Analisa RENTAKA - Mengintai Trend Perolehan ATM Bah. 2.

BAHAGIAN TERAKHIR PERBINCANGAN

May be an image of one or more people and outdoors

Sejak penubuhannya, ATM jarang sekali mengalami kekalahan. Bersama pasukan keselamatan yang lain, ia berjaya menundukkan perang insurgensi yang dilancarkan oleh PKM, mengalahkan dan menghalau penceroboh di Lahad Datu dan membawa dan menjaga keamanan di kawasan konflik di seluruh dunia dibawah panji- panji PBB. Kebijaksaan kerajaan dalam hubungan diplomatik telah berjaya menangkis pelbagai ancaman dan pembangunan serta polisi ekonomi telah memastikan negara terus makmur.


Memetik kata karakter antagonis Bane dalam filem The Dark Knight Rises, “Peace has cost you your strength. Victory has defeated you” (Keamanan telah merobek kekuatan kamu, kemenangan telah mengalahkanmu). Begitulah demikiannya dengan negara kita yang aman makmur. Tanpa ancaman serius atau keperluan yang mendesak, ATM tidak dicabar untuk berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Seperti mana krisis kewangan Asia 1997 telah memaksa untuk bank- bank serta sistem kewangan diperkukuhkan dan juga pandemik Covid-19 yang menyaksikan sistem kesihatan berubah dan diperkukuhkan untuk menghadapi kebanjiran puluhan ribu pesakit sehari, ATM harus dicabar dan dilanyak setiap masa agar ia dapat mengekalkan keupayaannya sebagai satu angkatan tentera yang kuat, samada menerusi latihan perang, sebagai pendamai atau di dalam konflik sebenar. Bak kata pepatah tentera barat, train hard fight easy. Tentera Amerika diketahui adalah antara yang terbaik di dunia daripada segi kualiti anggota dan persenjataan. Akan tetapi ia adalah hasil daripada menghadapi perang serta konflik pada setiap dekad. Malah menghadapi perang di Iraq dan Afghanistan memaksa dan mencabar angkatan tentera Amerika untuk menghadapi peperangan di dua medan operasi yang berbeza, pada masa yang sama. Ia mencabar dan mengajar dan melanyak tentera Amerika untuk berubah menjadi tentera yang sangat moden, berkeupayaan dan berkualiti tinggi. Untuk bukti selanjutnya kita hanya perlu melihat kepada ATM pada di awal penubuhan Malaysia yang penuh onak dan duri- satu angkatan tentera bersaiz kecil, tidak memiliki kelengkapan perang moden tetapi cukup menggentarkan lawan mahupun kawan.

Dengan belanjawan pembangunan tahunan sebanyak USD 1.08 bilion, sudah semestinya ramai yang tertanya- tanya, mengapakah ATM dilihat hanya memiliki aset kombat yang terhad sedangkan ia sepatutnya memiliki lebih daripada apa yang ada sekarang ini dan pada jumlah yang lebih besar? Sudah pastinya terdapt mereka yang mengambil kesemptan utuk melemparkan tuduhan melulu, umpama membaling batu dan segera menyembunyikan tangan. Pada pendapat tim RENTAKA, pembayang jawapan terhadap persoalan ini boleh dilihat pada program- program persenjataan ATM. Jika dilihat pada hampir setiap pembelian, jumlah aset yang dibeli lazimnya dalam jumlah yang kecil tetapi telah diubahsuai untuk memberikan keupayaan tinggi. Contoh yang terbaik boleh dilihat pada helikopter CSAR EC725AP TUDM, A109 serta MD530G milik PUTD. Aset- aset persenjataan ATM adalah seumpama pasukan khas dimana ia adalah kecil tetapi berkeupayaan tinggi dan lengkap bersenjata. Malah boleh dianggarkan bahawa kos modifikasi pada MD530G adalah bersamaan dengan harga sebuah helikopter MD500 biasa! Akan tetapi mengapa begitu?

Bagi tim RENTAKA, untuk menjawap persoalan itu, kita sekali lagi harus menyingkap tirai sejarah ketika permulaan pembentukan Malaysia. Pada usia yang muda kita dicabar oleh dua kuasa besar di Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Filipina yang mengancam negara dengan konflik bersenjata. Pada masa yang sama, ancaman PKM masih belum reda. Hanya dengan sokongan dan bantuan daripada British dan negara- negara Komenwel, negara berjaya menangani ancaman satu demi satu. Pada pendapat RENTAKA, salah satu strategi yang diambil adalah untuk tidak mencabar mana- mana negara jiran dengan pemilikan aset persenjataan yang besar oleh ATM. Bukan kerana takut atau tidak mampu tetapi kerana hendak menumpukan usaha untuk menundukkan pemberontakan PKM yang sentiasa menjadi duri dalam daging dan pembangunan negara yang masih terlalu muda. Strategi ini dilihat masih lagi digunakan hingga ke hari ini.

Apabila Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali pertama. salah satu dasar beliau iaitu Dasar Pandang Ke Timur mungkin turut melibatkan dasar pertahanan negara atau lebih tepat lagi mencontohi Japanese Self Defence Force (JSDF). Bertitik tolak daripada situ, ATM dibentuk seperti JSDF iaitu sebuah angkatan tentera yang hanya untuk mempertahankan negara dan tiada keupayaan untuk menyerang dan menjajah negara lain. Daripada contoh JSDF jugalah lahir doktrin “Giving enemy a bloody nose” iaitu satu angkatan tentera yang kecil tetapi lengkap bersenjata dan berkeupayaan tinggi seperti JSDF. Sejarah menunjukkan bahawa dibawah pemerintahan Tun Mahathir jugalah keupayaan ATM diperkembangkan lagi dengan pembelian aset- aset berteknologi tinggi seperti pesawat pejuang MiG-29N, F/A-18D Hornet dan Su-30MKM. TLDM pula diberikan frigat moden kelas Lekiu dan kapal selam Scorpene. TDM pula diberikan dana untuk membentuk satu divisyen armor termasuklah kereta kebal PT-91M dan meriam berkaliber 155mm. Setiap aset yang dibeli adalah canggih dan berkeupayaan tinggi tetapi dalam jumlah yang kecil sesuai dengan imej ATM sebagai angkatan tentera pertahanan diri. Tanpa ancaman daripada dalam mahupun luar negara yang serius, ATM hanya dilengkapkan secukupnya dengan kelengkapan persenjataan serta keupayaan hebat tetapi dalam jumlah yang kecil dan tidak mencabar mana- mana pihak. Biarpun begitu ATM masih lagi diberikan keupayaan yang mampu untuk bertindak sebagai cegah rintang terhadap mana- mana pihak yang berniat jahat.

Pada pendapat tim RENTAKA, posture ATM sebagai angkatan tentera pertahanan diri serta stratergi tidak mencabar mana- mana negara mampu untuk menjawap persoalan mengapa pembelian kelengkapan pertahanan dalam jumlah yang kecil. Diatas sebab yang samalah tim RENTAKA berpendapat bahawa ATM tidak akan memiliki Kor Tentera Marin atau keupayaan untuk melancarkan serangan amfibia. Malah kenderaan tempur TDM dilihat hanya memiliki keupayaan amfibia untuk menyeberangi sungai dan tasik tetapi masih belum diuji untuk merentasi laut untuk mendarat di pantai. Malah TLDM juga telah lama tidak memiliki sebarang lancang pendarat. Samada kita sedar ataupun tidak, terdapat banyak negara yang sentiasa gusar akan perkembangan keupayaan ATM. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa perbelanjaan pertahanan negara mampu mencetuskan perlumbaan senjata di rantau ini dan dilaporkan pernah hampir- hampir meranapkan kewangan sebuah negara tidak lama dahulu.

Ia mungkin sesuatu yang mengejutkan tetapi tim RENTAKA berpendapat, barisan pertama pertahanan negara bukanlah ATM mahupun agensi- agensi keselamatan. Barisan pertama pertahanan negara adalah Kementerian Luar Negara yang sentiasa meneroka, menjaga dan mengekalkan hubungan dengan negara- negara luar. Mereka berfungsi sebagai mata dan telinga dalam menjaga keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara. Mereka jugalah yang akan menyalakan suar amaran jika melihat konflik bakal berlaku bagi membolehkan perwira- perwira negara bersedia untuk mempertahankan negara yang tercinta ini.