Oleh: Muhammad Faiq Bin Shaf’ii
Foto: HMAS Rankin
Kredit foto: Royal Australian Navy 

LATAR BELAKANG

Pengumuman AUKUS pada minggu lepas antara berita yang menghangatkan media pertahanan serta geopolitik antarabangsa. Ini termasuk dengan beberapa berita besar iaitu penamatan contract pembinaan 12 unit kapal selam kelas Barracuda bagi menggantikan kapal selam konvesional kelas Collis, dan Australia akan menerima bantuan teknikal dari US dan UK untuk membangunkan angkatan kapal selam nuklear mereka.

Latarbelakang AUKUS ini bermula dari pembangunan projek kapal selam Australia, yang dimenangi oleh Perancis pada awalnya. Kapal selam Australia ini akan berkuasa nuklear (nuclear propulsion) dan dibangunkan dari platform kelas Barracuda,kapal selam Perancis oleh firma Naval Group, firma yang sama membina 2 unit kapal selam Scorpene TLDM.

Dengan penubuhan AUKUS, Australia membatalkan projek dengan Perancis, dan menerima tawaran teknikal dari US dan UK untuk membangunkan kapal selam nuklear mereka. Ini menimbulkan kemarahan Perancis kerana langkah ini dianggap mengkhianati sekutu eropah mereka terang-terangan, sehingga memanggil kembali duta mereka dari US dan UK ke Paris. Malah Perancis, antara kuasa besar ekonomi EU, memberi kenyataan bahawa kerjasama ekonomi antara Australia dan EU akan mengalami jalan yang sukar selepas ini.


AUKUS : PAKATAN KETENTERAN BARU DUNIA

AUKUS ditubuhkan terang-terangan dinyatakan adalah “military alliance”, sebuah pakatan ketenteraan yang ditujukan untuk rantau indo pasifik. Pakatan trilateral ini terdiri dari 3 negara anglo saxon, UK sebagai bekas empayar kolonial terbesar pre perang dunia kedua, dan US sebagai kuasa besar dunia selepas era perang dunia kedua, ingin mengekalkan hemegoni, pengaruh serta diaspora mereka bagi kelangsungan mereka sendiri. Era 60an hingga 80an kita dapat melihat timur tengah sebagai titik panas konflik dunia, kini telah berubah ke rantau indo pasifik, dan asia tenggara.

Selat melaka dan laut china selatan pula laluan perdagangan penting yang menghubungkan barat, eropah dan timur terutama kuasa ekonomi timur seperti China, Korea dan Jepun. Lautan ini kaya dengan minyak, gas serta sumber marin.

Ditambah pula dengan tuntutan perairan china di laut china selatan mengikut teori 9 dash line China, pencerobohan berterusan oleh kapal laut dan pesawat China ke dalam wilayah Malaysia serta negara serantau.

Australia, mempunyai sejarah pertahanan lebih 100 tahun dengan US dan UK. Bermula sebagai negara koloni oleh pendatang dari Eropah, Australia disertai New Zealand, dinamakan pasukan ANZAC menyertai UK dalam Perang Dunia Pertama menentang empayar Turki Uthmaniyah di Gallipoli pada 1915.

Pada Perang Dunia Kedua, Australia juga menyertai UK dan banyak terlibat dalam pelbagai medan pertempuran antaranya kempen di Malaya menentang penaklukan Jepun. Penglibatan mereka dalam menawan balik Labuan, Sabah dan Sarawak dari Jepun pada fasa akhir Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara.

Era Darurat pertama di Malaya 1948-1960, Australia turut sama membantu UK dalam menentang pengganas komunis, satu kempen ketenteraan yang turut disertai oleh negara komanwel yang lain termasuk Rhodesia dan Fiji.

Ketika Perang Korea, Australia turut tidak ketinggalan untuk menghantar pasukan tentera mereka untuk berkhidmat di bawah kontinjen UN, dan juga dibawah pemerintahan US bagi menentang pencerobohan Korea Utara ke Korea Selatan. Sebanyak 17 ribu anggota tentera Australia telah terlibat di sepanjang Perang Korea.

Semasa Indonesia melancarkan Konfrantasi menentang penubuhan Malaysia pada 1963, Australia turut sama membantu UK untuk menentang tentera indonesia yang menyusup masuk ke wilayah Malaysia ketika itu. Malah aset-aset seperti pesawat tempur dan kapal perang mereka turut aktif beroperasi mengawasi ruang udara dan perairan Malaysia daripada pencerobohan daripada negara jiran.


Australia malah tidak ketinggalan dalam turut sama menyertai kempen peperangan di Vietnam menentang komunis Vietnam Utara dan Vietcong diantara tahun 1962- 1972. Disepanjang kempen tersebut sebanyak 500 orang tentera Australia telah menjadi korban dan Australia telah menghantar hampir 61 ribu anggota tenteranya untuk sama- sama berjuang dengan Amerika sehinggalah penglibatan Australia dalam perang tersebut ditamatkan pada tahun 1972. Tujuan utama Australia menghantar tenteranya berkhidmat semasa Perang Vietnam adalah untuk mengekang perkembangan ideologi komunisme ke Asia Tenggara dan mereka diletakkan dibawah struktur pemerintahan militari US ketika itu.

Pasca 1990an, Australia dilihat sentiasa ada bersama US dan UK, ketika perang Teluk menentang Iraq 1991 dan kempen di Afghanistan atas nama “war on terror”.

Daripada sudut pandangan Australia, penglibatannya dalam banyak konflik di asia Tenggara adalah bermotifkan ancaman daripada negara- negara yang cuba meluaskan Kawasan mereka sekaligus bakal menggugat keselamatan Australia. Sebagai contoh, peluasan kuasa laut Jepun semasa Perang Dunia Kedua setelah menawan Malaya, Indonesia meyebabkan Australia terdedah pada serangan Jepun. Salah satunya adalah “Raid on Darwin”, bandar pelabuhan mereka di utara telah diserang beberapa kali oleh pesawat pengebom Jepun dan berada dalam capaian operasi pesawat angkatan laut Jepun.


Peluasan komunisme dan doktrin Teori Domino pula membimbangkan Australia bahawa Asia Tenggara akan jatuh ke tangan komunis. Perlu diingat, Indonesia juga pernah dikuasai PKI ketika era Suharto. Oleh itu mereka aktif terlibat dalam operasi ketenteraan di Vietnam dan Malaysia.

Sejarah ini boleh berulang dengan tindak tanduk China yang agresif. Geografi itu takdir, geopolitik itu berulang dengan watak berlainan, cuma selang masa yang berubah.

Faktor sejarah, budaya, bahasa dan ras bangsa, US dan Australia kedua- duanya adalah bekas koloni British , berkongsi ideologi demokrasi, pasaran bebas dan sistem kehidupan tidak dapat tidak, meletakkan Australia terkehadapan sebagai pemilihan sekutu utama mereka di rantau ini. Apatah lagi mereka mempunyai ancaman yang sama.


PEMBESARAN MILITER CHINA SEBAGAI PEMANGKIN

Berdekad lepas, sekitar 70an, 80an dan 90an, jika China mengancam untuk menyerang dan menawan Taiwan yang merupakan musuh mereka sejak 1949, US hanya perlu menghantar 2 kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear mereka (CVN) ke selat Taiwan , disertai carrier battle group terdiri dari armada berbelas kapal kruiser, kapal pembinasa ( destroyer), frigate, kapal selam dan kapal logistic untuk memaksa China untuk berundur. Kekuatan 1 CBG mempunyai sekurang - kurangnya 80 pesawat dan kebanyakan kapal US Navy (USN) mempunyai kapasiti untuk melancarkan peluru berpandu kruis seperti tomahawk untuk menyerang sasaran strategik. Kombinasi 2 CBG ini akan melibatkan sejumlah 160 pesawat tempur, berpuluh kapal dalam armada USN yang mampu untuk melancarkan serangan strategik ke aset militari China ketika itu. Ini tidak termasuk dengan fleet pesawat dari pengkalan sedia ada iaitu di Jepun dan Korea.

China yang masih bergelut dengan masalah ekonomi, infrastruktur dan struktur sosial, tidak mampu untuk berhadapan dengan US secara terus dan akan berundur dari mengancam Taiwan.

Tetapi, ledakan ekonomi China pasca 2000an, melihatkan perkembangan ekonominya menyokong pembangunan angkatan laut dan udara mereka secara besar-besaran. China telah mengoperasikan kapal pengangkut pesawat mereka yang pertama iaitu Type 001 Liaoning, yang dibangunkan semula dari kapal pembawa pesawat Varyag tinggalan USSR dan sekelas dengan kapal pembawa pesawat Kuznetsov yang sedang digunakan oleh Russia. Liaoning mampu membawa 26-30 pesawat pejuang J-15 yang dibangunkan dari pesawat pejuang Su-27/30. China telah melakukan pelayaran , ujian serta eksesais berulangkali untuk memastikan kecekapan dalam pengendalian dan pengoperasian carrier battle group mereka. Malah China juga telah siap untuk mengoperasikan kapal pembawa pesawat kedua mereka iaitu Type 002 Shandong, yang dilihat sekelas dengan Liaoning. Kapal pembawa pesawat ketiga China iaitu Type 003 dikatakan masih dibina dan mempunyai kemampuan setara dengan flat top carrier yang dioperasikan US Navy.

Walaupun China dilihat masih baru dari segi pengalaman, dan kemampuan CBG mereka dari kuantiti pesawat hanyalah sekitar 30% dari berbanding CVN US ( 30 pesawat J15 oleh Lioning berbanding 80 pesawat oleh CVN class Nimitz ), ia tetap merupakan ancaman dan telah menyebabkan US kehilangan kelebihan strategik yang dimiliki selama ini.

China juga mengoperasikan sekitar 200 buah pesawat pengebom strategik Xian H-6 yang dibangunkan dari platform Tu-16 legasi Soviet. Dengan kemajuan teknologi, penderia serta instrumen, China mempunyai kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu kruis ke arah armada carrier US yang belayar secara serentak. Kuasa udara sejak perang dunia kedua terbukti mampu meneutralkan kuasa laut yang paling hebat.

Malah, pemilikan dan pembangunan Anti Ship Balistic Missile yang semakin maju oleh China, selari pula dengan kemajuan tekologi satelit mereka, telah menyumbang pada menjadikan armada CBG USN semakin tidak relevan dalam menjalankan “gunboat diplomasy mereka”. DF-21, ASBM milik China dikatakan sebagai antiship balistic missile yang pertma di dunia. Pelancaran dari negara meraka sendiri mampu untuk mengekang kemaraan CBG USN yang cuba untuk memaksa China patuh pada dasar luar yang ditetapkan US.

Pembangunan angkatan laut china yang pantas, pembinaan carrier fleet oleh china, fleet lebih 200 pengebom strategik H-6 dan pemilikan DF-21 ASBM telah menjadikan US tidak relevan dalam mengekalkan hegemoni dan pengaruhnya di lautan timur asia. US meihat akan perlunya untuk membangunkan angkatan laut sekutu-sekutunya di Asia untuk mengimbangi kuasa laut China. Ini boleh dilihat akan pembinaan kapal pengangkut oleh Jepun dan Korea juga merancang untuk memiliki kapal pengangkut pesawat. Maka tidak hairan, Australia dipilih untuk menjadi sekutu pertahanan yang dipercayai untuk dibangunkan, bagi menyokong dasar luar US.

MENGAPA KAPAL SELAM NUKLEAR ?

Kapal selam merupakan aset strategik bagi sesebuah angkatan laut. Ianya dilihat eksklusif dan merupakan aset utama dalam cegah rintang. Malaysia, Indonesia, Singapura dan Vietnam antara negara yang mengoperasikan kapal selam diesel elektrik (SSK) di rantau ini.
 
Faktornya yang senyap dan beroperasi di bawah lautan menimbulkan ancaman pada armada kapal musuh. Kewujudan 1 unit kapal selam , mampu merencatkan tempo kemaraan berbelas kapal perang.

Malah, kapal selam bukan sekadar aset senjata, ianya juga berupaya sebagai platform membawa senjata taktikal dan strategik. Kapal selam yang mempunyai kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu anti kapal, peluru berpandu  kruis dan peluru berpandu balistik missile, telah dikelaskan sebagai aset strategik. Scorpene TLDM mempunyai keupayaan melancarkan peluru berpandu anti kapal SM-39 Exocet dilihat sebagai kapal selam termoden di rantau ini, di mana kapal selam negara- negara lain di Asia Tenggara hanya mampu melancarkan torpedo. Kapal selam juga sebahagiannya mempunyai keupayaan untuk melakukan pemasangan periuk api, dan penyusupan pasukan khas untuk operasi sabotaj, dan sebagainya.  

Kapal selam boleh diklasifikasi kepada:

SSK                   - Diesel Electric Attack Submarine
SSN                  - Nuclear Power Attack Submarine
SSBM   - Nuclear Power Ballistic Missile Submarine

Keupayaan kapal selam rata-rata hanya dibataskan oleh jumlah bahan api yang boleh dibawa serta bilangan anggotanya. SSK yang menggunakan enjin diesel elektrik perlu timbul pada selang masa untuk melakukan pengecasan pada bateri atau pun dijana menggunakan AIP (Air Independent Propulsion). Ini merupakan kekangan pada operasi kapal selam diesel elektrik di mana apabila ia menghidupkan enjin untuk mengecas bateri, kedudukan mereka boleh dikesan oleh radar atau penderia optronik musuh dan akan menghapuskan elemen kejutan.

Penggunaan reaktor nuklear untuk propulsi oleh SSBN dan SSBNM, telah membolehkan ianya beroperasi tanpa perlu timbul ke permukaan. Ianya hanya dibataskan oleh bekalan makanan untuk krew kapal selam. Ini merupakan satu kelebihan strategik di mana, pemilikan SSN atau SSBNM membolehkan negara pemilik melakukan “force projection”, iaitu kemampuan untuk beroperasi jauh ke dalam kawasan musuh dan pangkalan hadapan, seterusnya mempunyai pelbagai kelebihan taktikal dan keupayaan cegah rintang ( deterrence) yang lebih baik.

Oleh itu, apabila Australia mengumumkan untuk menggantikan SSK Kelas Collins diesel-elektrik dengan 12 buah SSN yang berkuasa nuklear, ianya satu tanda aras di mana Australia akan mempunyai keupayaan yang selama ini tidak dimilikinya , iaitu “force projection” di mana Australia mampu beroperasi jauh dari benuanya, dan keupayaan strategik ini adalah sesuatu yang asing untuk Australia yang dilihat tidak agresif dalam dasar luar negaranya. Tetapi, tindakan ini juga dilihat Australia mengambil tindakan selari dengan apa yang dilihat berpotensi mejadi ancaman masa depannya, tidak lain tidak bukan, pembesaran angkatan laut China dan dasar agresif peluasan zon maritim perairan yang dituntut China.

RESPON SERANTAU DAN INDO PASIFIK

Reaksi negara serantau bercampur baur. Ada yang menentang, ada yang menyokong serta ada yang berpendirian neutral. China, melihat penubuhan AUKUS di halakan pada mereka, mengecam penubuhan AUKUS dan mengatakan langkah ini mengancam kestabilan geopolitik dan kestabilan serantau.

Perancis pula memanggil duta mereka dari Australia dan US, memberi kenyataan terbuka akan langkah ini sebagai tikam belakang pada mereka. Malah ada gesaan dari ahli parlimen mereka untuk keluar daripada NATO.

Taiwan dan Filipina, di mana kedua negara sedia mempunyai masalah dengan China, menyokong tindakan penubuhan AUKUS

Malaysia, New Zealand dan Indonesia bersiap neutral dan mengkritik penubuhan AUKUS dimana ianya dilihat akan memanaskan suhu pertembungan tuntutan sedia ada, menggalakkan provokasi dan dilihat berupaya menyemarakkan perlumbaan senjata di rantau indo pasifik.

MALAYSIA, BERTINDAK ATAU MEMERHATI ?

Malaysia, geografinya terletak di tengah Asia Tenggara, dan sebagai negara maritim yang luas, mempunyai Laut China Selatan dan Selat Melaka dalam kawalannya, ditakdirkan sebahagian dari zon strategik yang menarik perhatian kuasa besar sejak beratus tahun dahulu.

Berpendirian neutral dan tidak memihak pada mana-mana kuasa besar, dan mempunyai hubungan diplomatik yang baik, serta rekod yang baik di pelbagai platform antarabangsa, dilihat sudah tidak mencukupi untuk menangani ancaman di indo pasifik.

Walaupun berada dalam platform FPDA, ZOPFAN dan pelbagai lagi, Malaysia sudah sepatutnya melihat diplomasi adalah langkah terakhir dalam menjamin kedaulatan negara. Dasar luar negara asing adalah luar kawalan Malaysia.

Apa yang penting, pemerkasaan dan membina keupayaan ATM seharusya diberi perhatian serius, pemodenan TLDM dengan Plan 15 to 5, pemodenan TUDM dengan Plan CAP 55, penambahan aset-aset strategik seharusnya dipercepatkan. Kapal-kapal perag baru ditambah, pesawat-pesawat tempur terkini dipercepatkan dan ditambah.

Sekurang-kurangnya,pertahanan yang kuat akan menjadi insurans pada kedaulatan dan kuasa asing berfikir dua kali untuk menceroboh wilayah Malaysia, “Gunboat Diplomacy”dan “ speak softly whie carrying a big stick” adalah sesuatu yang masih relevan walaupun telah beratus tahun ianya digunakan. Diharap dengan kestabilan politik dan suhu politik yang reda buat masa ini, membuka mata kerajaan untuk memperkasakan ATM dengan hala tuju yang jelas, tanpa sebarang alasan dan gangguan politik.

Akhir kata, kami tutup dengan kata-kata hikmah ini :

Careful preparation and defenses can never guarantee victory. However, ignoring this precautions, is an almost certain recipe for defeat.

-League Armada Strategy Manual-

Most Read