Foto:Alexander Ermochenko/Reuters.
Walaupun Rusia telah mula membina kekuatan di sempadan Ukraine- Rusia, ia dilihat sebagai hanya bertujuan untuk mengertak Ukraine. Sedikit demi sedikit, Rusia telah menghimpun lebih kurang 600 ribu-800 ribu tenteranya yang lengkap dengan senjata berat di sempadannya dengan Ukraine. Sekalipun Ruisia bertindak menyerang Ukraine, ia diramalkan hanya untuk membebaskan wilayah Donetsk dan Luhansk daripada pemeritahan Ukraine. Jadi bayangkan betapa terkejutnya ramai pemerhati antarabangsa (termasuk tim RENTAKA sendiri) apabila Presiden Vladimir Putin mengumumkan operasi khas untuk Ukraine ditawan dan dilucutkan persenjataannya. Tapi persoalannya mengapa Presiden Putin bertindak demikian?
Mengapa? Sebenarnya jawapan untuk persoalan tersebut boleh didapati daripada sejarah empayar Rusia. Media barat sekarang ini rata- rata mengatakan bahawa Presiden Putin telah lama kemaruk dengan Ukraine. Jika dilihat pada satu sudut, memang ada kebenarannya. Rusia adalah satu negara yang sememangnya sangat luas tetapi ianya terpencil disebabkan keluasannya, dikepung oleh banjaran gunung dan lautan. Jadi Rusia sangat jarang dapat ditakluk sebahagiannya dan tidak pernah ditakluk keseluruhannya. Ia hanya pernah ditakluk sebahagian besarnya oleh Empayar Mongol, kerajaan Perancis Napoleon dan kerajaan Nazi Jerman. Majoriti serangan keatas Rusia pada sejarahnya datang daripada kerajaan di Eropah dan satu- satu jalan utamanya adalah melalui Ukraine. Semasa perang dingin 1947-1991, kerajaan komunis USSR telah menubuhkan Pakatan Warsaw yang mana negara anggotanya menjadi pemampan terhadap sebarang serangan ketenteraan daripada negara- negara barat ke atas USSR. Runtuhnya Pakatan Warsaw dan empayar USSR pada tahun 1991 telah menyaksikan negara- negara dibawah empayar Rusia satu demi satu telah mengumumkan kemerdekaan mereka daripada pemerintahan Rusia. Negara- negara Eropah mula menawarkan pelbagai insentif dan pakej pembangunan untuk memikat negara- negara bekas USSR untuk menyertai EU tapi apa yang membuat Rusia marah adalah apabila NATO turut sama berbuat demikian. Kebanyakan negara- negara bekas USSR bukan sahaja dahagakan pembangunan ekonomi tetapi takut dengan kuasa ketenteraan Rusia dan jaminan bahawa NATO akan bertindak sekiranya ada negara anggotanya diserang, telah mendorong banyak negara- negara bekas USSR untuk menyertai NATO. Ukraine belum memohon keahlian NATO tetapi telah mula menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan negara- negara NATO. Ini bukan sahaja merisaukan Rusia tetapi tindak- tanduk Ukraine seringkali menimbulkan kemarahan kerajaan Rusia.
Isu utamanya adalah Rusia mahukan negara- negara yang bersempadan dengannya menjadi pemampan kepada negara- negara EU dan NATO. Hubungan Ukraine yang semakin akrab dengan NATO seringkali merisaukan Rusia memandangkan Ukraine adalah jirannya yang utama. Jika Ukraine menjadi anggota NATO, maka NATO boleh menyerang atau mengancam Rusia pada sebilang masa. Tindakan Rusia untuk menyokong kumpulan pemisah di Crimea, Donetsk dan Luhansk dilihat sebagai cubaan untuk membina pemampan jika Ukraine menjadi anggota NATO. Perbalahan Ukraine- Rusia yang berpanjangan sebelum ini telah mendorong Ukraine untuk lebih rapat dengan NATO. Jika Ukraine menjadi anggota NATO maka Rusia akan terpaksa berhadapan dengan seluruh kekuatan ketenteraan anggota NATO yang menyerang daripada pelbagai arah daripada sempadan negaranya. Oleh itu Rusia harus mengambil tindakan muktamad untuk memastikan keselamatan dan kelangsungan negaranya.
Satu lagi kemungkinan objektif Rusia adalah untuk menunjukkan kepada semua terutamanya negara- negara jirannya akibat jika menimbulkan kemarahan Sang Beruang.
Jika begitu, mengapa tentera Rusia dilihat sebagai tidak bermaya dalam kempennya untuk menawan Ukraine?
Sebab utama kemaraan tentera Rusia dilihat perlahan adalah kempen penaklukan Ukraine ini agak unik. Presiden Putin dilihat tidak mahu mengancam atau mengganggu bandar- bandar utama dan hanya menyasarkan sasaran ketenteraan, kerajaan dan kawasan- kawasan strategik. Sebab yang lain adalah Ukraine adalah satu negara yang besar malah lebih besar daripada Malaysia. Jadi kemaraan tentera Rusia mungkin meliputi puluhan kilometer sehari tetapi hanya kelihatan ciput di peta. Disamping itu tentera Rusia dilihat menghadapi masalah logistik kerana kawasan Ukraine yang luas dan jalan yang ada samada tidak begitu baik ataupun telah disabotaj atau telah rosak akibat pertempuran. Oleh itu ada kemaraan tentera Rusia yang terhalang berikutan kehabisan bahan api. Pemerhati barat berpendapat kemaraan Rusia akan terpaksa dihentikan atau diperlahankan buat sehari dua bagi membolehkan anggota, kelengkapan dan bantuan logistik untuk sampai ke medan tempur. Satu lagi faktor adalah tentera Rusia yang menjadi pasukan penyerang dikatakan adalah merupakan anggota kerahan dan bukannya anggota tentera profesional dan veteran. Tentera Rusia dilihat seperti menyipan kekuatan dengan meletakkan tenteranya yang terlatih sebagai simpanan berkemungkinan sebagai persediaan untuk menghadapi campurtangan tentera negara barat. Penentangan oleh tentera Ukraine juga dilihat agak efektif kerana dibantu oleh negara- negara NATO daripada segi maklumat risikan termasuklah melalui perisikan elektronik dan satelit yang membolehkan tentera Ukraine untuk bertindak pantas untuk mempertahankan kawasan- kawasan yang bakal diserang. Negara- negara NATO turut sama memberikan bantuan persenjataan kepada Ukraine tetapi ia dilihat tidak begitu memberi impak dalam kempen peperangan ini.
Bagaimana pula dengan sekatan ekonomi yang semakin membukit serta dikenakan bersilih- ganti kepada kerajaan, pemimpin serta ahli perniagaan Rusia?
Apa jua sekatan yang dikenakan sebenarnya hanyalah menyusahkan pada permulaannya tetapi lambat-laun akan ada cara untuk mengatasinya. Contoh yang paling ketara adalah kerajaan Korea Utara yang dikenakan pelbagai sekatn oleh negara- negara barat, masih terus utuh sehingga ke hari ini. Menurut satu penyelidikan yang dilakukan oleh John Hopkins University, Kerajaan Rusia telah dikenakan lebih daripada 1,000 jenis sekatan oleh negara- negara barat (terutamanya oleh Amerika) dan mereka berjaya mengatasi setiap satu sekatan tersebut dan langsung tidak merasa gusar terhadap sebarang sekatan yang mungkin akan dikenakan di masa hadapan. Malah yang rugi adalah negara- negara barat yang sudah pastinya merasa sukar untuk melakukan perniagaan dengan Rusia berikutan pelbagai sekatan yang telah dikenakan.
Apa yang menakutkan adalah kemungkinan untuk Rusia membentuk blok ekonomi dan ketenteraan baru dengan China. Kedua- dua negara ini mempunyai banyak persamaan ketara seperti dikenakan pelbagai jenis sekatan, terpaksa menghadapi pelbagai provokasi daripada negara- negara barat tetapi pada masa yang sama memiliki kuasa ekonomi dan ketenteraan yang besar dan kuat. Sebelum kempen penaklukan Ukraine dilancarkan, Rusia dan China telahpun menunjukkan tanda- tanda kerjasama yang kuat seperti pertukaran maklumat risikan dan Putin menunggu sehingga sukan Olimpik musim sejuk berakhir sebelum melancarkan serangan. Sekiranya Rusia berterusan diasak hebat dengan pelbagai jenis sekatan, tidak mustahil Rusia akan bersatu dengan China untuk membentuk satu blok ekonomi, perdagangan dan keselamatan baru yang bukan sahaja besar tetapi juga kuat serta mampu menyaingi Amerika, EU dan NATO. Maka pada masa itu dunia akan kembali menjadi seperti era Perang Dingin.
Kempen Rusia juga mendedahkan kewayangan negara- negara barat dalam menangani konflik serantau. Semasa Ukraine menghadapi provokasi Rusia, mereka dijanjikan engan pelbagai bantuan oleh negara- negara barat. Apabila perang benar- benar meletus, Ukraine dibiarkan bersendirian untuk menghadapi amukan sang beruang. Bantuan persenjataan yang diberikan setakat ini terhad kepada peluru, senjata anti armor dan MANPADS. Persenjataan sebegitu tidak memberi impak yang besar dalam menghentikan kemaraan tentera Rusia. Hal yang sama dilihat dengan apa yang berlaku di Laut China Selatan dimana negara- negara barat ghairah mencabar China dan ghairah dalam usaha mereka untuk menjual atau mendermakan pelbagai jenis kelengkapan ketenteraan. Persoalannya, jika sang naga tiba- tiba mengamuk seperti yang dilakukan oleh sang beruang sekarang ini, adakah negara- negara barat akan turut membantu atau hanya menonton daripada jauh? Jika Rusia berjaya menawan Ukraine tanpa kesan atau impak negatif yang mendalam, ia mungkin memberi inspirasi kepada China untuk mengambil kembali Taiwan dan meluaskan penguasaannya di Laut China Selatan.
Penguasaan media oleh negara- negara barat kelihatan begitu ketara di sepanjang konflik Rusia- Ukraine berlangsung. Tidak mengejutkan ramai yang menyokong Ukraine dan melihatnya sebagai satu kes penindasan yang dilakukan oleh sebuah negara besar ke atas negara jirannya yang kecil dan lemah. Malah Rusia bakal dihalang daripada menyebarkan berita di media- media sosial. Ukraine dan rakyatnya pula ghairah memuat naik berita kejayaan mereka mahupun kekejaman tentera Rusia. Dilema yang dihadapi Rusia adalah Ukraine menggunakan militia untuk menyerang tentera Rusia dan agak mudah untuk menuduh bahawa tentera Rusia membunuh rakyat Ukraine yang tidak berdosa sedangkan yang dibunuh mungkin adalah militia.
Apa yang menarik, Rusia langsung tidak mengaktifkan keupayaan peperangan elektroniknya setakat ini. Ini memudahkan kedudukan dan pergerakan tenteranya dikesan oleh perisikan negara- negara NATO dan menyampaikan maklumat tersebut kepada tentera Ukraine. Terdapat kemungkinan Putin mahukan dunia dapat melihat bagaimana Ukraine dihukum dan memberi amaran apa yang akan terjadi kepada negara- negara yang cuba membangkitkan kemarahan Rusia.
Satu persoalan menarik adalah adakah penaklukan Ukraine akan berubah menjadi kempen insurgensi seperti perang Vietnam atau perang Afghanistan? Ada kemungkinan perkara seperti itu berlaku terutamanya dengan sokongan dan bantuan logistik daripada negara- negara barat. Walaubagaimanapun Rusia berkemungkinan akan membalas dengan menyokong kumpulan- kumpulan penentang di negara- negara Eropah Timur yang menjadi ahli NATO atau EU. Sebagai pemulaan, penentangan oleh kumpulan tertentu daripada puak Serbia kini menjadi semakin keras di Bosnia Herzegovina sehingga memaksa negara- negara EU menambah lagi bilangan anggota tentera pengaman mereka di Bosnia. EU berpendapat kumpulan- kumpulan tersebut disokong oleh Rusia.
Akhir kata, meskipun kempen penaklukan Ukraine oleh Rusia berlaku ribuan kilometer daripada Asia Tenggara, ia bakal memberi impak yang ketara kepada dunia. Apa yang pasti, ramai peminat ketenteraan di seluruh dunia memerhatikannya dengan penuh minat dan ternanti- nanti apa kesudahannya. Namun begitu dek kerana asyik, tidak ramai yang sedar bahawa dunia berada di ambang perang nuklear. Terkini, negara- negara barat mula berbincang untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Ukraine. Jika ini terjadi, Rusia sudah pastinya akan bertindak balas dan berkemungkinan perang akan merebak secara meluas ke Rusia dan Eropah. Sekiranya ini terjadi, dunia benar- benar sedang melangkah ke perang nuklear.