A warplane is seen being shot down over the outskirts of Benghazi, eastern Libya, March 19, 2011


Tidak ramai yang mengetahui wujudnya pembunuh bersiri semasa Operation Desert Storm berlangsung. Sasaran utama pembunuh bersiri adalah pesawat pejuang Amerika dan sekutunya. Yang mengejutkan adalah pembunuh bersiri ini bukanlah seorang manusia.

Terkejut?

Ya, pembunuh bersiri tersebut adalah robot, tapi bukan seperti robot Terminator T-100 lakonan Arnold Alois Schwarzenegger.

Sebelum Operation Desert Storm bermula, ancaman Tentera Udara Iraq bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Ia memiliki ratusan pesawat tempur dan ribuan juruterbang tempur yang berpengalaman hasil daripada perang menentang Iran. Bukan itu sahaja malah Iraq memiliki ratusan atau ribuan peluru berpandu balistik Scud. Jadi tidak hairanlah bukan sahaja negara- negara arab yang menjadi sekutu Amerika juga ketakutan, malah Amerika juga kerisauan dengan ancaman udara Iraq.

Untuk melegakan hati semua pihak, maka Amerika mula menghantar sistem pertahanan udara tercanggihnya iaitu MIM-104 Patriot. Sistem pertahanan udara ini cukup canggih sehinggakan ia mampu untuk diprogramkan agar boleh bertindak sendiri tanpa perlu campurtangan daripada operatornya. Oleh kerana ancaman peluru berpandu balistik Scud Iraq memerlukan Patriot bertindak pantas, ia lazimnya diletakkan pada mod automatik sepenuhnya. Sistem Patriot beroperasi dengan cemerlang dan memberikan perisai udara yang cukup utuh kepada Amerika serta sekutunya.

Kisah bermula apabila Amerika melancarkan Operation Iraqi Freedom pada tahun 2003. Kekuatan Tentera Udara Iraq hampir musnah tetapi berbeza pula dengan kekuatan pertahanan udara Iraq. Ia masih mampu memberikan tentangan hebat terutamanya terhadap pesawat yang terbang rendah. Pada bulan Mac 2003 ketika Operation Iraqi Freedom sedang hangat berlangsung, sebuah pesawat penyerang Tornado telah ditembak jatuh ketika dalam perjalanan pulang daripada misi pengboman di Iraq. Kedua- dua juruterbangnya telah terkorban. Tidak lama kemudian, sebuah pesawat pejuang F-16 telah disasarkan oleh radar pertahanan udara yang mana pesawat tersebut segera melancarkan satu peluru berpandu anti radiasi AGM-88 HARM ke arah radar tersebut. Peluru berpandu tersebut dikatakan tepat mengenai sasarannya dan tiada lagi pancaran radar dikesan daripada sistem pertahanan udara tersebut. Bulan April 2003 turut membawa perkhabaran duka apabila sebuah lagi pesawat pihak bersekutu telah berjaya ditembak jatuh dan sekali lagi, juruterbangnya turut terkorban. Kali ini pesawat yang menjadi korban adalah pesawat pejuang F/A-18C Hornet milik Tentera Laut Amerika. Ia ditembak jatuh ketika melakukan misi pengeboman di selatan Iraq. Apakah sistem pertahanan udara Iraq begitu efektif sekali sehinggakan mampu menembak jatuh dua pesawat pihak bersekutu dan meragut tiga nyawa krew pesawat dalam masa jangkamasa yang pendek dan daripada jarak jauh?

Siasatan yang dilakukan oleh tentera Amerika serta sekutunya mendapati ketiga- tiga pesawat tersebut sebenarnya menjadi mangsa kepada peluru berpandu sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot. Siasatan lanjut mendapati, diatas sebab- sebab yang tidak dapat dipastikan (atau tidak dapat didedahkan), sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot seringkali mengklasifikasikan pesawat pejuang pihak bersekutu sebagai roket milik Iraq yang dilancarkan ke pangkalan udara pihak bersekutu di Kuwait dan Arab Saudi. Terdapat kisah- kisah di mana juruterbang pesawat pejuang seringkali bertekak dengan krew pesawat AWACS untuk memberitahu dengan kadar segera kepada operator Patriot bahawa ia sedang mengunci pesawat sahabat. Malah, kejadian sistem Patriot telah mengunci pesawat sahabat dan bersedia untuk melancarkan peluru berpandunya bukahlah sesuatu yang berlaku secara sekali- sekala. Rata- rata juruterbang pesawat pejuang pihak bersekutu lebih risau tentang perangai pelik sistem Patriot yang umpama pembunuh bersiri daripada risau tentang tentangan tentera Iraq. Setiap kali pesawat pejuang pihak bersekutu dalam perjalanan kembali ke pangkalan udara mereka, sudah pastinya adrenalin juruterbang akan naik tinggi dan mereka sentiasa berjaga- jaga terhadap tindak tanduk sistem Patriot.

Melalui sumber- sumber terbuka, tidak dapat dipastikan mengapa sistem Patriot bertindak sedemikian dan mengapa ia gagal untuk mengenalpasti pesawat sahabat sedangkan setiap pesawat telah memancarkan kod yang betul melalui sistem pengenalan pesawat kawan atau lawan (Identification Friend or Foe- IFF). Terdapat kemungkinan bahawa terdapat sistem IFF yang mengalami kerosakan atau memancarkan kod yang salah. Pun begitu, kes sistem Patriot menyasarkan atau menembak jatuh pesawat sahabat telah menyebabkan berlaku pergeseran diantara juruterbang pesawat pejuang Amerika dan operator sistem Patriot. Malah ada juruterbang yang menyatakan bahawa mereka tidak teragak- agak untuk melancarkan peluru bepandu ke arah pelancar sistem Patriot sekiranya mereka disasarkan. Tentera Darat Amerika pula mengarahkan agar sistem Patriot tidak diletakkan di dalam mod automatik sepenuhnya untuk menghalang daripada berlaku lagi kejadian yang sama. Pada masa yang sama mereka turut berjanji untuk menyelesaikan masalah ini.

Hampir 20 tahun kemudian, sistem Patriot masih utuh sebagai sistem pertahanan udara jarak jauh utama Amerika dan sekutunya. Ia bertindak cemerlang dalam menangkis serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh puak Houthi terhadap sasaran di Arab Saudi dan UAE.

Adakah ia masih memiliki mentaliti pembunuh bersiri seperti dahulu? Tiada siapa yang tahu.

Most Read