Adnan adalah salah satu program aset TDM yang boleh dikatakan paling berjaya. Sebelum pemilihan Adnan, TDM dilihat lebih gemar untuk mengoperasikan kenderaan tempur beroda berbanding runut. Jadi pemilihan kenderaan tempur berunut menandakan TDM sudah bersedia untuk transformasi seterusnya dengan menjurus kepada penubuhan divisyen armor yang pertama. Biarpun ianya masih mempunyai elemen- elemen yang masih belum lengkap (seperti meriam mudah gerak), tiada lagi senario dimana MBT beroperasi bersendirian sebaliknya sentiasa bersama Adnan dan skuad mekanisnya untuk bertindak seperti pengawal peribadi dan elemen sokongan. Adnan juga bertindak sebagai mata dan telinga kepada pasukan armor dan melakukan peninjauan. Kini, Adnan telahpun berkhidmat bersama TDM melebihi 20 tahun dan sudah tiba masanya untuk dinaik taraf agar tetap segar dan sentiasa relevan sejajar dengan perubahan kepada ancaman, senario serta fungsi tugas.
Sebenarnya agenda untuk menaik taraf kenderaan tempur Adnan sudah lama dilahirkan. Cumanya menunggu masa serta ketika (dan tidak ketinggalan, bajet!) untuk dizahirkan. Dengan lengkapnya program Gempita, kini kilang Deftech di Pekan bolehlah dioptimakan pula untuk kerja- kerja naik taraf Adnan.
Pada masa yang sama, "abang tiri" Adnan yang seringkali dilupakan kehadirannya masih lagi berkhidmat dengan setia. Biarpun ditakrifkan sebagai kenderaan tempur infantri dengan tugas berbeza dengan Adnan, MIFV atau K200A1 masih lagi relevan. Walaupun begitu, kedua- duanya bukan sahaja berkongsi leluhur yang sama, malah mempunyai rekabentuk asas yang hampir sama. Teras bagi Adnan dan MIFV adalah kereta perisai M113 yang mana telah berkhidmat lebih daripada 60 tahun di banyak negara di seluruh dunia. Rekabentuk asas yang mudah dan efektif menjadikannya popular dan telah terbukti dalam peperangan. Walaupun ia memiliki kekurangan- kekurangan yang ketara, versi- versi yang seterusnya telah cuba untuk memperbaiki kelemahan tersebut. Adnan dan MIFV dizahirkan mengikut rekabentuk salah satu versi M113 iaitu Armored Infantri Fighting Vehicle (AIFV) yang dioptimakan bagi fungsi kenderaan tempur infantri. Bertitik tolak daripada versi itu, banyak penambahan dan pembaharuan telah diperkenalkan kepada versi AIFV sehinggakan ada fungsi yang berubah jauh sehingga menjadi kenderaan tempur atau "Bradley versi murah". Pun begitu masih banyak ruang yang masih boleh diperbaiki dan ditambah baik.
Tim RENTAKA menjangkakan projek naik taraf Adnan dan MIFV akan melibatkan banyak aspek yang biasa difikirkan seperti mobiliti, perlindungan dan kuasa tembak yang merupakan asas bagi kenderaan armor atau kereta kebal. Tetapi aspek paling utama adalah untuk merendahkan kos pemilikan, pengoperasian serta senggaraannya. Biarpun teras bagi Adnan dan MIFV adalah sama tetapi tetap ada perbezaannya serta alatan ganti keduanya tidak boleh ditukar silang diantara keduanya. Jadi tim RENTAKA menjangkakan kedua- duanya akan dinaik taraf menggunakan satu rekabentuk yang sama. Penggunaan satu rekabentuk sebagai standard bukan sahaja akan memudahkan urusan logistik dan senggaraan, ia juga akan memudahkan dalam urusan melatih krew kenderaan. Kos alatan ganti dan pengoperasian juga dapat direndahkan dengan ketara. Dalam hal ini, tim RENTAKA menjangkakan rekabentuk yang digunakan adalah rekabentuk kenderaan tempur ACV-S atau kini dikenali sebagai ACV-19 yang telah digunakan oleh TDM sebagai kenderaan pembawa mortar.
Tapi mengapa tim RENTAKA menjangkakan rekabentuk ACV-19 akan digunakan? Kenderaan tempur ACV-19 sebenarnya direka dengan rekabentuk modular yang mengizinkan pelbagai peralatan tambahan dipasang mengikut kemahuan pelanggan. Ini memberi kebebasan kepada TDM untuk memasang peralatan tambahan bukan sahaja sekarang tetapi juga di masa hadapan mengikut keperluan dan tahap ancaman. Sebagai contoh, armor Adnan mampu untuk menangkis peluru sehingga berkaliber 14.5mm. Armor pada ACV-19 bukan sahaja boleh dinaik taraf agar mampu untuk menahan peluru meriam berkaliber 30mm tetapi juga dikatakan mampu menahan impak daripada roket RPG-7! Selain daripada itu, AC-19 turut menawarkan ruang yang lebih luas untuk memuatkan lebih banyak peralatan atau bebanan tempur. Jika dibandingkan dengan M113, ACV-19 menawarkan ruang kira- kira 25% lebih besar dan keupayaan membawa 70% lebih banyak bebanan.
Kerja- kerja naik taraf Adnan dan MIFV bakal melibatkan kerja- kerja kejuruteraan yang intensif dimana semua komponennya akan diperiksa secara menyeluruh dan akan digantikan mengikut keperluan. Kemudian badan kenderaan tempur akan dipanjangkan dan melibatkan penambahan satu lagi roda yang memerlukan kerja- kerja modifikasi tambahan. Berikutnya adalah pemasangan peralatan serta penderia tambahan dan sistem persenjataan. Bagi membolehkannya memiliki mobiliti yang tinggi di medan tempur wallaupun dibebani dengan armor dan bebanan persenjataan, Adnan dan MIFV dijangkakan akan menggunakan enjin Detroit Diesel Detroit Diesel 6V-53TIA berkekuatan 400 kuasa kuda.
Tim RENTAKA menjangkakan sistem persenjataan kenderaan tempur akan dinaik taraf kepada meriam Bushmaster Mk.44 berkaliber 30mm memandangkan armor pada kebanyakan kenderaan tempur sekarang mampu menangkis peluru meriam berkaliber kecil. Mungkin ramai yang menjangkakan sistem RWS atau setidak- tidaknya turet kawalan jauh digunakan diatas sebab keselamatan dan penjimatan berat tetapi tim Rentaka menjangkakan TDM akan mengekalkan penggunaan turet yang dioperasikan oleh krew kenderaan. Ini adalah kerana turet yang dioperasilkan oleh krew mampu memberikan kefahaman terhadap situasi semasa yang lebih baik berbanding gambaran yang diberikan oleh kamera atau sistem optronik. Disamping itu sistem persenjataan dan sistem elektro optik sentiasa terlindung oleh armor turet daripada tembakan musuh atau elemen semulajadi seperti cuaca atau kotoran yang boleh mengganggu kelancaran operasinya.
Tim RENTAKA melihat kerja- kerja naik taraf Adnan dan MIFV ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada TDM tetapi juga usaha kerajaan untuk membantu Deftech mendapatkan pengalaman dan pengetahuan dalam melakukan naik taraf kereta perisai M113 khususnya versi AIFV. Pada masa sekarang terdapat lebih kurang 80,000 buah M113 dan lebih daripada 6,000 buah AIFV masih aktif berkhidmat di hampir 50 buah negara di seluruh dunia. Jadi pasaran untuk kontrak penyelenggaraan dan naik taraf sentiasa ada dan terbuka. Apa yang perlu ada usaha serta pemasaran yang tetap dan berterusan. Bak kata pujangga lama, "Manusia ada asa, Allah punya kuasa".