Analisa RENTAKA - Cerita Hornet Kuwait Bah. 1.

May be an image of aeroplane and outdoors

Ramai yang teruja dengan berita potensi pembelian pesawat pejuang Hornet daripada Kuwait. Berita Hornet ni lagi hot daripada berita tender LCA. Semenjak dua menjak ni, ramai pembaca RENTAKA yang tersenyum lebar. Maklumlah, potensi penambahan bilangan pesawat tersohor TUDM. Bagi tim RENTAKA, tak lah teruja sangat. Risau lagi ada la.


Mungkin ramai yang tahu, Malaysia bukanlah negara pertama yang cuba untuk menyunting tebuan di pangkalan udara Kuwait. Kanada pernah cuba tetapi membatalkan niatnya di saat akhir. Paling terkini adalah Tunisia yang khabarnya telahpun mendapat kebenaran daripada pakcik Sam. Pun sama juga, membatalkan niat mereka beberapa hari lepas. Tentera Udara Tunisia memang sangat memerlukan pesawat pejuang baru kerana pesawat pejuang F-5E mereka telahpun berusia hampir 40 tahun! Kini mereka menghadapi ancaman daripada Libya dan benar- benar memerlukan pesawat pejuang baru. Walaupun terdesak, kerajaan Tunisia berundur daripada niat mereka untuk membeli pesawat Hornet Kuwait meskipun ditawarkan bukan lagi pada harga kawan- kawan tapi dah sampai tahap pada "harga saudara- mara".

Pada hemat tim RENTAKA, pesawat pejuang Hornet Kuwait pada sekilas pandang sememangnya umpama permata di padang pasir yang boleh dibeli pada harga yang cukup menarik jika kita pandai menawar. Akan tetapi, apabila 2-3 negara membatalkan niat mereka di saat akhir, adalah amat wajar untuk kita mengambil langkah berhati- hati, mengkaji dan merenung terlebih dahulu samada perancangan kita sudah cukup dan rapi atau wajar untuk berundur seperti yang lain. Janganlah kita terlalu asyik dan terpesona dengan kilauan permata di padang pasir itu sehinggakan kita terlupa segala.

Jika disingkap sejarah pesawat pejuang Hornet milik Kuwait, mereka mula dihantar secara berperingkat daripada tahun 1991 hingga 1993 dan terdiri daripada 32 buah F/A-18C dan 8 buah F/A-18D. Walaupun tidak jauh jurang masa diantara Hornet Kuwait dan Hornet Malaysia mula berkhidmat, daripada segi teknologi, jurang diantara kedua- duanya agak ketara. Jika dibuat perbandingan mudah, Hornet Kuwait menggunakan radar AN/APG-65 (iaitu radar yang dibangunkan pada penghujung dekad 1970an) berbanding Hornet Malaysia yang menggunakan radar AN/APG-73 yang lebih maju. Daripada segi keupayaan avionik juga, Hornet Kuwait jauh ketinggalan berbanding Hornet Malaysia.

Kuwait juga tidak seperti Malaysia yang gigih menaik-taraf pesawat Hornet ke keupayaan terkini. F/A-18D TUDM kini telah hampir menyamai keupayaannya dengan keupayaan pesawat F/A-18F Super Hornet. Keupayaan Hornet Kuwait tidak jauh bezanya seperti semasa ia mula memasuki perkhidmatan pada awal dekad 1990an. Paling penting, Kuwait juga tidak mengambil peluang untuk memasang pakej naik taraf ECP 618 (atau 25X standard) pada pesawat Hornetnya yang memberikan keupayaan untuk menggunakan pejera helmet JHMCS, keupayaan untuk melancarkan peluru berpandu AIM-9X, paparan peta bergerak berwarna, pembaharuan pada sistem IFF dan pemasangan pod AN/ASQ-228 ATFLIR. Hornet TUDM telahpun dinaik taraf ke 25X Standard sejak tahun 2015 lagi. Pakej naik taraf 25X standard ini adalah bernilai RM 71.79 juta.

Sekiranya rancangan untuk membeli pesawat pejuang Hornet Kuwait diteruskan, masa yang perlu dilaburkan untuk menaik-taraf pesawat- pesawat tersebut kepada tahap keupayaan yang ada pada Hornet TUDM bukan sahaja panjang tetapi juga bakal melibatkan kos yang tinggi. Ada sesetengah komponen penting pesawat yang tidak lagi ekonomikal untuk dinaik taraf. Satu contoh yang mungkin boleh diambil adalah radar AN/APG-65 pada pesawat Hornet Kuwait. Jika hendak digantikan radar ini kepada radar AN/APG-73 yang digunakan oleh Hornet TUDM, ia bukan sahaja mungkin memerlukan radar diganti sepenuhnya tetapi juga melibatkan pengaturcaraan hampir keseluruhan sistem avionik emandangkan kedua- dua radar ini bukan sahaja berbeza daripada segi komponen fisikal tetapi juga cara ia berfungsi dan program yang digunakan.

Jika perancangan pembelian Hornet Kuwait diteruskan, tidak mustahil akan ada dua variasi pesawat F/A-18 Hornet TUDM dengan keupayaan yang agak jauh berbeza diantara satu sama lain. Keadaan ini berkemungkinan tidak dapat dielakkan kerana kerajaan cuba untuk mengurangkan perbelanjaan hasil impak kejatuhan ekonomi dunia akibat pandemik Covid 19 serta keperluan lain yang lebih mendesak. Malah tim RENTAKA berpendapat, ada potensi pengoperasian dua variasi pesawat Hornet TUDM yang berbeza akan berterusan sehinggalah ia diundurkan daripada perkhidmatan sekitar 2035-2040. Sekiranya perkara ini terjadi, harapan tim RENTAKA adalah kedua- dua variasi pesawat ini diberikan keupayaan untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat diantara satu sama lain, diantara pesawat- pesawat TUDM yang lain dan diantara aset- aset ATM yang lain menerusi jaringan rangkaian data pertahanan yang sama.


#RENTAKAkisahhornetkuwait