No photo description available.

Ketidakstabilan politik di Selatan Filipina kini telah menyebabkan aktiviti perlanunan dan penculikan di Laut Sulu kembali memuncak. Ini menyebabkan kapal- kapal dagang mengelak daripada melalui kawasan perairan di selatan Filipina dan melalui kawasan perairan Sabah yang selamat meskipun terpaksa mengharungi perjalanan lebih jauh. Akan tetapi ia juga menyebabkan kumpulan- kumpulan yang terlibat dalam aktiviti perlanunan mula mengalihkan perhatian mereka ke perairan Sabah untuk memburu mangsa- mangsa yang boleh menghasilkan bayaran tebusan yang tinggi. Kedudukan sempadan antarabangsa yang begitu dekat serta kawasan perairan yang begitu luas untuk diperhatikan juga menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak dengan berkesan.
 
 
Dalam memerangi aktiviti perlanunan, persenjataan paling utama selain perisikan adalah aset- aset yang bertepatan bagi membolehkan pasukan keselamatan berada di kawasan berlakunya jenayah dengan pantas. Keupayaan untuk pasukan keselamatan bertindak pantas bukan sahaja dapat mematahkan sebarang cubaan penculikan tetapi juga sebagai cegah rintang dan mendatangkan rasa gerun di kalangan penjenayah untuk menceroboh masuk ke perairan negara. Kebanyakan bot- bot laju yang digunakan lazimnya tidak mempunyai jangkauan operasi yang jauh, tidak memiliki kelajuan yang diperlukan untuk memintas bot laju penceroboh mahupun tidak dilengkapi dengan keupayaan untuk dilengkapi dengan mesingan berat.
 
No photo description available.
 
Kini terdapat sebuah bot yang memiliki ciri- ciri dan spesifikasi yang lebih baik berbanding bot pemintas atau bot untuk pasukan khas yang ada di pasaran sekarang. Bot yang dikenali sebagai CJ66 ini adalah keluaran firma Muhibbah Engineering (M) Sdn. Bhd. Sekilas pandang, bot CJ66 kelihatan seperti bot RHIB bersaiz besar biasa tetapi bot ini direka untuk beroperasi dalam keadaan laut bergelora dan ketika cuaca buruk. Seperti yang kita sedia maklum, penceroboh seringkali memilih untuk menyusup masuk ketika cuaca buruk dan laut bergelora kerana ketika itu kebanyakan bot pasukan keselamatan tidak dapat meronda. Untuk itu, bot CJ66 direka dengan keupayaan apungan yang tinggi dan mampu beroperasi dalam keadaan laut bergelora dan angin kencang.
 
No photo description available.
 
Selain itu, rekabentuk badannya yang berbentuk V dan serta badannya yang panjang membolehkan ia bergerak laju membelah ombak. Bot ini dipacu oleh tiga enjin Mercury Verado 350HP yang membolehkan ia memecut sehingga ke kerlajuan melebihi 60 knots (111km/j). Disamping itu CJ66 mempunyai jangkauan operasi sejauh 250 batu nautika atau kira- kira 463 kilometer. Keupayaan-keupayaan ini membolehkan bot CJ66 untuk beroperasi dalam pelbagai misi serta fungsi seperti bot untuk pasukan khas, bot pemintas, rondaan, melakukan pemeriksaan ke atas kapal dan operasi SAR.
 
No photo description available.
 
 
Bot ini mempunyai ruang untuk memuatkan sehingga 9 orang anggota. Pun begitu konfigurasi tempat duduk boleh diubah atau ditanggalkan sepenuhnya mengikut keperluan semasa operasi. Satu lagi perkara yang unik tentang bot CJ66 adalah ia boleh dipasang dengan tiga mesingan berat berkaliber 12.7mm. Selain daripada itu ia juga dilengkapi dengan penderia- penderia yang membolehkannya mengesan penceroboh dengan lebih pantas seperti radar dan pengimejan thermal, peralatan navigasi seperti GPS dan carta navigasi elektronik serta set radio komunikasi VHF. Gabungan- gabungan keupayaan ini bukan sahaja menjadikan CJ66 bot yang berkelajuan dan berkeupayaan tinggi serta lengkap bersenjata.
 
Bot CJ66 kini dalam penawaran kepada agensi- agensi kerajaan dan dijangka akan mempamerkan keupayaan dan kelincahannya semasa pameran LIMA 2017. Sama- samalah kita saksikan kehebatannya nanti!

Spesifikasi Bot CJ66
 
Panjang : 12.9m
Lebar : 2.8m
Tinggi : 1.7m
Kapasiti bahan api : 1000 liter
Jangkauan operasi : 250 batu nautika
Enjin : 3 enjin Mercury Verado Supercharged 350hp
Kelajuan maksimum : Melebihi 60 knots
Kelajuan kruis dengan bebanan penuh : Tidak kurang daripada 50 knots
Krew : 2 krew bot + 3 operator mesingan + 7 anggota pasukan khas/penumpang