Ukraine proposes swapping injured Azovstal defenders for Russia prisoners |  Reuters

Hari ini kita akan bercerita tentang propaganda yang merupakan satu elemen yang sangat penting dalam peperangan mahupun operasi gerak saraf dengan berpaksikan konflik Rusia- Ukraine.
Satu contoh yang terbaik tentang propaganda boleh dilihat beberapa hari yang lalu apabila terdapat satu nukilan yang dianggap berita dan tidak dapat ditentukan kesahihannya daripada laman sesawang yang entah daripada mana yang mengatakan TUDM BERKEMUNGKINAN akan membeli pesawat "tertentu" untuk menggantikan pesawat Hawk. Maka secara tiba- tiba hebohlah berita "tertentu" bakal dimiliki oleh TUDM. Belum sempat habis makan sepinggan nasi, maka "dinding" laman FB tim RENTAKA tiba- tiba dipenuhi dengan berita mahupun infografik berkenaan tersebut dan setiap cebis cerita ang berkaitan dengannya. Ia mengambil masa dua hari untuk keadaan menjadi reda. Maka itulah satu contoh propaganda yang berjaya. Belum kerajaan keluarkan kenyataan rasmi, semua pakat- pakat angguk percaya berita yang didengar. Fenomena ini juga menunjukkan rakyat Malaysia secara umumnya suka mempercayai berita yang tidak sahih lagi sensasi.


Sebelum ada yang merajuk, sayugia ingin diberitahu bahawa contoh tadi juga adalah satu petunjuk betapa pentingnya Malaysia di mata syarikat pengeluar senjata kerana kedudukannya yang strategik daripada segi geopolitik berpotensi untuk menjana perlumbaan senjata dan aksi tiru-meniru. Ini bermakna jika Malaysia membeli sistem persenjataan tertentu, langkah ini akan segera diikuti oleh negara- negara tertentu. Tak percaya? Silalah buat perbandingan dan penyelidikan sendiri.

Berbalik kepada perbincangan tentang propaganda dalam konflik Rusia-Ukraine, jika dilihat sepintas lalu, kelihatan Ukraine wajar dinobatkan sebagai raja propaganda dengan disokong oleh organisasi- organisasi berita utama dunia. Pada hakikatnya kedua- dua belah pihak banyak menggunakan berita sahih, separa sahih dan tidak sahih sebagai sebahagian propaganda mereka untuk menunjukkan bahawa mereka sedang memenangi peperangan. Cuma Ukraine kelihatan seperti gemar untuk membuat berita yang agak tidak logik dan seringkali terkantoi tapi langsung tidak dikritik oleh organisasi- organisasi berita utama dunia. Satu contoh yang baik adalah berita tentang usaha Rusia untuk memperkuatkan pertahanan mereka di pulau Zmiinyi pada 9 Mei. Berdasarkan video yang dikeluarkan oleh tentera Ukraine, Rusia telah kehilangan beberapa helikopter dan sebuah kapal pendarat semasa menghantar bantuan sokongan ketenteraan ke pulau tersebut hasil daripada serangan bertali arus daripada pesawat pejuang dan pesawat Bayraktar UAV Ukraine. Rusia pula sengaja mengambil masa untuk menafikan berita tersebut sebaliknya menyatakan bahawa tentera Ukraine lah yang kehilangan helikopter serta kapal pendarat semasa cuba untuk merampas kembali pulau tersebut daripada tangan tentera Rusia. Hanya beberapa hari selepas itu barulah timbul berita yang mengesahkan bahawa Ukraine sememangnya telah kehilangan beberapa helikopter dan anggota dalam satu operasi khas di pulau Zmiinyi. Malah kapal pendarat Rusia yang dikatakan tenggelam di pulau tersebut akibat dibantai oleh Bayraktar kemudiannya disahkan masih beroperasi tanpa ada kerosakan fizikal yang boleh dikesan. Kantoi...

Rusia dilihat seperti kurang mengeksloitasikan propaganda kesacara keseluruhannya. Sebaliknya mereka lebih gemar untuk membiarkan bandar demi bandar serta pekan demi pekan yang berjaya ditawan untuk mengukur kejayaan mereka. Satu aspek propaganda yang benar- benar cuba untuk dieksplotasikan oleh Rusia adalah usaha- usaha untuk meruntuhkan semangat juang tentera Ukraine. Mereka seringkali memaparkan berita, kisah dan video tentang betapa ruginya untuk tentera Ukraine menentang tentera Rusia dan menggalakkan tentera Ukraine untuk menyerah kalah. Oleh itu tidak hairanlah propaganda Rusia mengeksploitasikan berita tentang tentera Ukraine yang terperangkap di kilang Azovstal di Mariupol. Setiap hari kedudukan tentera Ukraine di kilang tersebut dibedil oleh pelbagai jenis bom dan senjata dan video tentangnya disiarkan saban hari. Umpama seekor kucing yang menyiksa tikus yang berjaya ditangkapnya, tentera Rusia saban hari mengasak dan menjerut kedudukan tentera Ukraine sedikit demi sedikit. Apa yang lebih menyedihkan, para pemerintah tertinggi tentera Ukraine tidak dapat berbuat apa- apa dan hanya mengarahkan tentera Ukraine di kilang Azovstal untuk terus bertahan tetapi menghalang mereka daripada menyerah diri. Kesannya, Rusia berjaya menunjukkan betapa pemerintah tertinggi tentera Ukraine tidak mengendahkan nasib orang bawahan mereka dan hanya membiarkan mereka tanpa sebarang bantuan sekiranya terkepung. Menyerah diri kepada tentera Rusia adalah pilihan yang baik. Rusia tahu kebanyakan tentera Ukraine adalah terdiri daripada anggota kerahan yang majoritinya dipaksa untuk berjuang. Dengan mengeksploitasikan media sosial sebagai medium, Rusia mengharapkan tentera Ukraine akan lebih berminat untuk menyerah diri daripada berkorban nyawa. Terkini, tentera Ukraine yang terperangkap di kilang Azovstal telahpun mula menyerah diri sedikit demi sedikit dan dijangka keseluruhan kilang tersebut akan dikuasai oleh tentera Rusia tidak lama lagi tanpa melepaskan sedas tembakanpun.

Boleh dikatakan kini Ukraine sedang memenangi konfliknya dengan Rusia di dada- dada akhbar dan media sosial sedang Rusia meneruskan kemaraan mereka hari demi hari semakin dekat dengan objektif mereka.  

Konflik Rusia- Ukraine dijangka akan berpanjangan dan masih banyak lagi contoh- contoh propaganda yang akan dilihat sehinggakan kita sukar untuk membezakan berita yang manakah yang benar dan pihak yang manakah yang berkata benar. Tim RENTAKA lebih gemar memilih pihak yang kurang mencanangkan cerita propa dan lebih fokus terhadap tugas serta objektif yang telah diberikan. Begitu jugalah pendapat tim RENTAKA dalam isu pesawat LCA TUDM.