May be an image of airplane and outdoors


Tahun 2022 telahpun tiba. Serentak dengan itu, sudah pastinya ramai pembaca RENTAKA yang sudah mula menggerakkan usaha untuk mencapai resolusi baru yang telah dirancang. Tim RENTAKA juga tidak ketinggalan dalam merangka dan mengusahakan resolusi untuk RENTAKA terus berdaya maju. Salah satu daripadanya adalah membangunkan laman sesawang RENTAKA berkonsepkan "one stop center" untuk pelbagai aktiviti yang berkonsepkan ketenteraan. Walaubagaimanapun, usaha ini akan dilakukan secara berperingkat- peringkat dan laman sesawang RENTAKA akan sentiasa berubah dari masa ke semasa dan masih banyak kerja- kerja pembangunan sedang diusahakan. Laman sesawang RENTAKA boleh diakses di www.rentakadef.com . Watch this space!
Penubuhan laman sesawang RENTAKA juga menuntut agar artikel "Analisa RENTAKA" dimulakan kembali untuk tatapan pembaca setia RENTAKA. Setelah berehat hampir beberapa bulan, tim RENTAKA telahpun bersidang kembali untuk memberikan analisa terbaik berkenaan perkembangan ketenteraan tempatan mahupun serantau bermula hari ini.

Salah satu topik yang cukup hangat diperkatakan sekarang ini adalah tentang usaha untuk mendapatkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet terpakai milik Kuwait. Walaupun ramai yang mengharapkan agar pembelian ini berjalan lancar, ada yang mahukan TUDM beralih daripada legacy Hornet yang telah mula diundurkan daripada perkhidmatan aktif di seluruh dunia. Percaturan politik dunia dan kedudukan strategik Malaysia daripada segi geografi serta geopolitik dan pentas laut negara yang kaya dengan pelbagai sumber penting kemakmuran negara telah menyaksikan timbulnya pelbagai isu yang boleh menjurus kepada meletuskan konflik serantau. Dalam hal ini sudah pastinya diplomasi memainkan peranan yang penting dan menyelesaikan kekusutan serta permasalahan dalam hubungan serantau. Diplomasi membentuk barisan pertama pertahanan negara dan bertindak sebagai perisai halimunan yang jarang- jarang dapat disaksikan oleh rakyat marhaen. Jika boleh diumpamakan negara seperti sebuah kereta, maka diplomasi adalah seperti ilmu dan tabiat yang membentuk cara serta sikap seseorang pemandu ketika memandu kereta. Jika tiada sikap berhati- hati dan suka bertindak melulu, maka akan berlakulah kemalangan. Angkatan tentera pula adalah seperti ciri- ciri keselamatan yang ada pada sesebuah kenderaan. Ia lazimnya boleh dilihat dengan jelas oleh semua pihak. bergantung kepada kemampuan kewangan pemilik kenderaan, sesebuah kenderaan mungkin pemiliki ciri- ciri keselamatan yang komprehensif ataupun mungkin terhad kepada yang asas. Ada kenderaan yang kelihatan hebat dan memiliki segala ciri- ciri keselamatan yang diperlukan tetapi hakikatnya ia sebenarnya tidak berfungsi.
 

Berbalik kepada perbincangan asal, Tim RENTAKA yakin dan percaya bahawa perancangan untuk membeli 33 buah pesawat pejuang F/A-18C/D akan membuahkan hasil. Meskipun beberapa buah negara (salah satunya Kanada) pernah mencuba untuk meminang Hornet Kuwait akan tetapi menemui kegagalan. Jadi apa yang membuat tim RENTAKA yakin bahawa Hornet "janda" ini bakal menjadi milik TUDM? Terdapat dua faktor utama yang akan memberi pengaruh besar terhadap urusan peminangan ini. Pertama adalah kebenaran daripada Amerika. Melihatkan keadaan geopolitik serantau dan bagaimana Amerika berusaha keras mahu mengatasi pengaruh China terutamanya di rantau Indo Pasifik, tim RENTAKA percaya kebenaran daripada Amerika tidak sukar untuk diperolehi. Malah, dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pertahanan berkenaan perancangan pembelian Hornet di Parlimen tidak lama dahulu, maka bolehlah dirumuskan bahawa kebenaran daripada Amerika telahpun diperolehi. Faktor kedua adalah pengaruh Arab Saudi ke atas Kuwait. Kerajaan Arab Saudi dilaporkan mempunyai pengaruh besar ke atas negara- negara arab terutama yang berjiran dengannya. Oleh kerana kerajaan Arab Saudi mempunyai hubungan yang akrab dengan Malaysia, tidak mustahil jika kerajaan memohon agar kerajaan Arab Saudi memujuk agar Kuwait menjual pesawat Hornetnya kepada Malaysia.

Sekilas pandang, Tentera Udara Kuwait kini memiliki sebanyak 31 buah F/A-18C dan 8 buah F/A-18D. Kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan pula menyebut bahawa jumlah pesawat pejuang Hornet yang dirancang untuk dibeli daripada Kuwait adalah 33 buah. Tim RENTAKA menjangkakan bahawa 8 buah F/A-18D akan dinaik taraf menjadi setanding dengan F/A-18D TUDM manakala 25 buah F/A-18C akan dioptimakan kepada tugas tempur udara walaupun masih mengekalkan keupayaan pelbagai fungsinya. Apa yang menarik, Hornet Kuwait tidak menggunakan pod bidikan AN/ASQ-228 ATFLIR seperti yang melengkapi Hornet TUDM. Sebaliknya mereka menggunakan pod bidikan AN/AAQ-33 Sniper yang jauh lebih popular. Tentera Udara Kuwait memiliki 14 buah pod bidikan Sniper khusus untuk dipasang pada Hornet mereka. Jika sekiranya pembelian turut meliputi pod- pod bidikan tersebut, tidak mustahil jika penggunaan pod bidikan Sniper merebak ke pesawat Su-30MKM satu hari nanti memandangkan pod bidikan Damocles dikatakan mempunyai keupayaan yang tidak setanding dengan pod bidikan terkini.

Seperti yang telah diperkatakan oleh tim RENTAKA di dalam artikel terdahulu, peruntukan untuk membeli pesawat pejuang ringan (LCA) wajar digunakan untuk mengurangkan kos naik taraf pesawat pejuang Hornet yang dibeli daripada Kuwait. Ini termasuklah menggantikan radar pesawat dan kerja- kerja menaik taraf ke tahap 25X Standard bagi pesawat F/A-18C manakala bagi pesawat F/A-18D yang dibeli daripada Kuwait, kerja- kerja naik taraf wajar dilakukan sehingga untuk menjadikan keupayaannya sama seperti Hornet TUDM yang sedia ada. Kerja-kerja naik taraf dilakukan secara berperingkat- peringkat agar TUDM mempunyai sekurang- kurangnya 8 buah pesawat pejuang Hornet yang beroperasi pada sebilang masa. Sebaik sahaja kerja- kerja naik taraf tersebut siap, TUDM akan memilki 16 buah pesawat pejuang generasi 4.5. khusus untuk misi serangan surgikal dan maritim manakala 25 buah pesawat F/A-18C pula akan bertindak sebagai pesawat pejuang dalam memastikan penguasaan ruang udara negara tetap milik TUDM. Ini juga bermakna negara akan memiliki 41 buah pesawat pejuang dengan keupayaan yang mirip kepada pesawat pejuang Super Hornet untuk menjaga ruang udara dan membekalkan daya cegah rintang sehinggalah ke tahun 2035- 2040.

Mungkin ada pembaca yang merasa gusar dengan perancangan pemilikan pesawat “stealth” oleh negara- negara serantau. Pada pendapat tim RENTAKA, adalah amat wajar untuk TUDM menunggu sehingga ke tahun 2035 untuk merangka arah tuju seterusnya dalam hal pemilikan pesawat pejuang. Ini adalah kerana pertamanya, keadaan ekonomi negara tidak begitu mengizinkan untuk berbelanja besar. Kedua, teknologi pada pesawat pejuang stealth sedia ada pada masa kini masih bersifat baru dan masih belum matang sepenuhnya. Masih banyak masalah- masalah pengoperasian yang masih perlu diselesaikan. Pada masa yang sama, teknologi pesawat pejuang stealth turut sama berkembang maju dengan pesat. Oleh itu tidak mustahil jika pesawat pejuang stealth yang ada pada masa kini "menua" dengan pantas dan akan ketinggalan daripada segi teknologi dan keupayaan. Pesawat pejuang stealth generasi akan datang menjanjikan keupayaan yang lebih baik dengan kestabilan teknologi yang lebih mantap. Faktor terakhir adalah kos operasi pesawat pejuang stealth generasi kini masih lagi terlalu mahal tetapi di dalam trend yang menurun kosnya. Jadi amat wajar untuk TUDM menunggu sehingga kos operasinya menjadi stabil atau dijangka akan stabil bagi membolehkan jangkaan perbelanjaan dilakukan dengan lebih tepat. Harapan tim RENTAKA, pada ketika itu kerajaan akan membuat pilihan dan pelaburan yang terbaik bagi meraih teknologi serta "know how" daripada sektor pertahanan aeroangkasa daripada hanya menjadi pengguna atau end user seperti kebiasaannya.
Sekiranya pembelian pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Kuwait dapat direalisasikan, ia bukan sahaja memenuhi keperluan pesawat pejuang TUDM yang agak meruncing, pada kos yang minima serta memendek serta memudahkan proses latihan serta integrasi pesawat ke dalam perkhidmatan, tetapi juga ia memberi masa kepada TUDM untuk mencari pesawat latihan yang mampu memenuhi keperluannya di masa hadapan terutamanya bagi misi serangan ringan serta bantuan rapat udara. Pendek kata, pembelian Hornet Kuwait dapat menyelesaikan banyak masalah serta membuka pintu kepada pelbagai kemungkinan dalam pemodenan TUDM di masa hadapan termasuklah pemilikan pesawat AEW&C.

Grafik: Erik Simonsen

“Semua artikel terbitan RENTAKA adalah hak milik sepenuhnya oleh "Tips Empire". Sebarang ulang terbit, ulang siar atau perkongsian dalam apa jua bentuk dan medium daripada mana- mana bahagian atau keseluruhannya tanpa kebenaran secara bertulis, adalah dilarang.

Sebarang idea untuk projek usahasama yang berkaitan dengan RENTAKA, bolehlah berhubung terus dengan pihak admin RENTAKA".