Terdapat banyak kelas dan jenis UAV/dron yang berkhidmat di seluruh dunia pada masa kini. Dron pada asalnya digambarkan sebagai mata dan telinga angkatan tentera sesebuah negara dan pada konsepnya direka sebagai satu aset murah yang bersifat mudah untuk dikorbankan. Oleh itu agak menghairankan bagaimana dalam konflik mahupun peperangan, pihak yang bertelagah berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan atau memusnahkan dron pihak lawan pada hampir apa jua kosnya. Agak membingungkan apa melihat dron yang berharga ribuan ringgit ditembak menggunakan peluru berpandu yang setiap satunya mungkin bernilai ratusan ribu atau jutaan ringgit ?
Seperti yang dikatakan tadi, dron lazimnya bertindak sebagai mata dan telinga angkatan tentera sesebuah negara. Mengambil contoh konflik Rusia-Ukraine sekarang, kemunculan dron lazimnya akan membawa serangan artileri atau peluru berpandu dalam masa 10 minit selepas kemunculannya. Dron digunakan secara intensif oleh kedua- dua belah pihak terutamanya oleh Rusia untuk memburu aset- aset berat dan strategik pihak lawan. Sebagai contoh, dron mungkin menjumpai lokasi bateri artileri musuh yang mengandungi 5 pucuk meriam. Jika bateri tersebut berjaya dimusnahkan, ia mungkin akan merencatkan kuasa tembak musuh dan mengakibatkan kemusnahan bernilai puluhan juta ringgit dan paling penting adalah krew artileri yang terlatih.
Semuanya disebabkan oleh sebuah dron yang mungkin berharga tidak sampai puluhan ribu ringgit.
Itulah sebabnya dron yang dikesan perlu dimusnahkan walau apa jua kosnya!