Ramai yang tertanya- tanya tentang mengapa kemaraan tentera Rusia kelihatan begitu perlahan dalam kempen mereka untuk mengajar Ukraine. Begitu juga dengan pemerhati- pemerhati ketenteraan di luar negara. Rata- rata telah melahirkan pelbagai kenyataan dan teori dalam usaha mereka untuk merungkai persoalan mengapa kemaraan tentera Rusia adalah begitu perlahan sekali. Pemerhati ketenteraan yang terpengaruh dengan propaganda pro Ukraine mengatakan tentera Rusia bukanlah hebat seperti leluhurnya dahulu iaitu tentera USSR dan mereka kelihatan tidak cekap dalam mengendalikan urusan logistik manakala mereka yang pro Rusia pula berpendapat kemaraan tentera Rusia direncatkan oleh arahan Putin yang mahu korban awam diminimumkan serendah mungkin. Apa yang pasti, tentera Rusia tetap mara tapi pada kelajuan yang cukup perlahan.
Tim RENTAKA berpendapat bahawa tentera Rusia sememangnya beroperasi seperti yang sepatutnya dan kitalah yang melihatnya daripada sudut pandangan yang kurang. Rata- rata pembaca RENTAKA terdedah kepada berita bersumberkan daripada media yang dikuasai oleh negara- negara barat. Oleh itu kita tidak dapat mengelak daripada melihat kempen tentera Rusia di Ukraine darripada sudut kacamata pemerhati ketenteraan barat yang menganalisanya berdasarkan doktrin tentera barat. Doktrin tentera Rusia dan negara- negara barat adalah agak jauh berbeza dimana doktrin tentera Rusia yang dipanggil Deep Battle dilahirkan oleh pemikir- pemikir tentera Rusia sebelum Perang Dunia Kedua manakala doktrin tentera Amerika (yang turut diguna pakai oleh kebanyakan negara barat dan sekutunya) dikenali sebagai Airland Battle yang dizahirkan semasa perang dingin sedang memuncak.
Teras kepada doktrin Airland Battle diambil daripada pengalaman semasa Perang Dunia Kedua terutamanya taktik dan strategi yang digunakan oleh tentera Jerman. Ia kemudiannya diperbaiki lagi keberkesanannya berdasarkan pengalaman perang semasa perang Ramadan 1973 (atau lebih dikenali sebagai Perang Yom Kippur). Mengapa perang Yom Kippur? Besar kemungkinan ia adalah perang konvensional pertama dimana taktik, strategi dan doktrin barat digunakan terhadap pasukan lawan yang menggunakan doktrin Rusia dan memperolehi kemenangan. Doktrin Airland Battle menitik beratkan sokongan padu aset tentera darat dan udara untuk mematahkan serangan lawan dan melumatkan pasukan musuh yang masih tinggal. Ia juga mengalakkan pengawai tentera di medan tempur untuk mengambil inisiatif sendiri dalam merampas kejayaan serta mengubah arus pertempuran agar berpihak kepada pasukan sahabat. Doktrin negara- negara barat mementingkan elemen kejutan dan kelajuan untuk mematahkan semangat juang pasukan lawan serta menidakkan pasukan musuh untuk terus bersedia untuk melawan.
Doktrin Deep Battle yang digunakan oleh tentera Rusia pula berbeza kerana ia lebih kepada menyerang musuh dalam medan pertempuran yang panjang dan berlapis. Dalam medan pertempuran ini tentera Rusia akan melaksanakan beberapa siri serangan yang serentak atau bertali arus atau kombinasi keduanya tetapi ke arah yang berlainan. Tujuannya adalah untuk mengabui mata musuh terhadap serangan sebenar dan arahnya. Pada masa yang sama, tentera Rusia secara berterusan menghentak dan meracik kekuatan lawan dengan menggunakan kuasa tembak semaksimum mungkin. Doktrin Deep Battle memerlukan jumlah tentera yang ramai dan aset yang banyak (yang mana Rusia memiliki kedua- duanya) kerana pertempurannya akan mengambil masa yang agak panjang. Doktrin ini tidak mementingkan kemaraan pantas seperti doktrin Airland sebaliknya objektif utamanya adalah untuk mengepung lawan dan melumatkan kekuatannya secara harfiah sehinggalah musuh tidak lagi mampu untuk melawan dan terpaksa berundur. Jika tidak berjaya atau musuh masih lagi bertenaga, kepungan akan diperkukuhkan dan musuh akan dibiarkan kelaparan atau tiada lagi semangat untuk berjuang serta menyerah diri. Perhatikan ucapan Putin semasa melancarkan operasi khas terhadap Ukraine. Beliau bertekad untuk menghancurkan kekuatan tentera Ukraine dan menghapuskan golongan Neo Nazi dan itulah yang dilakukan oleh tentera Rusia sekarang ini. Malah mereka sememangnya mengharapkan tentera Ukraine untuk cuba melawan dan membuat serangan balas kerana ketika itulah tentera Rusia akan berundur sedikit untuk membiarkan serangan Ukraine melemah dek keletihan sebelum kembali menghentam mereka dengan kuasa tembak yang dahsyat sebelum tentera Rusia menyerang balas untuk melumatkan saki- baki penentangan yang masih tinggal, setelah dikepung. Paling penting bagi Rusia adalah Ukraine untuk terus-menerus menghantar tenteranya agar tentera sang Beruang dapat membelasah dan melumatkan kekuatan lawannya. Pada masa yang sama, tentera Rusia nampaknya mematuhi arahan Putin untuk mengelakkan korban awam sebaik mungkin dengan mengepung bandar- bandar utama Ukraine untuk melemahkan semangat juang tentera Ukraine yang bertahan dan pada masa yang sama membuka laluan- laluan kemanusiaan bagi orang- orang awam yang ingin keluar daripada bandar- bandar yang telah dikepung.
Satu lagi sebab yang mungkin menyebabkan kemaraan tentera Rusia perlahan adalah kerana tidak ramai tenteranya yang berpengalaman dalam perang sebenar. Ini termasuklah pegawai- pegawai kanan dan pemipin tertinggi tentera Rusia. Ini adalah sesuatu yang biasa dalam mana- mana angkatan tentera. Kali terakhir Rusia berperang secara konvensional adalah semasa perang Afghanistan pada 1979 (perang Chechnya adalah lebih kepada perang menentang insurgensi). Kebanyakan pegawai tentera dinaikkan mungkin berdasarkan kebijaksanaan, jaringan kenalan dan kecekapan mereka dalam urusan pentadbiran. Pemerintahan sewaktu perang adalah sesuatu yang berbeza dan memerlukan pegawai tentera yang mempunyai ciri- ciri yang jauh berbeza dengan semasa aman. Oleh itu ia akan mengambil sedikit masa untuk pegawai- pegawai dan pemerintah tertinggi tentera Rusia untuk membiasakan diri dan mana- mana pegawai yang terkorban akan digantikan dengan pegawai yang lebih cekap, berpengalaman, lebih bijaksana dan mungkin lebih tegas dalam melaksanakan strategi perang mereka.
Biarpun pada permulaan konflik, negara- negara barat telah begitu ghairah mengenakan pelbagai sekatan kepada Rusia (sehinggakan dilaporkan kucing daripada Rusia tidak dibenarkan bertanding dalam satu pertandingan), kini setelah harga barangan, komoditi penting dan minyak telah melonjak naik seperti roket barulah kesannya disedari oleh negara- negara barat. Meskipun Amerika, Kanada dan UK nampaknya masih lagi ghairah mahu mengenakan pelbagai sekatan ekonomi, sudah nampak garis- garis retakan di dalam NATO dan EU. Jerman dan Turki misalnya telah enggan untuk mengenakan sekatan minyak dan gas terhadap Rusia. Tim RENTAKA berpendapat ada kemungkinan ada negara- negara Eropah yang akan melonggarkan sekatan mereka terhadap Rusia sebaik sahaja mereka mula terdesak dengan kesan terhadap sekatan mereka sendiri. Persatuan perniagaan kecil dan sederhana Jerman dikatakan telah memberi amaran bahawa mereka berkemungkinan banyak ahli mereka akan banrap berikutan kos operasi yang terlalu tinggi akibat harga minyak dan gas yang melambung tinggi. Ada pemerhati yang tertanya- tanya bagaimanakah negara- negara EU hendak mengharungi musim sejuk tahun ini tanpa bekalan gas dan minyak yang murah dari Rusia. Buat masa ini majoriti negara- negara NATO dan EU masih kukuh menyokong pendirian pakcik Sam tetapi tidak diketahui sehingga bilakah sokongan kuat ini bakal terus bertahan.
Putin sememangnya memperjudikan nasibnya dalam mempertahankan keselamatan Rusia yang makin terhimpit oleh NATO. Pada masa yang sama beliau bertindak bijak dengan mengambil tindakan pada waktu dimana negara- negara EU mengalami penguncupan ketara dalam pertumbuhan ekonomi akibat pandemik Covid-19. Amerika pula baru sahaja tewas dalam kempennya untuk menakluk Afghanistan yang menelan belanja beberapa trilion dolar. Oleh itu sekalipun NATO ingin campur tangan, ekonomi mereka tidak mengizinkan manakala kekuatan tentera mereka juga telah berkurangan. Harga barangan yang melonjak naik turut sama bakal menjadikan sebarang campur tangan satu usaha yang mahal harganya. Jika itupun tidak menghalang campur tangan NATO, ancaman nuklear Rusia sudah pastinya akan menakutkan pakatan tentera tersebut. Komander Rusia sememangnya telah dilatih untuk tidak teragak- agak untuk melancarkan senjata nuklear sekiranya perlu dan jika telah diberi kebenaran untuk berbuat demikian.
Berdasarkan tindakan Presiden Putin yang lepas, beliau berkemungkinan akan membalas "jasa" negara- negara dan syarikat- syarikat yang menghentikan operasi mereka di Rusia atau menyekat operasi perdagangan Rusia. Ini mungkin memberi impak kepada negara- negara ketiga yang terpaksa menguatkuasakan sekatan akibat daripada aksi kilas tangan oleh pihak- pihak tertentu. Penguasaan kukuh Amerika dan sekutunya terhadap perdagangan dunia bermakna negara- negara maritim dan perdagangan seperti di Asia Tenggara diletakkan dalam keadaan dilema diantara kedaulatan negara dan kelansungan ekonomi dan perdagangan. Oleh itu banyak negara yang mengambil jalan untuk berdiam diri dan mengambil jalan tengah. Pun begitu, Amerika dan sekutunya dilihat seperti mahukan sekatan dilaksanakan negara- negara lain dengan bersungguh- sungguh. Apapun, Menteri Kewangan Rusia dilaporkan telah mengesahkan pergantungan Rusia terhadap China untuk mengatasi sekatan ekonomi dan perdagangan barat ke atasnya malah, sebahagian daripada aset matawang asing bank pusat Rusia telah ditukarkan kepada matawang Yuan. Hal ini diketahui oleh negara- negara barat yang kemudiannya mengenakan tekanan tinggi kepada China untuk turut sama menyokong langkah sekatan terhadap Rusia sehinggakan dikatakan mereka mula mengugut China dengan sekatan perdagangan. Ini memaksa China untuk memberi amaran keras bahawa ia akan bertindak balas jika negara- negara barat berbuat demikian. Apakah China dan Rusia akan membentuk blok ekonomi baru? sama- samalah kita nantikan.
Apa yang pasti, dunia melihat Putin sebagai telah tersilap langkah dan sudah pastinya beliau tidak menjangka reaksi yang diterima daripada negara- negara barat adalah begitu hebat sekali. Biarpun Rusia telah biasa menerima pelbagai sekatan daripada negara- negara barat, pakej sekatan yang hampir menyeluruh kali ini benar- benar memberi impak negatif yang mendalam. Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, tim RENTAKA menjangkakan Putin akan meneruskan kempennya terhadap Ukraine kerana untuk berhenti di separuh jalan setelah harga yang dibayar sangat tinggi adalah sukar untuk ditelan. Keghairahan negara- negara barat untuk menghukum Rusia tanpa memberikan jalan keluar yang bersifat menang- menang kepada Rusia, secara tidak langsung telah menentukan apakah pengakhiran kerajaan Ukraine kerana Putin sudah tiada lagi kehilangan apa- apa.
Bagi mereka yang berpendapat bahawa kisah Rusia dan Ukraine akan selesai dalam tahun ini, akan merasa kecewa. Tim RENTAKA berpendapat bahawa sepertimana Afghanistan dahulu, kisah Ukraine tidak akan berakhir dengan penaklukannya oleh Rusia.