Imej satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika dan firma DigitalGlobe ini menunjukkan kesan kerosakan terhadap infrastruktur- infrastruktur utama pada loji pemprosesan minyak Aramco di Abiqaiq. (Foto: maldonci/AP)
Assalamualaikum dan selamat pagi.
SERANGAN DRON KE ATAS FASILITI ARAMCO DI ABIQAIQ, ARAB SAUDI.
TARIKH DAN MASA: 14hb September 2019, jam 4.00 pagi waktu tempatan (01.00 GMT)
TEMPAT: Loji pemprosesan minyak dan gas di Abqaiq , Arab Saudi.
PIHAK TERLIBAT: Arab Saudi, Pemberontak Houthi dan Iran (berkemungkinan)
MODUS OPERANDI: Serangan menggunakan dron kawalan jauh
ANALISA RENTAKA:
Loji penapisan dan pemprosesan minyak Aramco di Abqaiq adalah merupakan yang terbesar di dunia. Ia memproses minyak mentah menjadi "Sweet Crude Oil" dengan menapis dan mengeluarkan kandungan sulfur sebelum dihantar kepada kilang- kilang pemprosesan minyak hiliran. Loji ini memproses lebih dari 7 juta tong minyak sehari atau sekitar 7% pengeluaran minyak dunia setiap hari. Oleh itu sebarang serangan yang berjaya terhadap loji ini akan memberi impak yang serius terhadap pasaran minyak dan ekonomi global.
Serangan dron terhadap loji tersebut telah memaksa penutupannya dan serentak dengan itu, memotong pengeluaran minyak Arab Saudi daripada 9.8 juta kepada kira-kira 4.1 juta tong minyak sehari (iaitu kehilangan pengeluaran kira- kira 5.7 juta tong minyak sehari atau kira-kira 5% daripada pengeluaran minyak harian dunia). Kerajaan Arab Saudi menjangkakan bahawa kerja- kerja pemulihan sepenuhnya akan mengambil masa berminggu dan bukannya hari. Pada 16 September 2019, iaitu dua hari selepas serangan berlaku, harga pasaran hadapan minyak Brent Crude melonjak hampir 20 peratus atau USD71.95 setong(iaitu lonjakan terbesar harga minyak sejak Iraq menakluki Kuwait pada tahun 1990).
Ini bukanlah kali pertama loji penapisan minyak Aramco di Abqaiq diserang. Pada tahun 2006, ia telah diserang oleh pasukan berani mati Al-Qaeda.
Kejadian terkini ini dan juga di Syria jelas menunjukkan bahawa trend penggunaan dron dan UAV dalam melancarkan serangan jarak jauh oleh pihak yang berkepentingan adalah semakin meningkat. Oleh itu tidaklah mengejutkan jika serangan dron secara besar- besaran dilancarkan oleh pengganas atau musuh terhadap fasiliti- fasiliti strategik negara sebagai gelombang awal serangan dalam melumpuhkan atau mengurangkan keberkesanan tindakbalas pasukan keselamatan atau mungkin juga sebagai taktik mengalihkan perhatian jauh daripada pusat serangan sebenar.
Sistem pertahanan udara mudah gerak seperti Pantsir SM adalah merupakan aset yang terbukti berkesan dalam menangani ancaman serangan dron.
Dron yang seringkali digunakan dalam serangan adalah dron komersil yang boleh dibeli dengan mudah secara dalam talian. Dron- dron ini kemudiannya diubahsuai untuk membawa bebanan dan diprogramkan untuk terbang di laluan yang spesifik, pada altitut rendah dan menyerang pada struktur- struktur strategik yang tertentu seperti peralatan komunikasi, C4I dan mungkin juga peralatan elektronik sensitif seperti radar. Saiznya yang kecil dan senyap menyukarkannya untuk terdedah kepada pengesanan awal. Sekalipun ia dapat dikesan, adalah sukar untuk menembaknya jatuh. Semasa serangan loji penapisan minyak Aramco di Abqaiq, saksi mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan mesingan bertalu-talu menunjukkan bahawa pasukan keselamatan menyedari bahawa mereka telah diserang dan cuba menembak jatuh dron- dron yang menyerang tetapi nampaknya telah gagal.
Belajar daripada pengalaman Rusia dalam menangani serangan dron di Syria, ia memerlukan pertahanan dua lapisan di mana lapisan pertama adalah terdiri daripada penyerak elektronik yang menyerak dan menyekat isyarat kawalan dron. Walaubagaimanapun, dron komersil terkini mempunyai keupayaan "bring me home" secara automatik sebaik sahaja ia kehilangan isyarat kawalan. Lokasi untuk ia terbang pulang sebaik sahaja kehilangan isyarat kawalan, boleh ditukar kepada lokasi serangan. Dron akan terus bergerak ke lokasi serangan meskipun kehilangan isyarat kawalan. Oleh itu sistem pertahanan udara jarak dekat dan mudah gerak berasaskan meriam seperti Pantsir SM adalah penting untuk memastikan dron- dron dimusnahkan secara fizikal.
ATM secara amnya masih lagi ketinggalan dalam bidang pengoperasian dron dan UAV meskipun ia bermula dengan agak baik. Walaubagaimanapun keupayaan menangkis serangan dron masih lagi belum dapat dilihat melengkapi cabang- cabang ATM. Mungkin sifat kerajaan yang membuat tindakan reaktif menjadikannya begitu sedangkan trend serangan menggunakan dron bukan sahaja semakin meluas tetapi juga semakin canggih. Dalam senario serangan musuh, adalah tidak mustahil untuk musuh merosakkan kesemua pesawat F/A-18D Hornet yang sedang berlabuh di malam hari dengan menyerang dengan menggunakan dron yang dipasang dengan bahan letupan kecil dan meletupkannya di bahagian- bahagian sensitif pesawat pejuang tersebut.