarionya, yang pasti helikopter Blackhawk masih mempunyai hayat perkhidmatan yang panjang. Lihatlah helikopter Nuri yang masih gagah berkhidmat sehingga kini.
 

No photo description available.SH-60 Seahawk mampu melakukan pelbagai jenis tugas ofensif, defensi mahupun tugas bosan tetapi sangat penting seperti vertical replenishment (VERTREP) daripada kapal ke kapal. (Foto: US Navy)