Artikel RENTAKA - Bot Pemintas SP 20M FIC- Satu Pilihan Alternatif kepada TLDM.

No photo description available.

Minggu lalu Rentaka ada membincangkan tentang topik Fast Interceptor Craft untuk TLDM secara am dan menyebut secara panjang lebar tentang bot pemintas IC 20 M keluaran Dockstavarvet AB. Ternyata topik ini menarik perhatian banyak pembaca Rentaka (terima kasih daripada tim Rentaka!) serta pelbagai maklumbalas telah diterima. Salah satu kerisauan yang dilahirkan oleh pembaca adalah samada jumlah dana yang diperuntukkan oleh kerajaan adalah mencukupi untuk membeli bot IC 20 M.
 
Terus terang, itu adalah satu kerisauan yang realistik memandangkan keadaan ekonomi serantau yang semakin perlahan akibat percaturan perdagangan diantara Amerika dan China, imbangan perdagangan yang semakin menurun serta kadar tukaran wang asing yang semakin tinggi. Tidak dinafikan jika dilihat secara kasar, Sweden yang merupakan salah satu negara Kesatuan Eropah, berkemungkinan akan menggunakan harga dalam matawang Euro yang jauh lebih tinggi berbanding Ringgit. Oleh kerana itu Rentaka bersetuju dengan saranan kewajaran untuk menghidangkan satu lagi pilihan alternatif terhadap bot pemintas IC 20 M.
 
Sejak akhir- akhir ini industri pertahanan Korea Selatan telah semakin rancak dalam menawaran produk pertahanan mereka di Asia Tenggara. Terkini adalah Filipina yang menerima sebuah korvet terpakai daripada Kelas Pohang serta membeli dua lagi korvet baru dan kini sedang berunding dengan kerajaan Korea Selatan untuk cuba mendapatkan lagi dua buah korvet terpakai daripada kelas yang sama. Langkah ini telah mempertingkatkan lagi keupayaan Tentera Laut Filipina kepada hampir setaraf dengan Tentera Laut negara Serantau. ATM juga tidak ketinggalan menggunakan produk persenjataan daripada Korea Selatan seperti kenderaan tempur infantri MIFV. Tetapi TLDM adalah diantara cabang ATM yang terawal menggunakan produk keluaran industri pertahanan Korea Selatan. Kapal KD Mahawangsa yang berkhidmat dengan cemerlang sejak tahun 1983 sebenarnya dibina di Korea Selatan oleh limbungan Korea Tacoma Shipyard (kini Hanjin Heavy Industries). Oleh itu, produk pertahanan buatan Korea Selatan bukanlah sesuatu yang asing malah telah lama menjadi sebahagian daripada aset- aset utama ATM. Disampung kualiti, harga produk pertahanan buatan Korea Selatan adalah amat kompetetif jika dibandingkan dengan produk- produk pertahanan daripada negara- negara maju.
 
Tim Rentaka sebenarnya telah berkesempatan mendengar taklimat ringkas daripada sebuah firma tempatan yang berminat untuk membekalkan bot pemintas laju kepada TLDM. Bot mereka yang digelar sebagai SP 20M FIC sememangnya cukup menarik dan mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Walaubagaimanapun, atas dasar rekod perkhidmatan CB 90 yang cemerlang, maka tim Rentaka lebih berat memilih bot IC 20 M . Pun begitu, oleh kerana timbulnya persoalan tentang harga bot IC 20 M yang mungkin melebihi daripada dana yang disediakan oleh kerajaan, tim Rentaka merasakan adalah wajar untuk mengwar- warkan tentang bot SP 20M FIC sebagai salah satu pilihan alternatif.
 
Bot SP 20M FIC (Special Police 20 Meters Fast Interceptor Craft) sebenarnya dihasilkan oleh firma pembina bot terkemuka daripada Korea Selatan yang membekalkan bot pemintas kepada Polis Marin Korea Selatan.
 
Sesuai dengan peranannya sebagai bot pemintas, SP 20M FIC mampu memecut sehingga mencapai kelajuan melebihi 50 knots manakala kelajuan ketika meronda adalah sekitar 35 knots. Kuasa pecutan dibekalkan oleh dua enjin yang boleh dipilih oleh pelanggan tetapi enjin yang digunakan semasa taklimat diberikan adalah enjin MTU berkekuatan 1600 kuasa kuda. Sistem dorongan jet air turut menjadi sebahagian daripada pakej pendorongan bot bagi memastikan ia lincah ketika bergerak di permukaan laut serta mampu beroperasi di perairan yang cetek. Bot ini mempunyai jangkauan operasi sejauh 400 batu nautika atau 741 kilometer (berbanding IC 20 M yang mempunyai jangkauan operasi yang kurang sedikit iaitu 300 batu nautika atau 555.6 kilometer).
 
Berbeza dengan bot IC 20 M yang mampu memuatkan krew sehingga 8 orang bergantung kepada keperluan operasi, bot SP 20M FIC mampu untuk membawa 13 orang krew pada sebilang masa. Bot ini direka untuk berada di kawasan operasi atau meronda untuk beberapa hari. Oleh itu ia bukan sahaja dilengkapi dengan kabin, mes dan tandas tetapi juga 10 katil boleh lipat untuk keselesaan krew dan memastikan mereka sentiasa mendapat rehat yang secukupnya di sepanjang operasi. Keupayaan membawa jumlah krew yang ramai adalah penting semasa tugas pengeledahan, tugas tempur mahupun tugas- tugas khas. Pun begitu, konfigurasi dalaman bot boleh diubah mengikut kehendak pelanggan. Satu lagi perbezaan ketara diantara bot IC 20 M dan SP 20M FIC adalah bot keluaran Korea Selatan ini tidak mempunyai ruangan khas untuk membawa kargo tambahan pada deknya. Sebaliknya dek belakang bot direka untuk menampung sebuah bot RHIB yang diperlukan dalam tugas pengeledahan, SAR mahupun pendaratan di pulau- pulau kecil.
 
Sesuai dengan peranannya sebagai bot pemintas, bumbung perumah kawalan bot SP 20M FIC dipasang dengan selaras mesingan berat berkaliber 12.7mm dan dikawal/ dibidik oleh sistem RWS. Sistem ini dilengkapi dengan penderia pengimejan thermal dengan keupayaan mengesan dan mengenalpasti sasaran daripada jarak minimum 2.77 kilometer. Ini memungkinkan sasaran untuk dapat dikenalpasti daripada jauh. Satu ciri unik bot ini adalah perumah kawalannya mempunyai keupayaan kalis peluru sehingga tahap III mengikut ujian piawaian MIL-STD-662F NATO (Tahap III bermakna perlindungan daripada tembakan peluru berkaliber 7.62mm ke bawah). Setiap bot SP 20 FIC dilengkapi dengan sistem navigasi dengan dua monitor 12 inci untuk paparan radar dan plotter. Maklumat yang dipaparkan pada monitor turut meliputi maklumat daripada sistem echosounder, AIS dan DGPS. Sistem komunikasi bot pula terdiri daripada tiga radio komunikasi (HF, VHF dan V/UHF), telefon satelit serta sistem PA dalaman dan luaran.
 
Meronda pada kelajuan ekonomi 25 knots boleh dikira sebagai laju (sebagai perbandingan, kapal ronda Kelas Kedah mempunyai kelajuan maksimum 24 knots) tetapi memberi keupayaan untuk bot meronda kawasan lautan yang luas tetapi sekiranya terdapat kecemasan atau dalam senario mengejar bot suspek, daya pecutan sehingga melebihi kelajuan 50 knots memberi keupayaan memintas dengan pantas. Pada kelajuan ini, bunyi enjin yang memacu bot akan menghasilkan bunyi yang bingit dan memberi impak negatif kepada pendengaran krew pada jangka masa yang panjang. Oleh kerana itu bot ini dipasang dengan perendam bunyi khas khusus untuk mengurangkan bukan sahaja bunyi tetapi juga gegaran daripada enjin kepada tahap yang selamat untuk krew dan bot.
 
Jika dilihat secara kasar, kedua- dua bot IC 20 M dan SP 20M FIC sebenarnya tidaklah jauh berbeza. Walaubagaimanapun bot IC 20 M direka lebih kepada konsep bot pelbagai peranan manakala bot SP 20M FIC pula direka khusus untuk tugas rondaan, operasi pasukan khas dan pemintasan. Kedua- dua bot mempunyai kekuatan dan kekurangan masing- masing. Yang mana yang menjadi pilihan? Sebenarnya tim penilai TLDM lah yang berhak untuk menentukan bot yang mana dalam senarai tender yang akan disenarai pendek dan Kerajaan Malaysia yang akan menentukan pemenangnya. Apa yang pasti, bot pemintas SP 20M FIC sangat sesuai untuk digunakan oleh TLDM tetapi juga agensi- agensi penguatkuasaan undang- undang utama negara seperti Polis Marin, APMM dan KDRM.