Jika dilihat pada rakaman- rakaman video tentang konflik Rusia-Ukraine yang disiarkan dalam laman- laman media sosial, ada banyak elemen- elemen yang sebelum ini kelihatan remeh yang akhirnya terbukti sangat penting dalam perang. Sebagai contohnya adalah sokongan logistik. Mungkin tidak ramai yang perasan bahawa Rusia sanggup melancarkan pelbagai jenis peluru berpandu termasuklah peluru berpandu hipersonik terkininya semata- mata untuk menyasarkan tempat simpanan senjata, bahan api dan jalinan landasan keretapi bagi mengganggu sokongan logistik untuk tentera Ukraine.

 

Akan tetapi buat kali ini RENTAKA ingin meneroka topik samada pemilikan aset artileri TDM telah ketinggalan zaman berdasarkan pengajaran daripada konflik Rusia- Ukraine setakat ini. Buat sekian kalinya perang telah membuktikan bahawa artileri adalah raja dalam pertempuran. Jika digunakan dengan efektif dan efisyen, artileri mampu menentukan kalah menang dalam satu- satu pertempuran. Terkini, tentera Rusia dilaporkan lebih gemar membelasah satu- satu kawasan yang hendak diserang, dengan artileri sebelum pasukan infantri atau mekanis bergerak masuk ke dalam kawasan operasi. Malah tentera Ukraine sendiri sedar bahawa mereka hanya boleh bertempur dengan tentera Rusia untuk jangkamasa yang sangat singkat sebelum peluru meriam atau roket Rusia mula menghujani kedudukan mereka.

Pada pendapat RENTAKA, aset dengan struktur Rejimen Artileri Diraja (RAD) dibentuk berdasarkan keperluan negara semasa insurgensi. Oleh itu tidak hairanlah jika dilihat pada pegangan aset RAD, terdapat ratusan meriam Model 56 pack howitzer berkaliber 105mm. Meriam Model 56 ini sangat ringan, mudah untuk dikendalikan serta diangkut malah boleh diceraikan kepada beberapa komponen utama untuk memudahkannya diangkut. Oleh itu meriam ini mudah untuk diaturgerakkan dengan pantas dengan sokongan yang minima.

Pun begitu dalam perang konvensional, jangkauan bedilan memainkan peranan yang sangat penting. Oleh itu tidak hairanlah dalam konflik Rusia- Ukraine, meriam howitzer paling kecil yang kelihatan digunakan adalah berkaliber 122mm dan paling banyak digunakan adalah meriam howitzer berkaliber 152mm. Oleh itu meriam howitzer yang lebih kecil daripada 122mm dilihat sangat kurang sesuai dalam pertempuran konvensional. Walaubagaimanapun, jika dilihat kepada ancaman serantau, negara lebih menghadapi ancaman daripada unsur- unsur subversif yang gemar menggunakan taktik gerila. Contoh terkini adalah konflik di Lahat Datu dimana meriam howitzer Model 56 telah kembali beraksi cemerlang setelah tamatnya era insurgensi kedua pada tahun 1990. Oleh kerana itu pegangan meriam howitzer 105mm wajar dikekalkan tetapi meriam howitzer berkaliber 155mm wajar mengambil alih kedudukan sebagai primadona RAD.

Jadi adakah ini bermakna meriam howitzer 105mm telah ketinggalan zaman atau kehilangan fungsi dalam peperangan masa kini?

Sama sekali tidak. Jika dilihat daripada peperangan masa kini, ia majoritinya melibatkan pertempuran dalam bandar dimana kurangnya tanah lapang dan jalan raya agak sempit bagi memudahkan meriam howitzer 155mm untuk beroperasi atau bergerak dengan mudah. Jadi RENTAKA berpendapat peperangan dalam bandar adalah tempat yang sangat sesuai untuk meriam howitzer 105mm untuk beraksi kerana saiznya yang kecil dan ringan memudahkannya untuk dikendalikan dan ditempatkan pada keddudukan yang tidak dijangka oleh musuh. Disamping itu larasnya boleh didongakkan ke sudut yang hampir menegak mebolehkannya untuk digunakan sebagai mortar berat terutamanya jika peluru mortar 81mm yang biasa digunakan oleh pasukan infantri sukar untuk menembusi atap genting atau bumbung bunker musuh. Meriam howitzer 105mm juga boleh digunakan dalam mod tembakan langsung untuk memusnahkan bangunan di masa musuh berkubu atau terhadap aset armor musuh yang bersesuaian.

Salah satu perkembangan menarik dalam konflik Rusia- Ukraine adalah penghantaran sejumlah meriam howitzer M777 berkaliber 155mm oleh Kanada dan Amerika kepada tentera Ukraine. Jelas sekali penghantaran meriam ini memberi impak kepada operasi tentera Rusia kerana ia mampu bersaing dengan meriam howitzer 152mm yang digunakan oleh tentera Rusia. Oleh itu tidak hairanlah tentera Rusia sentiasa berusaha untuk mengesan kedudukan meriam M777 untuk ditamatkan riwayatnya dengan pantas. Setakat ini mereka berjaya memusnahkan beberapa bateri meriam M777 sebelum ia dapat diaturgerakkan sepenuhnya oleh tentera Ukraine. Meskipun meriam howitzer M777 adalah merupakan salah satu aset artileri terkini milik Amerika, ia memiliki satu kelemahan utama iaitu ia perlu ditarik oleh kenderaan penarik untuk menggerakkannya. Ini bermakna ia tidak boleh bergerak sendiri dan proses untuk menyiapkannya agar boleh bergerak semula akan mengambil sedikit masa. Oleh itu, ia terdedah kepada risiko pengesanan oleh UAV musuh dan itulah yang terjadi pada beberapa pucuk meriam M777 Ukraine dimana kedudukannya telah dikesan oleh UAV Rusia dan dimusnahkan oleh tembakan artileri Rusia. Berdasarkan peristiwa ini, jelas sekali meriam mudah gerak atau meriam yang memiliki daya mobiliti bakal memainkan peranan penting dalam pertempuran konvensional dalam abad ke 21.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, jangkauan bedilan memainkan peranan penting dalam perang konvensional. Oleh itu tidak hairanlah dalam konflik Rusia- Ukraine, pelancar roket berganda digunakan secara meluas. Selain berupaya untuk melancarkan kuasa tembak yang dahsyat dalam masa yang singkat lantas menidakkan kesempatan untuk musuh melepaskan diri, ia juga dapat melarikan diri dengan pantas daripada buruan musuh. Sesetengah pelancar roket berganda mampu untuk membedil sasaran sehingga 80 kilometer atau lebih dimana tembakan meriam artileri musuh sukar untuk menjangkaunya. Rusia turut menggunakan pelancar roket berganda untuk memusnahkan aset- aset artileri Ukraine terutamanya bateri- bateri meriam mudah gerak. Oleh itu perancangan TDM bertepatan dengan trend perang masa hadapan dengan meluaskan pegangan pelancar roket berganda. Pun begitu melihatkan betapa efektifnya pelancar roket berganda beroperasi dalam membelasah musuh dalam konflik Rusia- Ukraine, wajarlah jumlah pelancar roket berganda RAD diperbesarkan lagi dan dilengkapi dengan keupayaan serangan surgikal menerusi roket panduan GPS atau laser.

Terlanjur menyentuh tentang keupayaan serangan surgikal, meskipun Ukraine dijanjikan dengan peluru meriam 155mm panduan GPS jenis Excalibur, terdapat pemerhati ketenteraan yang kurang yakin dengan keupayaan meriam 155mm Ukraine untuk menggunakan peluru tersebut meskipun menggunakan meriam M777. Ini adalah kerana meriam M777 Ukraine dilihat tidak dilengkapi dengan beberapa komponen utama yang membolehkan peluru meriam Excalibur digunakan. Sebaliknya tentera Rusia menggunakan peluru meriam bijak berkaliber 152mm jenis Krasnopol secara meluas untuk membedil sasaran- sasaran bernilai tinggi milik Ukraine terutamanya meriam mudah gerak dan MBT. RAD setakat ini tidak diketahui samada memiliki mahupun mampu untuk membedil menggunakan peluru meriam bijak. Walau bagaimanapun tidaklah mengejutkan jika RAD telahpun memiliki keupayaan ini memandangkan teknologi peluru meriam bijak bukanlah sesuatu yang baru malah telah wujud sejak tahun 1970-80an lagi.

Pada sekilas pandang, teknologi, jaringan komunikasi, lokasi dan penyasaran yang dimiliki oleh RAD adalah agak canggih dan boleh dianggap bertaraf dunia. Pada pendapat RENTAKA, cuma keupayaan UAV sahaja yang kelihatan seperti masih belum diperkenalkan secara serius terutamanya UAV yang berada di udara selama 23 jam atau lebih dan memiliki pakej optronik yang bersesuaian terutamanya untuk operasi malam. Seperti yang ditunjukkan dalam konflik Rusia- Ukraine, kedua- dua belah pihak menggunakan UAV bukan sahaja untuk tugas peninjauan dan pemerhatian tetapi lebih penting lagi untuk membantu krew bateri meriam membedil sasaran dengan tepat. Misi tembakan artileri bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan maklumat- maklumat spesifik dan tepat. Bantuan tembakan artileri hanya boleh dibuat oleh pegawai yang terlatih kerana jika tersilap langkah boleh terbedil pasukan sendiri. Sekalipun maklumat yang diberikan adalah tepat, kadangkala bedilan tersasar sedikit atau tidak betul- betul mengenai. Penggunaan UAV membolehkan krew bateri meriam untuk mengesan sasaran dengan tepat, mengenalpasti jenis sasaran dan peluru meriam yang bersesuaian untuk digunakan terhadap sasaran tersebut dan melakukan penilaian tembakan dengan tepat bagi menentukan sasaran telah musnah atau perlu dilunyaikan lagi secukup rasa. Penggunaan UAV secara meluas dalam peperangan telah memaksa pergerakan dibuat pada waktu malam. Oleh kerana itulah UAV yang digunakan boleh bukan sahaja beroperasi pada waktu malam tetapi juga boleh dilengkapi dengan pakej optronik yang bersesuaian untuk menyingkap tabir kegelapan malam yang melindungi pergerakan musuh.