Analisa RENTAKA - Faktor- faktor yang dipertimbangkan dalam pemilihan pesawat LCA TUDM

May be an image of aeroplane and sky

Laman- laman FB peminat ketenteraan tempatan masih lagi belum reda memperkatakan tentang tender pesawat FLIT/LCA TUDM. Adalah menggelikan hati melihat laman- laman FB dan forum pertahanan asing turut memperkatakan tentang topik yang sama malah ada yang telah menyatakan pesawat mana yang telah disenarai-pendek sedangkan tender masih belum ditutup. Yang lebih menggelikan hati adalah ada peminat ketenteraan tempatan yang percaya bulat- bulat berita tersebut. Naif sungguh atau...?


Rasanya topik berkenaan calon- calon pesawat FLIT/ LCA telah banyak diperkatakan. Jadi rasanya tidak perlu lagi hendak dibincangkan lagi berkenaan topik tersebut. Cuma tim RENTAKA ingin menjelaskan betapa pentingnya pemilihan pesawat LCA kepada masa depan TUDM dan pertahanan negara.

Seperti yang tim RENTAKA pernah tekankan, kedudukan strategik negara telah menyebabkan ia menjadi rebutan. Samada sedar ataupun tidak, kedudukan geografi Malaysia berada seperti jantung kepada rantau Asia Tenggara. Mana- mana negara yang berjaya mempergaruhi atau menguasai Malaysia akan dapat mengawal dan menguasai rantau Asia Tenggara dengan mudah. Sejarah rantau Asia Tenggara sahaja sudah cukup menunjukkan pengaruh negeri- negeri Melayu dalam segenap segi dan betapa kuasa- kuasa besar barat cuba untuk menguasainya untuk mengawal laluan perdagangan yang cukup menguntungkan. Kini sejarah seperti berulang kembali. Sekali lagi rantau Asia Tenggara menjadi rebutan dan usaha diplomasi serta hubungan baik mungkin tidak lagi mencukupi untuk membekalkan elemen cegah rintang kepada negara.

Jika dilihat daripada segi pemilikan aset tempur, TUDM dilihat sebagai tidak akan mengalami perubahan yang ketara sehingga 2040. Oleh kerana kedua- dua jenis pesawat pejuang utama TUDM semakin hari semakin berusia, pemilihan pesawat LCA adalah amat penting kerana ia perlu mengisi lopong- lopong yang ada daripada segi keupayaan TUDM. Oleh kerana itu, meskipun dipanggil program LCA, pesawat pejuang yang dipilih haruslah mampu untuk melakukan tugas seperti mini MRCA untuk memastikan Malaysia sentiasa berupaya untuk mengurangkan tekanan atau impak jika ada negara yang cuba campur tangan dengan mengenakan sekatan di atas sebab- sebab tertentu.

Satu lagi faktor yang perlu dilihat adalah ciri- ciri "future- proof" sesebuah pesawat LCA yang dipilih iaitu adakah sesebuah pesawat LCA yang ingin disenarai pendek memiliki sistem penderia/ avionik/ persenjataan yang terkini. Ciri- ciri future proof ini penting bagi membolehkan pesawat LCA yang dipilih untuk kekal relevan untuk jangkamasa yang agak lama sebelum perlu dinaik taraf. Satu contoh yang baik adalah penggunaan radar AESA yang menawarkan bukan sahaja jangkahayat serta keandalan tinggi tetapi juga menawarkan keupayaan jangkauan pengesanan yang lebih jauh serta keupayaan tempur BVR. Disamping itu, ia boleh memberikan pendedahan tentang pengoperasian radar AESA kepada TUDM sebelum pengenalan pesawat MRCA generasi baru TUDM pada sekitar 2030-40.

Sistem avionik pesawat pejuang masakini juga sedang mengalami perubahan pesat terutamanya pada paparan maklumat serta pengantaramuka diantara juruterbang dan pesawat. Tiada lagi susunan paparan MFD di dalam kokpit pesawat pejuang masa hadapan sebaliknya satu atau dua paparan besar yang boleh ditukar susunan atau cara maklumat dipaparkan mengikut kehendak juruterbang. Satu lagi elemen penting yang wajar ada pada pesawat LCA baru TUDM adalah jaringan data taktikal bagi membolehkannya beroperasi secara optimum dalam suasana peperangan NCW serta sesak dengan penyerakan elektronik musuh. Pada sekilas pandang, kebanyakan pesawat LCA yang berada di pasaran sekarang ini tidak memiliki elemen future proof yang secara idealnya patut ada pada pesawat LCA. Sebagai contoh, kebanyakan pesawat LCA hanya menawarkan keupayaan pertempuran udara jarak dekat sahaja dan hanya menawarkan keupayaan BVR jika dinaik taraf ke versi atau blok yang seterusnya dimana mungkin memerlukan pesawat berada di depot atau kilang firma pengeluar untuk jangkamasa tertentu dan melibatkan kos yang besar kepada perbendaharaan negara.

Faktor seterusnya yang mungkin perlu dikaji adalah keupayaan sistem persenjataan pesawat LCA yang hendak disenarai- pendek dan impaknya kepada inventori serta keupayaan TUDM. Sebagai contoh pesawat M-346FA yang mampu membawa peluru berpandu anti kapal Marte. Peluru berpandu tersebut tiada dalam inventori TUDM. Maka adakah pengenalannya akan melonjakkan keupayaan TUDM? Sekiranya Gripen memasuki tender LCA TUDM, ia turut akan memperkenalkan peluru berpandu berkeupayaan tinggi seperti RBS-15 dan KEPD 350. Akan tetapi adakah pengenalan peluru berpandu seperti ini ke dalam inventori TUDM akan memberi impak positif kepada keupayaan TUDM dan pada elemen cegah rintang negara secara amnya?

Jika dilihat kepada trend pembelian pesawat pejuang TUDM, jarang sekali kerajaan menambah bilangan pesawat pejuang yang telah dibeli. Berkemungkinan ini adalah kerana faktor keadaan negara serta politik serantau selama ini berada dalam kedudukan stabil dan aman. Oleh itu pemilikan pesawat pejuang adalah bagi membekalkan keupayaan tinggi kepada TUDM yang mana memberi elemen cegah rintang kepada negara disamping menawarkan pilihan kepada pemimpin negara dalam bertindak sekiranya konflik tercetus. Tim RENTAKA berpendapat, selagi keadaan negara serta politik serantau masih aman dan stabil, kerajaan akan merasa berat untuk mengeluarkan perbelanjaan besar bagi pembelian sistem persenjataan canggih dalam jumlah yag besar. Oleh itu, adalah amat wajar untuk TUDM memilih yang terbaik bagi memastikannya dapat memberi keupayaan tinggi untuk jangkamasa yang agak panjang.