Operasi khas ketenteraan Putin terhadap Ukraine masih berterusan dan dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Sebagai perbandingan, tentera Imperial Jepun mengambil masa lebih daripada dua bulan untuk menawan Tanah Melayu biarpun tidak menghadapi tentangan serius daripada tentera British. Banyak perkembangan menarik yang terjadi semasa kempen mula mengesot ke hari yang 25. Serangan Rusia telah semakin perlahan dan tentera Rusia di Kyiv dan Mariupol telah mula melakukan operasi peperangan bandar yang cukup menggerunkan. Seperti yang dijangka, tentera Chechen telah menjadi pendahulu serangan di mana kepakaran
peperangan bandar mereka menjadikan mereka cukup digeruni. Pada masa yang sama, tentera Rusia yang telah berjuang hampir tiga minggu tanpa henti sejak bermulanya operasi khas Putin, telah mula keletihan. Tempo operasi yang perlahan memberi masa serta kesempatan untuk tentera Rusia menghantar ketumbukan baru bagi menggantikan ketumbukan yang sudah keletihan. Paling penting adalah bantuan logistik yang membolehkan tentera Rusia menyerang secara berterusan. Walaupun begitu jaringan logistik tentera Rusia sering terdedah kepada serang hendap daripada tentera Ukraine yang memiliki pengetahuan mukabumi dan kawasan setempat. Tim RENTAKA berpendapat bahawa serang hendap ini berkemungkinan dilancarkan oleh tim- tim Legion Ukraine yang terdiri daripada bekas anggota pasukan khas negara- negara luar terutamanya negara- negara NATO. Pasukan khas negara- negara NATO diketahui seringkali dilatijh untuk menyasarkan jaringan logistik musuh untuk mengganggu operasi serangan musuh termasuklah melatih kumpulan penentang setempat untuk melancarkan serangan gerila.
Mungkin ramai yang tertanya- tanya bagaimana Ukraine dengan tentera yang jauh lebih kecil dan dengan kelengkapan yang terhad mampu untuk menahan serangan daripada tentera sang beruang? Tambahan pula, tentera Rusia menyerang daripada pelbagai arah dan lokasi untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dan menyukarkan tentera Ukraine untuk bertahan. Akan tetapi sebaliknya pula yang berlaku dimana tentera Ukraine bukan sahaja dilihat berjaya untuk bertahan malah dalam beberapa operasi, mampu untuk melancarkan serangan balas dan merampas kembali kawasan yang telah ditawan biarpun untuk sementara waktu. Tim RENTAKA berpendapat jawapan kepada persoalan ini adalah NATO yang menggunakan segenap keupayaan ISR dan perisikan mereka termasuklah perisikan isyarat, pengimejan dan komunikasi untuk menyokong pertahanan Ukraine. Keupayaan ISR NATO yang serba canggih membolehkan mereka untuk membentuk maklumat dan analisa tentang kedudukan tentera Rusia dan pergerakannya. Ini membolehkan tentera Ukraine dihantar ke tempat dimana ia benar- benar diperlukan untuk menahan serangan tentera Rusia apabila ia terjadi dan menyerang balas dikawasan- kawasan di mana kehadiran tentera Rusia dilihat telah melemah. Bantuan seperti ini bukanlah satu perkara baru malah pernah dilakukan oleh Amerika semasa Perang Ramadan 1973 dimana Israel hampir kalah ditangan tentera gabungan negara- negara Arab, dengan melaksanakan penghantaran persenjataan secara besar- besaran dan menyalurkan pelbagsi maklumat perisikan yang memungkinkan Israel untuk merangka strategi serangan yang bukan sahaja mematahkan serangan gabungan tentera Arab tetapi hampir meranapkan pertahanan negara- negara Arab yang menyerangnya. Knowledge is power!
Satu lagi perkmbangan menarik adalah penggunaan peluru berpandu hipersonik buat pertama kalinya dalam sejarah dunia. Rusia mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan peluru berpandu hipersonik Kh-47M2 Kinzhal daripada pesawat pejuang MiG-31 ke sasarannya yang merupakan bunker simpanan senjata bawah tanah yang terletak di Delyatyn, Ivano-Frankivsk Oblast, Ukraine. Biarpun terdapat keraguan terhadap kesahihan video peluru berpndu tersebut meluru dan menghentam sasarannya, Amerika telah mengesahkan pelancaraan peluru berpandu tersebut dan Berjaya menjejaknya sehinggalah ia memusnahkan sasarannya. Pada pendapat tim RENTAKA, ia bukanlah sebenarnya satu keperluan tetapi lebih kepada Rusia menunjukkan keupayaan yang dimilikinya dan kesediaannya untuk menggunakannya jika NATO berterusan menekan dan memaksa. Peluru berpandu hipersonik berupaya untuk meluru pada kelajuan sehingga Mach 12, sukar untuk dikesan dan jika dapat dikesan sekalipun, sangat sukar untuk dipintas serta dimusnahkan. Setakat ini hanya Rusia dan China yang memiliki peluru berpandu hipersonik. Amerika dilaporkan sedang cuba untuk memiliki keupayaan tersebut tetapi sehingga kini usahanya telah menemui kegagalan. Ia dilaporkan berjaya menyakinkan salah seorang daripada saintis program peluru berpandu hipersonik China untuk berpaling tadah dan membekalkan maklumat teknologi peluru berpandu tersebut kepada mereka. Jika dahulu China dituduh sentiasa meniru daripada Amerika, nampaknya kini giliran Amerika pula untuk berbuat demikian.
Rusia sehingga bulan Februari tahun ini, sangat jarang memaparkan keupayaan serangan surgikalnya. Ia lebih bergantung kepada aset artileri terutamanya pelancar roket berganda untuk memusnahkan sasaran terutamanya yang berkumpul di satu- satu kawasan. Malah di permulaan kempen serangan, tentera Rusia masih lagi bergantung kepada aset yang sama untuk menghentam musuh. Pelancar roket berganda memiliki kuasa tembak yang mampu untuk memusnahkan satu kawasan luas dalam masa yang singkat. Oleh itu ia tidak memerlukan ketepatan tinggi. Pemerhati barat membuat kesimpulan bahawa tentera Rusia tidak memiliki sistem persenjataan yang mampu melakukan serangan surgikal dan hanya mampu bergantung kepada persenjataan era USSR seperti BM-21 Grad. Namun segalanya telah berubah apabila Rusia mula giat menggunakan peluru berpandu kruis dan peluru berpandu balistik untuk memusnahkan sasaran- sasaran yang kukuh dan terletak jauh di pedalaman Ukraine dan terletak dekat dengan sempadan Ukraine dan negara- negara jirannya. Malah Amerika menganggarkan bahawa Rusia telah melancarkan lebih daripada 1,000 peluru berpandu perbagai jenis terhadap Ukraine. Terkini, Amerika dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyekat isyarat GPS kepada Rusia, mungkin untuk menghalang Rusia untuk menggunakan data GPS untuk menyasarkan peluru berpandunya ke sasaran dengan tepat. Sekalipun Amerika menyekat isyarat GPS daripada digunakan oleh Rusia, ia masih memiliki sIstem panduan satelit ala GPSnya sendiri iaitu GLOSNASS dan boleh menggunakan sistem sIstem panduan satelit ala GPS milik China iaitu Baidou.
Beralih kepada sektor ekonomi, sekatan barat ke atas Rusia kini telah dirasakan semakin menjerut. Seperti yang diharapkan oleh pihak barat, sudah terdapat golongan Oligarch yang mula menentang Putin dalam diam. Malah rakyat Rusia yang berada dalam golongan yang berkemampuan mula merasakan prgerakan serta perbelanjaan mereka telah tersekat akibat pelbagai sekatan yang dikenakan oleh barat. Pun begitu Putin dilaporkan tidak merancang untuk berlembut, malah berkeras dan memberi amaran akan menghukum siapa jua cuba menentang. Terkini, gabenor bank pusat Rusia dilaporkan telah meletakkan jawatan manakala ada khabar- khabar angin yang mengatakan terdapat pemimpin tertinggi pasukan keselamatan Rusia telah ditangkap.
Sementara itu, Amerika kelihatan seperti berterusan mahu menghukum Rusia. Terkini, ia mengugut China supaya mengutuk tindakan Rusia. Jika tidak, mereka akan mengambil tindakan terhadap China. Seperti yang dijangka, China enggan menuruti saranan Amerika. Tidak lama selepas itu, Amerika membatalkan lesen telekomunikasi syarikat milik China iaitu Pacific Network dan menghalangnya daripada terus beroperasi di Amerika. Mungkin tindakan tersebut adalah sebagai amaran kepada China akan kos yang terpaksa ditanggung jika ia mengingkari amaran Washington. Seperti yang dinyatakan oleh tim RENTAKA sebelum ini, terdapat pemerhati barat telah mula memberi amaran kepada pentadbiran Joe Biden bahawa tekanan dan sekatan terhadap China akan hanya membuat China menjadi lebih rapat kepada Rusia. Lebih menggusarkan pemerhati barat adalah jika China membentuk satu blok ekonomi baru dengan Rusia.
Tim RENTAKA berpendapat bahawa Rusia mungkin akan cuba mengatasi sekatan pengeksportan minyak oleh negara- negara barat dengan menjualnya kepada China. Tindakan ini bukan sahaja akan menyelesaikan masalah eksport minyak Rusia dan membekalkan sumber kewangan yang sangat diperlukan oleh kerajaan Putin, ia juga dapat mengisi sebahagian keperluan terhadap emas hitam oleh industri China bagi memastikan pertumbuhan ekonominya terus positif. Harus diingat, China sentiasa sensitif terhadap kemungkinan bekalan minyaknya disekat oleh musuh Ketika melalui laluan perkapalan yang sempit di Asia Tenggara.
Satu kemungkinan yang agak menggusarkan tim RENTAKA adalah sekatan ekonomi yang berterusan akan merencatkan pertumbuhan ekonomi Rusia. Natijahnya banyak syarikat dan industri mungkin akan ditutup dan banyak rakyat Rusia akan hilang pekerjaan. Buktinya banyak syarikat- syarikat milik barat telah menutup operasi mereka di Rusia. Ini mungkin akan memaksa Rusia menempatkan kembali rakyatnya yang kehilangan pekerjaan di kilang- kilang milik kerajaan. Ditambah pula dengan perang yang masih rancak berlangsung, keperluan yang paling mendesak adalah untuk menghasilkan persenjataan dalam jumlah yang besar. Jika tidak berhati- hati, sekatan ekonomi berpotensi untuk menjadikan angkatan tentera Rusia menjadi bukan sahaja lebih besar tetapi juga lebih moden dan lebih lengkap bersenjata.
Satu kemungkinan yang tidak mahu difikirkan oleh banyak pemerhati adalah kemungkinan untuk operasi Rusia Ukraine untuk mengubah lanskap ekonomi dunia. Tim RENTAKA berpendapat bahawa ya, sekiranya negara barat tidak berhati- hati, kempen ketenteraan Rusia ke atas Ukraine digabung pula dengan sekatan melampau oleh negara- negara barat ke atas Rusia, mampu bukan sahaja untuk menjadikan Rusia dan Cina lebih kuat tetapi juga lebih berpengaruh. Jika Rusia berjaya menawan Ukraine, ia akan dapat mengawal banyak sumber termasuklah industri minyak sayuran, bekalan jagung, gandum, baja, titanium dan nadir bumi yang penting untuk industri elektronik. Itu belum mengambil kira impak eksport minyak dan bekalan gas asli Rusia. Satu fakta yang jarang diketahui adalah Rusia akan mengawal dan memonopoli bahan mentah penting yang sangat diperlukan untuk menghasilkan cip elektronik. Menurut sesetengah pemerhati, apa yang hanya perlu dilakukan oleh Rusia hanyalah dengan enggan melakukan transaksi dalam matawang dolar dan menggunakan matawang Yuan misalnya sudah cukup untuk mengganggu-gugat sistem ekonomi yang diguna pakai selama ini. Penggugatan sistem ekonomi dunia sedia ada mampu untuk melemahkan ekonomi Amerika dan negara- negara barat.
Persoalannya, adakah Amerika dan negara- negara barat akan lebih berlembut dan lebih berdiplomasi dengan Rusia?