Trivia RENTAKA - Tangga pesawat pejuang

May be an image of aircraft and outdoors

Kita mulakan minggu ini dengan kisah tangga. Bukan kisah rumah tangga tapi hanya tangga atau lebih tepat lagi, tangga pesawat pejuang.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa kokpit pesawat pejuang terletak tinggi dan memerlukan tangga untuk membolehkan juruterbang memanjat masuk. Pesawat pejuang berenjin jet awal seperti F-86 Sabre mempunyai beberapa tempat atau lubang pada badan di bawah bahagian kokpit pesawat yang membolehkan juruterbang memanjat untuk ke kokpit. Apa yang menarik, lubang- lubang ini tidak kelihatan kerana ditutup oleh penutup berspring. Apa yang perlu dilakukan oleh juruterbang adalah menekan penutup berspring tersebut untuk memasukkan tangan atau kaki pada lubang bagi membolehkannya berpaut dan memanjat badan pesawat untuk naik ke kokpit. Sebaik sahaja tangan atau kaki dikeluarkan daripada lubang tersebut, penutup berspring tadi akan menutup lubang tersebut secara automatik.



Mungkin pendekatan lubang pada badan pesawat dikhuatiri akan melemahkan struktur badan pesawat, maka pendekatan ini ditinggalkan dan digantikan dengan penggunaan tangga yang disangkutkan pada sisi badan pesawat. Pesawat pejuang F-16 menggunakan tangga seperti ini. Sebaik sahaja juruterbang menghentikan pesawat dan membuka kanopi kokpit, krew darat pesawat akan segera menyangkutkan tangga pada sisi badan pesawat bagi membolehkan juruterbang turun daripada pesawat. Apabila penerbangan telah berakhir dan juruterbang turun daripada pesawat, tangga akan ditanggalkan daripada sisi badan pesawat, barulah kanopi kokpit boleh diturunkan. Akan tetapi penggunaan tangga seperti ini mempunyai kelemahannya tersendiri diantaranya kos untuk membuat, mengendalikan dan mengangkut tangga tersebut. Tanpa tangga tersebut, juruterbang tidak boleh turun atau naik ke kokpit. Bayangkan jika juruterang diberikan arahan "Scramble" dan mendapati tiada tangga pada atau berdekatan dengan pesawat. Sudah pastinya ia merencatkan atau mengganggu proses pelepasan segera pesawat untuk tujuan pemintasan. Satu lagi masalahnya jika pesawat beroperasi daripada pangkalan udara lain. Sebagai contoh, jika F-16 TNI-AU mendarat di pangkalan udara TUDM yang tidak mengoperasikan pesawat F-16, ia memerlukan krew pesawat mencari cara alternatif bagi membolehkan juruterbang tersebut untuk turun daripada pesawat pejuangnya.

Untuk meyelesaikan masalah mudah tetapi penting ini, pesawat pejuang mula direkabentuk dengan tangga terbina dalam atau secara mudahnya pesawat mempunyai tangganya sendiri yang dipasang pada badan atau sayapnya. Pesawat pejuang seperti F-4, F-15, F-35 dan A-10 mempunyai tangga boleh lipat pada sisi badan pesawat berdekatan dengan kokpit. Apa yang perlu dilakukan oleh krew darat pesawat adalah membuka pintu kompartmen dan menarik hujung tangga untuk memanjangkannya. Apabila selesai digunakan, krew darat pesawat hanya perlu menolak tangga masuk ke dalam kompartmen dan menutup pintunya.

Bagi pesawat pejuang F/A-18 pula ia sedikit berbeza. Tangganya disisipkan pada bawah pangkal sayap kiri pesawat. Krew darat pesawat hanya perlu menarik tangga dan mengayunkannya ke sisi badan pesawat. Apabila selesai digunakan, krew darat pesawat hanya perlu menolak tangga masuk kembali ke dalam kompartmen di pangkal sayap pesawat.