Analisa RENTAKA - Industri aeroangkasa ketenteraan negara- satu saranan

May be an image of aircraft

Tidak ramai yang mengetahui bahawa negara sebenarnya memiliki industri aeroangkasa yang agak maju. Kebanyakan peminat ketenteraan tempatan hanya mengetahui bahawa terdapat firma tempatan yang mengeluarkan beberapa komponen pesawat Hawk dan A400M. Walaubagaimanapun industri aeroangkasa tempatan turut mengeluarkan pelbagai komponen penting pesawat penumpang keluaran Boeing dan Airbus. Keupayaan firma tempatan untuk mengeluarkan komponen- komponen utama bagi UAV Aludra tidak lama dahulu turut memberi gambaran bahawa dengan bantuan kerajaan daripada segi dana dan kemahuan kerajaan untuk membantu, industri aeroangkasa sebenarnya boleh melangkah lebih jauh.



Pada pendapat RENTAKA, Satu lagi bantuan kerajaan yang amat diperlukan oleh industri aeroangkasa tempatan adalah elemen pemindahan teknologi dalam keperluan timbal-balas setiap pembelian pesawat mahupun persenjataan oleh kerajaan. Sebagai contoh, timbal balas bagi pembelian helikopter untuk kegunaan agensi kerajaan boleh dimasukkan elemen pemindahan teknologi atau pembuatan komponen- komponen tertentu. Agensi kerajaan dilihat memiliki banyak helikopter dimana meskipun terdapat elemen- elemen timbal balas dalam perjanjian pembelian, ia mungkin hanya melibatkan memajukan keupayaan senggaraan oleh firma MRO tempatan. Alangkah ruginya jika peluang untuk mendapatkan teknologi serta kontrak pembuatan komponen helikopter oleh firma tempatan dilepaskan begitu sahaja.

Pemindahan teknologi seharusnya tidak dihadkan hanya kepada pembelian aset seperti pesawat dan helikopter tetapi turut boleh merangkumi pembelian aset lain seperti peluru berpandu misalnya. Teknologi peluru berpandu amat penting sebenarnya. Sebagai contoh, jangkahayat peluru berpandu lazimnya adalah sekitar 15-20 tahun sahaja. Jika terdapat firma tempatan yang mampu memanjangkan usia peluru berpandu atau meningkatkan keupayaannya secara menggantikan komponen- komponen tertentu yang lebih berprestasi tinggi, ia akan menyelamatkan perbelanjaan kerajaan untuk membeli peluru berpandu baru.

Namun begitu, untuk mendapatkan elemen pemindahan teknologi dalam perjanjian pembelian, sudah pastinya firma pertahanan asing mahukan produk keluaran mereka dibeli dalam jumlah yang besar. Jadi komitmen serta kemahuan kerajaan adalah sangat penting. Keperluan untuk pesawat LCA TUDM wajar melibatkan elemen penghasilan komponen dan pemindahan teknologi sebagai sebahagian daripada klausa timbal balas dalam perjanjian pembelian pesawat.

Most Read