Analisa RENTAKA - Perolehan persenjataan- bagaimana negara membayarnya?
Dalam kita memperkatakan tentang perolehan kelengkapan persenjataan, perbincangan lazimnya hanya berkisar kepada keupayaan sistem persenjataan tersebut, harganya dan mungkin menyentuh sedikit hubungan dua hala diantara negara pengeluar dengan negara pengguna. Akan tetapi amat- amat jarang perbincangan menyentuh kepada topik pembayaran harga sistem persenjataan yang dibeli. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana urusan jual beli persenjataan hanya diketahui oleh beberapa pihak sahaja. Seringkali cara dan bentuk pembayaran balik harga satu- satu jenis sistem persenjataan yang akan dibeli, memberi impak besar terhadap keputusan samada pembelian akan diteruskan ataupun tidak.
Setiap negara mempunyai cara pembayaran kembali kegemaran masing- masing dan setiap satunya mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri. Indonesia misalnya dilaporkan seringkali membuat pembelian kelengkapan persenjataan melalui pinjaman bank luar negara. Cara ini membolehkan mereka berunding dengan bank bagi mendapatkan pakej dan kadar bunga yang terbaik serta tempoh pembayaran kembali pinjaman yang boleh diterima. Ia juga mengizinkan Indonesia untuk memantau kadar hutang mereka dan ianya juga tidak memberi impak negatif yang melamnpau terhadap rizab simpanan matawang asing mereka. Cara ini juga digemari oleh firma pengeluar persenjataan kerana harga pembelian segera dilunaskan sebaik sahaja kesemua sistem persenjataan yang dibeli selamat diterima oleh negara pembeli.
Berdasarkan rekod pembelian persenjataan oleh kerajaan Malaysia, aspek ekonomi menjadi salah satu faktor penentu dalam pemilihan satu- satu sistem persenjataan yang hendak dibeli. Sebagai contoh, pemilihan PT-91M MBT sebagai kereta kebal utama TDM dikatakan ditentukan oleh potensi untuk menjadikan Poland sebagai pintu masuk barangan Malaysia ke negara- negara Eropah Timur yang pada masa itu masih mundur dan masih terumbang- ambing. Pembelian PT-91M telah menyelamatkan firma Bumar Labedy daripada ditutup dan turut sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Poland. Salah satu cara pembayaran kembali harga persenjataan yang dibeli oleh Malaysia adalah melalui pembayaran secara tukaran komoditi atau barangan keluaran Malaysia dalam nisbah- nisbah tertentu yang telah termaktub dalam kontrak pembelian. Satu lagi pendekatan unik yang digunakan oleh kerajaan Malaysia adalah ia meminjam dana bukan daripada bank luar negara, sebaliknya dana dipinjam daripada syarikat milik kerajaan atau syarikat GLC. Pendekatan ini juga adalah seperti meminjam dengan bank asing tetapi dengan kadar keuntungan dan tempoh pembayaran yang jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh bank- bank antarabangsa. Lebih baik lagi pendekatan ini tidak memberi impak negatif terhadap rizab simpanan matawang asing negara malah memberi keuntungan kepada syarikat dan para pelabur yang juga merupakan rakyat Malaysia.
Mengambil contoh program pembelian pesawat LCA TUDM, besar kemungkinan aspek impak terhadap ekonomi negara akan memainkan peranan yang penting dalam pemilihan pesawat LCA yang hendak dibeli. Jika dilihat daripada aspek pembayaran menerusi tukaran komoditi, Malaysia membayar harga perolehan pesawat pejuang MiG-29 dan Su-30MKM termasuklah melalui tukaran komoditi iaitu minyak kelapa sawit. Oleh itu tidaklah menghairankan jika kerajaan Malaysia memilih untuk membayar separuh harga pesawat LCA menerusi pertukaran minyak kelapa sawit. Walau bagaimanapun, negara- negara EU telahpun mengharamkan pengimportan minyak sawit daripada Malaysia. Sebelum pengharaman tersebut, negara- negara EU mengimport minyak sawit bernilai Euro 6 bilion setiap tahun. India dikatakan adalah pengimport minyak kelapa sawit terbesar dunia dengan pengimportan bernilai USD 5.4 bilion setahun dan diikuti dengan rapat oleh China yang mengimport minyak sawit bernilai USD 4.1 bilion. Meskipun Amerika hanya mengimport sekitar USD 1 bilion minyak kelapa sawit, dasar hijau kerajaan Amerika dibawah pimpinan Presiden Joe Biden dijangka akan meningkatkan lagi penggunaan bahan api bio-diesel dan ini bakal memberi ruang yang besar untuk minyak kelapa sawit Malaysia meneroka pasaran Amerika. Siapa tahu mungkin 20 tahun di masa hadapan, Petronas akan menjadi firma utama pembekal bio-diesel di Amerika dan mungkin juga di dunia