Analisa RENTAKA - Mengintai Trend Perolehan ATM Bah. 1.
Angkatan Tentera Malaysia. Lahirnya di awal dekad 1930an dan jauh daripada konflik bersenjata mahupun letupan senjatapi mahupun dentuman meriam dan bom. Pada ketika itu Malaya bernaung dibawah Empayar British yang terhampar di seluruh dunia. Oleh itu ATM bertunas di dalam keadaan aman dan makmur. Walaubagaimanapun keamanan dan kemakmuran tidak bertahan lama.
Empayar Nippon telah menyerang dalam usaha mereka untuk merebut hasil mahsul serta kawasan- kawasan strategik yang terdapat di rantau Asia Tenggara. Dalam usia yang muda, ATM terpaksa berjuang di samping rakan sekutunya untuk menentang serangan Empayar matahari terbit. Biarpun berjuang dengan cemerlang dan bermati- matian, kemenangan berpihak kepada Jepun yang lebih bijak, tangkas serta berani mati. Apabila tamat Perang Dunia Kedua, ATM menghadapi peperangan yang baru pula iaitu peperangan menentang insurgensi yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya. Biarpun darurat pertama berjaya dimenangi, ancaman daripada PKM masih tinggi. Pun begitu tiga tahun selepas darurat pertama tamat, ATM menghadapi ancaman yang lebih besar iaitu Konfrantasi yang dilancarkan oleh Presiden Indonesia pada masa itu, Presiden Sukarno. Indonesia pada masa itu mempunyai angkatan bersenjata yang diantara terkuat di Asia Tenggara dan sempadan negaranya yang panjang digunakan untuk menghantar kumpulan- kumpulan komando menyusup masuk ke Malaysia. Biarpun Indonesia tidak menghantar pasukan tentera secara besar- besaran untuk menyerang Malaysia, potensi serangan tetap menggusarkan pemimpi Malaysia. Apatah lagi ATM pada masa itu masih kecil daripada segi umur, saiz dan kelengkapan. Mujurlah krisis Konfrantasi dapat ditamatkan secara aman melalui meja rundingan. Kini ATM telah matang dan menjadi salah satu angkatan tentera profesional yang terbaik di Asia Tenggara sejajar dengan pembangunan ekonomi dan infrastruktur Malaysia yang diiktiraf sebagai salah satu kuasa ekonomi juga di Asia Tenggara.
Pun begitu, pada sekilas pandang pembangunan ATM kelihatannya seperti tidak seimbang. Jika ditinjau daripada sudut sejarah, ATM telah diberikan permulaan yang baik dan masa yang panjang bagi membolehkannya membangun sebagai angkatan tentera yang kuat dan serba boleh. Sejak pembentukan Malaysia, pertahanan negara disokong oleh pihak British dan kemudiannya oleh British, Australia dan New Zealand menerusi perjanjian Five Defence Power Arrangement (FPDA) yang masih utuh sehingga sekarang. Ia membolehkan ATM untuk terus membangun meskipun terpaksa menghadapi perberontakan insurgensi kedua yang dilancarkan oleh PKM. Diawal penubuhannya, TLDM diberikan kapal- kapal tinggalan Tentera Laut Diraja British dan kemudiannya mengembangkan lagi keupayaan serang laju dan kuasa tembak dengan memperkenalkan peluru berpandu anti kapal pada tahun 1970an. Kemuncak kekuatan TLDM adalah penambahan dua frigat moden dan dua kapal selam pada awal dekad 2000. Begitu juga dengan TUDM yang biarpun bermula dengan pesawat pengangkut ringan dan pesawat serang ringan, ia dengan pantas merebak kepada keupayaan pertahanan udara canggih dengan pemberian pesawat pejuang CA-27 Sabre yang boleh dilengkapi dengan peluru berpandu AIM-9J Sidewinder. Pada tahun 1970an, TUDM diperkuatkan lagi dengan pengenalan pesawat pejuang F-5E Tiger II dan pada tahun 1980an, 45 buah pesawat penyerang A-4 Skyhawk. Pada tahun 1990an, giliran pesawat pejuang MiG-29N, F/A-18D Hornet dan pesawat pejuang ringan Hawk 108 serta 208 menerima tauliah perkhidmatan. Terakhir adalah pesawat pejuang generasi ke 4, Su-30 MKM. Jadi, ATM daripada segi kualiti sistem persenjataannya adalah setanding dengan mana- mana negara di Asia Tenggara. Jika begitu, dimanakah ketidak- seimbangan pembangunan ATM?
Jika kekuatan Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf Ta, ketidak- seimbangan pembangunan ATM dilihat adalah daripada segi kuantitatif aset yang dimiliki. Sebagai contoh, jika perairan negara dicerobohi oleh armada musuh secara mengejut, TLDM hanya memiliki enam buah kapal yang dilengkapi dan mampu melancarkan serangan peluru berpandu anti kapal iaitu 2 buah kapal frigat, 2 buah kapal korvet dan dua buah kapal selam. Kapal serang laju dan kapal NGPV tidak dipasang dengan sebarang sistem peluru berpandu anti kapal walaupun mampu untuk berbuat demikian. Konsep Fitted For But Not With (FFBNW) ini memerlukan kapal terbabit berada di dok selama diantara dua minggu hingga sebulan atau lebih untuk dipasang dengan sistem peluru berpandu dan itupun sekiranya peluru berpandu, pelancar dan peralatan sokongan telahpun berada dalam depot simpanan TLDM. Begitu juga halnya dengan TUDM yang hanya memiliki 26 buah pesawat pejuang dan lebih kurang 18 buah pesawat pejuang ringan. Ia sama sekali tidak mencukupi untuk mempertahankan ruang udara negara yang bukan sahaja luas tetapi juga terpisah oleh Laut China Selatan. Peristiwa pencerobohan 16 buah pesawat pengangkut China pada pertengahan tahun 2021 sudah cukup untuk dijadikan iktibar. Negara adalah amat bernasib baik kerana yang menceroboh masuk hanyalah pesawat pengangkut dan bukannya pesawat pejuang ataupun pesawat pengebom. Mujur TUDM telah menempatkan sejumlah pesawat pejuang ringan Hawk di Sabah dan Sarawak dan berjaya membuat pemintasan pantas serta mengiringi pesawat tentera China keluar daripada ruang udara negara. RENTAKA yakin kejadian pencerobohan ruang udara negara ini diperhatikan secara dekat dan teliti oleh negara- negara lain yang amat berminat untuk mengetahui dan mengukur kekuatan, kepantasan dan keberkesanan sebenar TUDM dalam menghadapi dan menangani pencerobohan sebenar pesawat asing yang dilakukan pada skala yang agak besar. Setelah dikejutkan oleh pencerobohan pesawat pengangkut China barulah kerajaan dengan pantas membuka tender untuk kontrak pesawat pejuang ringan dan pesawat latihan lanjutan bagi menggantikan pesawat Hawk 108 dan 208 yang telah lanjut usia penerbangannya.
Mengapakah kerajaan kelihatan sukar untuk menambah kelengkapan persenjataan ATM? Pada pendapat RENTAKA, terdapat beberapa faktor penyumbang. Faktor pertama adalah kos. Faktor ini mungkin dapat diteka oleh pembaca. Benar, kos pembelian, pemilikan dan senggaraan aset utama seperti kapal frigat, kapal selam dan pesawat pejuang bukanlah murah. Akan tetapi pada pendapat RENTAKA, ekonomi negara dilihat cukup berdaya maju untuk mampu menanggung belanjawan pertahanan sebanyak 1 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar. Ini telah direalisasikan beberapa kali oleh kerajaan. Sebagai contoh, nilai KDNK negara bagi tahun 2019 adalah kira- kira RM1.51 trilion pada harga semasa manakala belanjawan pertahanan untuk tahun 2020 adalah sebanyak sebanyak RM15.6 bilion (atau sekitar USD3.75 bilion) dan kemudiannya dinaikkan lagi kepada RM16 bilion (USD3.84 bilion) di dalam belanjawan 2021. Daripada jumlah RM16 bilion, RM4.50 bilion (USD1.08 bilion) adalah untuk perbelanjaan pembangunan termasuklah pembelian aset-aset. Ini bukan peruntukan untuk tempoh lima tahun tetapi untuk 1 tahun sahaja. Begitulah kayanya negara. Ini bermakna dengan strategi dan cara yang betul, ATM mampu untuk menggantikan aset- aset yang telah usang dan telah berkhidmat hampir 40 tahun atau lebih. Agak kehairanan juga dengan belanjawan yang begitu besar, ATM sepatutnya sudah mampu untuk memiliki aset- aset pertahanan yang terkini. Ketika kuasa- kuasa besar sibuk hendak menjarah kawasan dan lautan untuk kekayaan mereka, TLDM yang berada di hadapan masih lagi mengoperasikan kapal perang daripada era 1970-80an. Biarpun ia telah menjalani proses naik taraf dan retrofit, kapal- kapal perang ini sepatutnya samada ditamatkan perkhidmatan dan diganti dengan kapal perang baru yang bukan sahaja lebih berkeupayaan tinggi tetapi lebih rendah kos senggaraannya.
Sejarah serangan Jepun ke atas Malaya sepatutnya mengajar banyak perkara tentang pertahanan. Salah satu perkara menarik tentang serangan tersebut adalah pihak British telah lama mengetahui niat dan pelan Jepun untuk menawan Malaya. Malangnya maklumat tersebut tidak diambil tindakan sewajarnya. Pihak British mengambil sikap sambil lewa dan enggan percaya bahawa Jepun berani menyerang tanah jajahan kuasa- kuasa besar dunia seperti British, Amerika dan Belanda. Mereka percaya bahawa gabungan kuasa tentera ketiga- tiga negara di Asia Tenggara sudah cukup untuk menggentarkan Jepun dari meneruskan niatnya. Biarpun pejabat kolonial Malaya diasak oleh pemimpin tentera British untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk persediaan awal menghadapi ancaman serangan Jepun, mereka enggan dan menggangap ianya satu pembaziran. Hasilnya banyak persediaan tidak dapat dilakukan dan tentera British berjuang dalam keadaan serba kekurangan. Setelah Jepun menyerang barulah dana dikeluarkan secara besar- besaran. Ketika Singapura ditawan Jepun, terdapat ratusan peti yang mengandungi komponen pesawat pejuang Hurricane baru sampai daripada England, hanya menunggu untuk dipasang. Too little too late.
Perbezaan sudut pandangan dan pendapat diantara pemimpin tentera dan pentadbiran awam bukanlah sesuatu yang baru. Kunci kepada dana belanjawan pertahanan dipegang oleh pentadbiran awam dan setiap satu saranan atau rancangan harus melepasi pelbagai lapisan dan sekatan sebelum dana dapat dikeluarkan. Lapisan dan sekatan ini bertujuan untuk memastikan dana digunakan untuk program- program yang benar- benar layak dan untuk mengelakkan pembaziran. Walaubagaimanapun, lapisan sekatan yang terlalu banyak akan menyukarkan program- program yang benar- benar perlu sukar untuk mendapat dana, umpama penapis air yang semakin lama semakin halus lubang penyaringnya.
Serangan Jepun ke atas Malaya menunjukkan bahawa kerajaan lazimnya bersifat reaktif dan hanya bertindak apabila musuh berada di hadapan tangga. Hanya apabila melihat ancaman yang “benar, kuat dan meyakinkan”, barulah kerajaan akan mula bertindak. Peristiwa seperti yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu adalah satu contoh yang baik dan menjadi pemangkin terhadap usaha untuk memperkuatkan lagi pertahanan negara di Sabah dan Sarawak. Persoalannya, adakah kita mahu menunggu sehingga berlaku pertempuran barulah tindakan mahu diambil?
JANGAN LUPA UNTUK MENGIKUTI BAHAGIAN TERAKHIR PERBINCANGAN INI ESOK!