Meneliti isu pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat tentera China
Salah sebuah pesawat pengangkut tentera China yang dikesan menceroboh ruang udara negara baru- baru ini.
Kegemparan betul sejak akhir- akhir ini. Pada hal ia sebenarnya bukanlah sesuatu isu yang besar. Cuma mungkin sengaja diperbesarkan.
Terkini adalah berita pemintasan 16 buah pesawat pengangkut China yang terbang secara berkumpulan dan menceroboh masuk ke dalam ruang udara negara. Sebenarnya pencerobohan pesawat asing ke ruang udara sesebuah negara berlaku dengan kerap di seluruh dunia. Malah Amerika yang mempunyai sistem pertahanan udara yang terhebat turut dicerobohi oleh pesawat tentera asing dan bukannya sebarangan pesawat tetapi pesawat pengebom strategik yang boleh membawa bom nuklear. Begitu juga dengan Rusia dan China di mana ruang udara mereka ditembusi oleh pesawat pengintip asing dengan kerap.
Agak mustahil jika ruang udara negara tidak dicerobohi oleh mana- mana pesawat. Cuma fakta ini tidak disedari oleh rakyat Malaysia. Entah berapa ribu kali pesawat pejuang TUDM dikerah memintas pesawat yang menceroboh, kita sebagai rakyat marhaen tidak mengetahuinya. Inilah apa yang dimaksudkan dengan "perwira negara berkorban menjaga keselamatan negara agar rakyat boleh tidur dengan lena".
Ada pelbagai sebab mengapa pesawat asing menceroboh ruang udara negara. Sesetengahnya kerana kesilapan navigasi atau mengalami kerosakan teknikal. Akan tetapi ada pencerobohan dilakukan dengan segaja untuk tujuan pengintipan dan untuk melihat serta mengukur reaksi serta masa yang diambil oleh pasukan keselamatan untuk bertindak. Analoginya adalah umpama sekumpulan perompak yang ingin merompak sebuah bank. Maka sebelum rompakan dilakukan, segala tindak- tanduk staf bank serta jadual mereka diperhatikan dan direkodkan.
Akan tetapi terdapat satu lagi objektif pencerobohan ruang udara dilakukan dan China serta Rusia diketahui sememangnya pernah melakukannya iaitu untuk melemahkan atau meranapkan tentera udara sesebuah negara. Tentera Udara dan Laut kedua- dua buah negara diketahui mempunyai ribuan pesawat termasuklah pesawat pejuang. Apa yang dilakukan adalah menghantar pesawat mereka untuk menceroboh ruang udara sesebuah negara dan berlegar- legar seolah- olah menunggu kehadiran pesawat pejuang negara tersebut untuk memintas dan mengiringi mereka keluar. Nampak seperti tidaklah begitu mengancam. Akan tetapi bayangkan jika pencerobohan tersebut dilakukan secara bersilih ganti sehingga mungkin sehingga hampir mencapai 2 pemintasan sehari. Jumlah ini mungkin nampak sedikit bagi kebanyakan orang tetapi ini bermakna pesawat negara tersebut melakukan 730 pemintasan selama setahun tanpa mengira waktu atau keadaan cuaca. Jika keadaan berterusan selama beberapa tahun, bukan sahaja juruterbang akan kepenatan, pesawat pejuang juga akhirnya tidak sempat untuk dilakukan kerja- kerja pembaikan atau senggaraan penting. Hal seperti ini berlaku kepada JASDF dimana pesawat tentera China dan Rusia akan menceroboh masuk ke ruang udara mereka di sekitar kepulauan Senkaku pada kekerapan diantara dua hingga tiga pencerobohan sehari. Pada tahun 2016, pencerobohan pesawat tentera China dan Rusia ke ruang udara Jepun di kepulauan Senkaku telah mencapai hampir 1,200 pencerobohan setahun! Harus diingat bahawa JASDF memiliki ratusan pesawat pejuang. Pesawat pejuang F-15J yang dimiliki oleh JASDF sahaja adalah berjumlah sekitar 215 buah. Setiap pemintasan lazimnya melibatkan empat buah pesawat F-15J kerana dilaporkan pesawat tentera China yang menceroboh masuk lazimnya adalah pesawat pejuang. Misi pemintasan demi pemintasan ini telah menyebabkan pesawat- pesawat F-15J milik JASDF menua dengan begitu pantas dan memaksa kerajaan menggantikannya dengan pesawat pejung F-35 yang dirasakan tidak begitu sesuai untuk melakukan tugas pemintasan.
Bayangkan sekiranya China melakukan perkara yang sama di ruang udara negara. Mampukah TUDM memikul beban tugas yang begitu berat dengan jumlah pesawat pejuang yang sedikit dan ada diantaranya telah mencapai usia penerbangan yang wajar untuk digantikan? Mujur China hanya menceroboh ruang udara dengan menggunakan pesawat pengangkut biarpun dalam jumlah yang agak besar. Bagaimana jika mereka mula menceroboh menggunakan pesawat pejuang? Dengan perang menentang wabak Covid-19 telah menelan kos berbilion ringgit, sudah pastinya sedikit sebanyak akan merencatkan perancangan penggantian peralatan perang ATM terutamanya TUDM. Oleh itu perkembangan situasi dalam sebulan dua ini akan menjadi kayu ukur yang penting terutamanya dalam menentukan samada pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat tentera China berlaku sekali- sekala atau menjadi trend berterusan seperti yang dihadapi oleh Jepun.
Jika pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat tentera China terbukti berlaku secara berterusan, jelas sekali TUDM bukan sahaja perlu menggantikan pesawat pejuang yang sudah menghampiri penghujung usia tetapi juga jumlah pesawat pejuang perlu ditambah segera. Namun apakah jenis pesawat pejuang yang boleh diperolehi dengan pantas oleh TUDM? Jangan lupa untuk menyatakan pendapat anda di ruangan komen!