Rafale.jpeg

 

Setelah beberapa lama mencari calon pesawat pejuang terbaik bagi memperkukuhkan penguasaan ruang udara TNI-AU, akhirnya Indonesia telah menamatkan spekulasi sekaligus mempamerkan kestabilan kerajaan dan kekuatan kuasa ekonomi mereka dengan menandatangani perjanjian pembelian sebanyak enam buah pesawat pejuang Rafale dengan pilihan untuk menambah 36 buah lagi pesawat. Bukan itu sahaja, firma- firma utama industri pertahanan Indonesia turut sama menandatangani MoU untuk bekerjasama dalam pembuatan atau senggaraan kapal selam, satelit pertahanan dan peluru meriam berkaliber sederhana dan besar.

Sekalipun dengan hanya mengoperasikan enam buah pesawat pejuang Rafale, ia mampu melonjakkan keupayaan TNI-AU berganda- ganda dalam hampir semua kategori mahupun fungsi. Sesuai dengan fungsinya sebagai pesawat pejuang yang digelar sebagai “Omnirole”, Rafale direka agar bukan sahaja mampu memikul tugas dan fungsi bersilih ganti tetapi mampu melakukan kesemua tugas dan fungsi tersebut pada masa yang sama. Ia dijangka dapat melatih dan membolehkan TNI-AU melangkah kepada pengoperasian pesawat pejuang generasi ke 5 tanpa menghadapi kejutan mahupun masalah yang besar.


Daripada segi persenjataan pula, Rafale dijangka akan merevolusikan keupayaan TNI-AU dengan keupayaan- keupayaan yang sebelum ini hanya dalam angan- angan atau mimpi basah sahaja. Sekiranya pakej persenjataan yang bakal dibeli adalah lengkap, diantara persenjataan yang menarik perhatian adalah peluru berpandu kruis SCALP-EG dan bom panduan AASM Hammer. SCALP-EG adalah merupakan peluru berpandu krius dengan jangkauan operasi sejauh 250 kilometer (untuk versi eksport). Ia direka untuk membawa kepala peledak seberat 450kg yang dioptimakan untuk memusnahkan sebarang sasaran strategik bernilai tinggi termasuklah bunker konkrit bawah tanah mahupun di dalam gua. Ia telah terbukti dalam peperangan dimana ketepatannya dilaporkan sebanyak 97 peratus. Bom panduan AASM Hammer adalah jawapan kepada bom panduan JDAM yang dioperasikan oleh Amerika dan sekutunya. Sepertimana JDAM, AASM Hammer meluru ke sasaran dipandu oleh sistem panduan inersia (INS) sambil dipastikan ketepatannya oleh data GPS. Pun begitu, terdapat versi panduan laser yang dioptimakan untuk menghentam sasaran bergerak seperti konvoi kenderaan tentera, kereta kebal dan sasaran bernilai tinggi seperti kenderaan pemimpin tertinggi musuh yang sedang bergerak laju.

Bagi tim RENTAKA, sistem persenjataan peesawat pejuang Rafale yang bakal melonjakkan keupayaan TNI-AU adalah peluru berpandu Meteor. Sekiranya ia menjadi sebahagian daripada pakej pembelian Rafale TNI-AU, ia bakal menyebabkan imbangan kuasa tempur udara memihak kepada TNI-AU. Dengan jangkauan operasi sejauh 200 kilometer, ia meluru ke sasaran pada kelajuan maksimum Mach 4 dan mampu untuk diubah sasarannya (menerusi jaringan data) selepas dilancarkan, bergantung kepada keperluan. Sebagai perbandingan, peluru berpandu AIM-120D AMRAAM yang dioperasikan oleh tentera Amerika mempunyai jangkauan operasi sejauh 180 kilometer. Peluru berpandu Meteor begitu digeruni sehinggakan Israel merayu kepada Perancis agar Meteor tidak dijual kepada Mesir sebagai sebahagian pembelian pesawat pejuang Rafale nya. Malah Amerika turut mengugut untuk menyekat penjualan Meteor sekiranya Perancis bertindak menjuialnya kepada Mesir. Tidak diketahui samada Perancis telah menghantar peluru berpandu Meteor yang dipesan oleh Mesir.

Satu aspek yang jarang disebut dan sentiasa dilupakan adalah aspek peperangan elektronik atau Electronic Warfare (EW). Rafale dilengkapi dengan sistem EW dikenali sebagai Spectra yang menjadi sebahagian daripada sistem avioniknya. Ini membolehkan Rafale melakukan pelbagai jenis tugas merbahaya tanpa memerlukan pemasangan pod EW tambahan yang bakal menghadkan jumlah bebanan persenjataan yang boleh dibawa. Rafale milik Tentera Udara Perancis seringkali melakukan pelbagai jenis operasi serangan semasa konflik memanas di Libya dengan hanya bergantung kepada perisai elektronik yang dibekalkan oleh sistem EW Spectra tanpa perlu diiringi oleh pesawat SEAD khusus. Adakah sistem Spectra berkesan dalam pertempuran udara. Tentera Udara Mesir turut dihantui oleh persoalan yang sama lantas melakukan satu ujian tempur udara diantara Rafale F3R dan Su-35. Mereka mendapati sistem Spectra Rafale telah secara berulangkali menyerak radar AESA Su-35 dan menyebabkan radar tersebut gagal untuk berfungsi. Ini membutakan pesawat Su-35 dan menjadikannya tidak mampu untuk melancarkan serangan jarak jauh. Sebaliknya, pesawat Rafale segera melancarkan peluru berpandu BVR dan berjaya memusnahkan pesawat Su-35 lantas mengakhiri dogfight ujian tersebut.     

Tim RENTAKA berpendapat bahawa sekiranya pilihan untuk menambah 36 buah lagi Rafale direalisasikan oleh kerajaan Indonesia, ia bakal memberi impak positif bukan sahaja kepada industri pertahanan malah industri aeronautik dan ekonomi Indonesia secara amnya. Dibawah pemerintahan Presiden Jokowi, Indonesia dilihat telah mula menitik beratkan penggunaan produk tempatan dan ini telah mula merebak kepada TNI. Jadi, tidak mustahil penambahan Rafale akan melibatkan sekurang- kurangnya pemindahan teknologi tertentu kepada industri pertahanan dan aeronautik Indonesia. Walau bagaimanapun, tim RENTAKA menjangkakan ia berkemungkinan besar akan melibatkan kerja- kerja pemasangan pesawat oleh industri- industri tempatan dan penggunaan produk keluaran tempatan atau local content. Pun begitu, yang paling utama adalah pemmindahan teknologi dan pengetahuan atau know how yang penting untuk bukan sahaja memajukan industri pertahanan dan aeronautik Indonesia tetapi juga membolehkan mereka beralih kepada pasaran antarabangsa. Pada masa yang sama firma Dassault telah menyatakan bukan industri aeronautik dan pertahanan sahaja yang akan mendapat faedah daripada program timbal balas pembelian Rafale tetapi juga meliputi industri yang berkaitan dimana teknologi tersebut boleh dikembangkan.

Oleh itu tim RENTAKA berpendapat bahawa pemilikan Rafale bukan sahaja melambangkan hegemoni dan penguasaan Indonesia terhadap ruang udaranya yang terbentang luas di Asia Tenggara, tetapi juga bakal merevolusikan industri Indonesia dan memperkembangkan lagi sumbangan mereka kepada ekonomi Sang Garuda dalam melangkah ke dekad 2030.

Sudah pastinya ramai peminat ketenteraan tempatan yang tergasima bila membaca impak pesawat pejuang Rafale kepada TNI-AU. Tidak kurang juga yang tertanya mengapa Malaysia boleh ketinggalan.

Hakikatnya mudah.

Perolehan pertahanan bukanlah satu subjek yang digemari dan seringkali menjadi subjek kegemaran untuk menghentam mana- mana kerajaan di seluruh dunia.

Itulah sebabnya kerajaan yang kuat dan stabil itu sangat- sangat penting dan merupakan tunjang utama sesebuah negara. Indonesia telah melalui saat getir dahulu dan kini telah menjadi salah satu kerajaan tersohor di Asia Tenggara serta menjadi salah satu pilihan utama pelabur asing.

Masa untuk bereksperimen dan mencuba- cuba telahpun berakhir. Kita sebagai rakyat marhen memainkan peranan penting iaitu memilih dan melantik kerajaan yang kuat dan stabil untuk diberikan mandat memerintah negara. Malaysia harus diperkasakan kembali untuk melangkah maju ke hadapan. Sejak 1511 kita diperkotak- katikkan sehinggalah kita mencapai kemerdekaan. Kini, kita kembali diperkotak-katikkan kerana keengganan kita sendiri sebagai rakyat Malaysia, untuk bersatu padu.   

Sudah tiba masanya untuk kita membantu negara untuk membangunkan semula ekonomi negara yang menguncup akibat perang melawan pandemik Covid-19 dan mengharungi bencana alam.

Oleh kerana itu keperluan untuk kerajaan yang stabil dan kuat termasuklah daripada segi politik adalah penting. Kerajaan yang kuat dan stabil juga akan meyakinkan pelabur asing untuk melabur dan untuk ekonomi berkembang pesat. Kekuatan ekonomi akan, bukan sahaja membolehkan sesebuah negara untuk membeli kelengkapan tentera yang lebih baik dan lebih canggih, tetapi juga berkemampuan untuk menanggung kos pengoperasian dan pemilikannya. Umpama membeli sebuah kereta, kemampuan untuk memiliki sebuah kereta bukan sahaja dikira daripada kemampuan untuk menjelaskan bayaran bulanan tetapi kos- kos lain seperti kos bahan api, senggaraan dan sebagainya. Ini adalah satu fakta yang tidak diketahui atau mungkin tidak ingin diketahui oleh orang ramai. Apa yang seronok dibuat oleh segelintir orang adalah mengkritik, mengkritik dan mengkritik tanpa alasan kukuh, pengetahuan mahupun fakta yang membina. Umpama seorang budak kecil yang mahukan ayahnya membeli kereta mewah kerana ayah rakannya memiliki kereta tersebut.

Lazimnya, lebih tinggi nilai strategik sesebuah aset pertahanan, lebih tinggilah harga yang perlu dibayar. Meskipun TLDM hanya memiliki dua buah kapal selam kelas Perdana Menteri, ia tetap sangat menggerunkan lawan. Pun begitu, kos untuk menampung pengoperasian hanya dua buah kapal selam bukanlah murah malah dikatakan menelan hampir keseluruhan bajet operasi tahunan TLDM!   

Ekonomi negara yang kuat secara berterusan adalah sangat penting dan menjadi tunjang kepada kemakmuran sesebuah negara. Jika ekonomi lemah, maka rakyat jualah yang menerima tempiasnya samada secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu sebagai rakyat, kita harus menekan secara berterusan ahli politik akan memastikan ekonomi negara agar terus mampan dan berdaya maju. Pertumbuhan ekonomi yang baik akan memastikan pembangunan yang berterusan dan kemakmuran rakyat. Ia juga akan menjana pendapatan untuk kerajaan menerusi cukai dan hasil mahsul yang lain. Lebih makmur sesebuah negara, lebih banyaklah hasil pendapatan yang dikutip. Pengenalan cukai GST tidak lama dahulu bukan sahaja menjadikan percukaian menjadi lebih adil (kerana cukai adalah berdasarkan penggunaan) tetapi juga melibatkan asas cukai atau “tax base” yang lebih besar. GST terbukti mampu melonjakkan pendapatan negara dan seterusnya mengizinkan kerajaan untuk berbelanja lebih bagi pembangunan ATM.

Jika mengikut fakta statistik yang dikeluarkan oleh International Monetary Fund (IMF) berkenaan keluaran negara kasar negara- negara ASEAN bagi tahun 2021, Malaysia menduduki di tempat yang keempat dibawah Indonesia, Thailand dan Filipina. Jadi tidak hairanlah negara- negara jiran mampu untuk berbelanja besar dalam membeli aset pertahanan.      

Buat masa sekarang, negara hanya mampu berbelanja mengikut kemampuan. Fokus utama kerajaan dilihat menjurus kepada membantu rakyat secara berterusan melalui pelbagai inisiatif dan subsidi disaat negara dilanda bencana yang seperti bersilih ganti. Jadi apakah pilihan yang ada pada negara?

Tidak dapat dinafikan dengan pembelian pesawat pejuang Rafale oleh Indonesia telah mengubah imbangan kuasa udara di Asia Tenggara. Jika imbangan kuasa udara ini hendak dikembalikan kepada  hampir seperti asalnya, tim RENTAKA berpendapat salah satu pilihan yang wajar diterokai adalah pesawat pejuang Gripen E/F.

Mengapa pesawat pejuang Gripen? Pertama- tamanya, keupayaan pesawat ini adalah bagus meskipun saiznya yang kecil (dan sukar untuk dikesan secara visual semasa dogfight). Dua, ia boleh melakukan pelbagai jenis operasi dan fungsi seperti pesawat pejuang generasi 4.5 yang ada di pasaran. Ketiga, ia mampu membawa pelbagai jenis sistem persenjataan terkini termasuklah peluru berpandu kruis dan peluru berpandu udara ke udara Meteor. Malah ia dilaporkan mampu untuk dikonfigurasikan untuk membawa bebanan persenjataan buatan banyak negara termasuklah Amerika, Rusia dan Eropah. Ini bukan sahaja mengizinkannya menggunapakai peluru berpandu yang digunakan oleh Su-30MKM tetapi juga memberi fleksibiliti kepada TUDM untuk memilih bebanan persenjataan apa yang hendak dipilih mengikut kehendak operasi dan sumber yang ada. Keempat, kos pengoperasiannya dikatakan rendah berbanding pesawat pejuang lain dan mudah untuk senggarakan. Kelima, firma SAAB AB yang mengeluarkan Gripen diketahui menawarkan program timbalbalas yang menarik dan menyeluruh termasuklah pemindahan teknologi asalkan bilangan Gripen yang dibeli adalah berpadanan. Keenam, Gripen E/F menggabungkan banyak teknologi terkini dan inovatif yang mampu merevolusikan industri aeronautik negara dan membantu TUDM untuk melangkah ke pesawat pejuang generasi ke 5. Ketujuh, terdapat komponen- komponen utama Gripen yang turut sama digunakan oleh pesawat pejuang TUDM dan mampu untuk membantu latihan dan mengurangkan kos logistik serta senggaraan. Pendek kata Gripen adalah pilihan yang murah, mudah untuk dioperasikan tetapi tetap berbisa.