Rasanya masih belum terlambat untuk tim RENTAKA mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat pembaca RENTAKA yang menyambutnya. Meskipun Aidilfitri tahun ini disambut dengan sedikit mengejut, namun ia sama sekali tidak merencatkan kemeriahannya. Seperti kebiasaannya, dalam kesibukan menyambut Aidilfitri, masing- masing tercari- cari idea apa yang hendak dihidangkan untuk tatapan pembaca RENTAKA lantaran tiada perkembangan menarik di dalam negara mahupun di rantau Asia Tenggara.
Pun begitu dalam sedar ataupun tidak, perang di Ukraine semakin menjadi parah. Keazaman Nato untuk terus membekalkan Ukraine dengan bantuan persenjataan terkini berterusan meningkatkan kemarahan Rusia. Hampir setiap hari Rusia melancarkan serangan peluru berpandu kruis ke atas sasaran- sasaran yang dipercayai dimana bantuan persenjataan barat disimpan. Namun masih ada bantuan persenjataan yang telah sampai ke medan hadapan. Yang paling merisaukan Rusia adalah bantuan persenjataan berat yang telah sampai mahupun dalam perjalanan ke Ukraine. Samada bantuan ini mampu untuk mengubah arus perjalanan pertempuran di Ukraine masih belum dapat dipastikan tetapi langkah yang diambil oleh Nato ini dianggap serius oleh Rusia sehinggakan mereka mengambil langkah drastik yang boleh dianggap sebagai era baru dalam konflik Rusia-Ukraine iaitu sekatan bahan api dan gas terhadap Poland dan Bulgaria.
Pada hemat tim RENTAKA, langkah terbaru yang diambil oleh Rusia ini bukan sahaja lebih bersifat sebagai amaran tetapi juga sebagai ujian untuk melihat impak langkah tersebut sebelum ia boleh dilaksanakan secara menyeluruh atau separa menyeluruh. Seperti pembaca sedia maklum, Rusia membekalkan bahan api serta gas yang penting bukan sahaja kepada ekonomi negara- negara Eropah tetapi juga penting kepada kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat Eropah. Setakat ini daripada apa yang dapat dilihat, sekatan bahan api dan gas terhadap Poland dan Bulgaria jelas memberi impak yang agak positif kepada Rusia. Negara- negara Eropah mula berbelah bagi dalam sokongan mereka terhadap Ukraine malah ada yang mula menyatakan hasrat untuk menggunakan kuasa veto untuk menolak Finland daripada menyertai Nato sekiranya negara tersebut berbuat demikian. Hanya Bulgaria yang mengutuk sekeras- kerasnya terhadap sekatan bahan api dan gas Rusia ke atasnya. Agak menghairankan bukan? Walaubagaimanapun rupa- rupanya negara kecil tersebut hanya memgimport bahan api serta gas dalam kuantiti yang kecil daripada Rusia dan setelah sekatan dikenakan, ia membeli gas serta bahan api daripada negara- negra jirannya (yang juga mengimportnya daripada Rusia!). Senario ini jelas menunjukkan betapa kebergantungan rantau Eropah terhadap bahan api dan gas daripada Rusia. Itu baru melihat kepada satu aspek, belum lagi kita melihat kepada aspek lain seperti keselamatan makanan contohnya. Negara- negara Eropah amat bergantung bukan sahaja bekalan gandum malah baja untuk pertanian kepada Ukraine dan Rusia. Malah bahan mentah untuk membuat cip- cip yang penting dalam industri elektronik dan pengkomputeran juga diimport daripada Ukraine dan Rusia. Jelas sekali Keadaan ekonomi Eropah akan merudum jika konflik Rusia- Ukraine terus berpanjangan tetapi Eropah berterusan menghantar bantuan persenjataan kepada Ukraine yang akan menghasilkan kesan yang sepatutnya mereka elak. Pelik bukan? Mereka bertindak seolah- olah dipukau.
Apapun, jelas Rusia telah menghantar isyarat menunjukkan bahawa ia telah bersedia untuk mara ke tahap seterusnya. Jika dahulu Rusia dikenakan dengan pelbagai sekatan, kini ia menunjukkan pembayang apa yang akan berlaku jika ia turut sama mengenakan sekatan terhadap Eropah. Terserahlah kepada Eropah untuk mengambil tindakan seterusnya.
Berbalik kepada perbincangan bantuan persenjataan berat Nato terhadap Ukraine, setakat daripada apa yang dapat dilihat, kebanyakan persenjataan yang dihantar adalah daripada stok simpanan dan dianggap telahpun usang serta tidak mampu menandingi persenjataan yang dimiliki oleh Rusia. Sebagai contoh, 200 buah kereta kebal T-72M1 yang dihantar oleh Poland adalah merupakan T-72A versi eksport. Malah ia dihantar tanpa dilengkapi dengan plat- plat ERA. Nato juga seperti keberatan untuk menghantar sistem meriam mudah gerak kerana menjangkakan tentera Ukraine akan menghadapi kesukaran untuk mengoperasikannya. Sebaliknya mereka menghantar sejumlah meriam howitzer M777 bersama bekalan peluru. Walaupun Presiden Macron kelihatan seperti mempunyai hubungan baik dengan Presiden Putin, Perancis tetap akan menghantar sejumlah sistem meriam mudah gerak CAESAR kepada Ukraine dan begitu juga Sweden yang dilaporkan akan menghantar sistem meriam mudah gerak Archer. Langkah menghantar persenjataan terkini dilihat oleh tim RENTAKA sebagai usaha untuk mendapatkan label "Battleproven" yang amat penting dalam strategi pemasaran. Semestinya menarik untuk melihat samada konsep meriam mudah gerak seperti CAESAR akan beroperasi dengan cemerlang ataupun mencorot apabila berhadapan dengan keupayaan tentera Rusia termasuklah ancaman dron- dron Rusia yang sentiasa memerhati dan memburu sasaran bernilai tinggi seperti ini.
Tim RENTAKA berpendapat bahawa bantuan persenjataan berat Nato tidak akan memberi impak yang begitu positif dalam jangkamasa terdekat. Ini adalah kerana ia akan mengambil masa untuk krew- krew memahirkan diri dalam mengoperasikan setiap sistem persenjataan yang diterima. Disamping itu, Ukraine tidak memiliki sistem sokongan yang diperlukan untuk menyokong pengoperasian senjata- senjata berat yang diterima. Senario paling mudah, akan berlaku kekeliruan diantara peluru meriam berkaliber 152mm dan 155mm yang bakal merencatkan pengoperasian meriam howitzer canggih yang diterima, dalam pertempuran. Disamping itu pengoperasian senjata berat dan canggih daripada negara- negara barat sentiasa disokong dengan sistem kawalan tembakan berkomputer yang memastikan sistem persenjataan tersebut akan beroperasi secara optimum dan tepat. Pengoperasian sistem sokongan seperti ini memerlukan operator yang terlatih dan memiliki pengetahuan teknikal yang baik. Paling penting, beliau haruslah mampu untuk memahami bahasa Inggeris serta perisian yang bakal digunakan.
Pemilikan persenjataan bukanlah semudah seperti yang ramai jangkakan walaupun persenjataan tersebut dihibah secara percuma. Banyak faktor yang perlu diambilkira.
Nampaknya UAV Bayraktar TB-1 tidak begitu menonjol dalam konflik Rusia-Ukraine. Biarpun ia ada mencapai beberapa kejayaan namun prestasinya jauh berbeza seperti yang dipamerkan semasa perang di Libya, Syria mahupun Armenia- Azerbaijan. Biarpun diimport dalam kuantiti yang besar beberapa kali oleh Ukraine, tidak banyak berita mengenainya yang didengar. Seperti yang pernah disuarakan oleh tim RENTAKA tidak lama dahulu, Bayraktar hanyalah satu sistem persenjataan baru yang semasa pengenalannya, agak sukar untuk diatasi. Apabila keupayaannya sebenarnya diketahui, sistem pertahanan udara telah diubah untuk menghadapi ancaman daripadanya. Keadaan yang sama berlaku pada pesawat pejuang Zero semasa Perang Dunia Kedua. Kini, bangkai Bayraktar boleh dilihat hampir di setiap medan pertempuran di Ukraine.