Salah satu kereta kebal yang paling popular daripada era perang dingin sehingga sekarang adalah Leopard 2 MBT. Dibangunkan pada era 1970an dan mula berkhidmat pada tahun 1979, ia digunakan oleh negara di hampir setiap ceruk dunia. Seringkali dikatakan memiliki tahap perlindungan, mobiliti dan kuasa tembak yang setanding dengan kereta kebal M1 Abrams, Leopard 2 seringkali dibandingkan dengan kereta kebal utama keluaran USSR/ Rusia seperti T-72 dan T-90. Walaupun begitu, populariti dan prestij kereta kebal ini tetap tinggi biarpun masih belum pernah terbukti dalam pertempuran kereta kebal melawan kereta kebal sehingga sekarang. Runtuhnya empayar USSR pada awal dekad 1990an sepertinya merobek peluang untuk menyaksikan Leopard 2 membelasah T-72 atau T-90 di dalam medan peperangan sebenar. Sehingga sekarang Leopard 2 hanya digunakan dalam operasi menentang insurgensi dimana kuasa tembak dan armornya seringkali menghukum dengan keras pihak musuh yang cuba untuk menguji kehebatannya. Oleh itu tidak hairanlah apabila Turki mengerahkan tenteranya untuk campurtangan dalam perang saudara di Syria menerusi operasi Eupharates Shield yang turut melibatkan sejumlah kereta kebal Leopard 2A4 dengan diiringi oleh kenderaan tempur ACV 15, ramai permerhati yang teruja dan berpendapat bahawa tentera Syria dan ISIS akan menemui kekalahan yang teruk di tangan Leopard 2 Turki. Akan tetapi, sebaliknya pula yang berlaku. Semasa pertempuran di bandar Al-Bab pada tahun 2016, ISIS yang hanya mempunyai pasukan infantri ringan telah mampu memusnahkan hampir 10 buah kereta kebal Leopard 2A4 Turki bersama sejumlah kenderaan tempur ACV 15 dan Otokar Cobra. Ramai yang terkejut dan tercengang. Bagaimana tentera pengganas yang bersenjata ringan seperti ISIS mampu untuk mematahkan serangan kereta kebal Leopard 2 Turki?

 

Pada pendapat tim RENTAKA, sebab pertama adalah mindset tentera Turki semasa berperang dengan kumpulan ISIS. Secara logiknya, tentera Turki yang lengkap bersenjata moden serta sangat terlatih dan disokong oleh tentera udara yang kuat sudah semestinya bukan tandingan kepada kumpulan ISIS. Oleh itu tidak hairanlah jika kumpulan ISIS berkemungkinan dipandang sebagai ancaman yang remeh dan bakal dipijak seperti semut sahaja.

Pada masa yang sama, Tentera Turki tidaklah berada dalam kekuatan yang optimum. Tidak lama sebelum operasi Eupharates Shield dilancarkan, tentera Turki terutamanya pasukan armor dan mekanisnya telah cuba untuk menggulingkan Presiden Erdogan namun percubaan tersebut menemui kegagalan. Natijahnya ramai pegawai-pegawai tentera yang berpengalaman luas termasuklah daripada pasukan armor telah ditangkap dan dipenjarakan. Pegawai yang menggantikan mereka mungkin tidak bergitu berpengalaman atau mungkin tidak begitu terlatih. Jadi, semangat juang dan kepakaran di pihak tentera Turki telah menurun ke tahap yang rendah.      

Bandar Al-Bab sebenarnya telah ditawan oleh militan ISIS sudah beberapa lama dan mereka telahpun bersedia untuk menyambut kedatangan tentera Turki mahupun Syria dengan memperkukuhkan pertahanan dan kubu- kubu. Taktik yang digunakan ISIS adalah dengan membuat banyak kubu pertahanan yang kukuh untuk memecahkan belahkan tentera penyerang kepada kumpulan kecil. Disamping itu mereka turut menggunakan kenderaan 4x4 yang dipasang dengan mesingan berat untuk meninjau dan mengganggu pergerakan tentera penyerang. Meskipun peluru mesingan berat tidak mampu untuk menembusi armor kereta kebal dan kenderaan tempur, ia tetap mengganggu dan mampu merosakkan peralatan sensitif seperti penderia optronik kenderaan tempur/ kereta kebal. Ada sesetengah kenderaan 4x4 yang dipasang dengan meriam anti pesawat ZSU-23-2 berkaliber 23mm yang mampu menembusi armor kenderaan tempur dan benar- benar mampu mengharukan kedudukan tentera Turki. Keadaan cuaca semasa operasi dilancarkan juga tidak memihak kepada tentera Turki. Cuaca mendung dengan awan yang rendah serta kabus menghalang sebarang operasi sokongan udara. Sokongan artileri juga gagal untuk diberikan kerana bimbang bedilan terkena pasukan sahabat dalam pertempuran jarak dekat yang cepat berubah arah dan arus.

Tentera Turki langsung tidak menjangka bahawa miltan ISIS akan menentang mereka berhabis- habisan. Berkemungkinan sangka tentera Turki, militan ISIS akan segera berundur daripada berhadapan dengan tentera Turki yang lengkap bersenjata moden. Akan tetapi sebaliknya yang berlaku.

Paling penting, kereta kebal Leopard 2A4 Turki beroperasi hampir- hampir secara bersendirian dan hanya disokong oleh beberapa kenderaan tempur ACV 15 dan Otokar Cobra. Kekebalan sesebuah kereta kebal hampir- hampir satu ilusi sebenarnya. Meskipun ia mampu menahan pelbagai hentaman peluru pelbagai kaliber, ketebalan armornya tidaklah sekata dan ada tempat- tempat yang hanya dilindungi oleh armor setebal beberapa puluh milimeter sahaja. Satu lagi kelemahan kereta kebal adalah pelindungan armor yang meliputi badannya sebenarnya menghadkan medan penglihatannya. Oleh itu krew kereta kebal jarang dapat mengesan peluru berpandu anti armor (ATGM) yang meluncur laju ke arahnya. Jadi lazimnya pasukan infantri mekanis bertanggungjawab untuk mengesan sebarang pelancaran peluru berpandu anti armor dan memberi tembakan perlindungan untuk menekan operator ATGM musuh dan menyebabkan bidikannya tersasar. Dalam operasi menawan bandar Al Bab ini, tentera Turki tidak membawa pasukan mekanis mahupun pasukan infantri bersama.

Dalam pertempuran di bandar Al Bab, tentera Turki ghairah untuk menawan bandar tersebut dalam masa yang singkat memandangkan mereka dilengkapi dengan aset moden dengan kuasa tembak yang menggerunkan. Akan tetapi ketika inilah yang membezakan tentera yang biasa berperang dengan yang kurang berpengalaman. Militan ISIS bersedia di dalam kubu pertahanan masing- masing dan pada masa yang sama tim- tim serang hendap bersedia untuk menyerang hendap pasukan tentera Turki. Sebaik sahaja serangan dimulakan, kemaraan tentera Turki menjadi perlahan apabila mereka mula bertembung dengan satu demi satu kubu pertahanan ISIS yang utuh, degil dan sukar untuk ditundukkan. Seperti biasa, kubu yang gagal untuk ditawan akan dikepung oleh sekumpulan kecil kereta kebal dan kenderaan tempur Turki manakala selebihnya akan meneruskan kemaraan. Akan tetapi begitu banyak kubu pertahanan yang perlu ditawan sehinggakan jumlah tentera penyerang yang mara, menjadi semakin kecil.

Satu lagi kesilapan tentera Turki adalah mereka menggunakan kereta kebal untuk menyerang di tengah- tengah bandar Al Bab. Kereta kebal sangat- sangat jarang dapat beroperasi dengan baik di kawasan bandar. Kesempatan ini sememangnya ditunggu- tunggu oleh militan ISIS. Mereka menunggu sehingga tentera Turki mara benar- benar ke tengah- tengah bandar Al Bab sebelum melancarkan serangan hendap demi serangan hendap menggunakan mesingan berat, RPG-7 dan ATGM. Serangan hendap ini dilancarkan secara bertali-arus, dari segenap arah dan menyokong diantara satu sama lain. Bagi sasaran istimewa seperti kereta kebal Leopard 2 Turki, mereka menyasarkan bahagian sisi kereta kebal samada kerana armor di bahagian tersebut adalah agak nipis ataupun untuk memutuskan runut untuk menidakkan kereta kebal daripada dapat bergerak. Dengan kereta kebal tersekat dan tidak dapat bergerak, militan ISIS boleh mengambil masa mereka untuk memusnahkan Leopard 2 Turki, satu demi satu. Kereta kebal yang sukar untuk dimusnahkan akan dilanggar dengan menggunakan kenderaan yang diisi dengan bom. Malah ada laporan yang mengatakan salah satu kereta kebal Leopard 2 Turki dimusnahkan oleh sebuah kenderaan tempur BMP-1 ISIS yang diisi penuh dengan bahan letupan.          

Pengakhirannya, sekurang- kurangnya 10 buah kereta kebal Leopard 2A4 Turki telah berjaya dimusnahkan oleh miltan ISIS. Menurut pemerhatian pakar, daripada jumlah tersebut, enam buah telah musnah secara total dengan turet tercabut atau badan terbelah akibat dihentam oleh ATGM (9K111 Fagot atau 9M113 Konkurs). Tiga buah Leopard 2 lagi dimusnahkan oleh bom IED manakala sebuah lagi dimusnahkan oleh bom kenderaan. Kebanyakan kereta kebal Leopard 2 yang musnah dihentam di bahagian sisi dan belakang dimana armornya lebih nipis. Dua buah Leopard 2 Turki berjaya ditawan oleh militan ISIS sebagai rampasan perang.

“Semua artikel terbitan RENTAKA adalah hak milik sepenuhnya oleh "Tips Empire". Sebarang ulang terbit, ulang siar atau perkongsian dalam apa jua bentuk dan medium daripada mana- mana bahagian atau keseluruhannya tanpa kebenaran secara bertulis, adalah dilarang.

Sebarang idea untuk projek usahasama yang berkaitan dengan RENTAKA, bolehlah berhubung terus dengan pihak admin RENTAKA".