Kereta kebal PT-91M baru?

     

    Kenyataan YAB Menteri Kanan Pertahanan semasa Majlis Amanat Kementerian Pertahanan minggu lalu tentang pembelian 7 buah Pendekar MBT benar- benar mengemparkan peminat ketenteraan tempatan. Tim RENTAKA juga gempar kerana sebelum ini tiada berita tentang perancangan penambahan MBT yang kedengaran. Daripada gempar berubah kepada kehairanan kerana pelbagai versi dan variasi cerita yang timbul. Ada cerita yang kereta kebal tersebut daripada jumlah yang sedia ada tetapi diterima kembali setelah proses baik pulih di Poland dan ada pula yang mengatakan ianya kereta kebal baru. Apa yang pasti, setakat ini tiada pembelian baru Pendekar MBT telah dirancangkan mahupun diumumkan. Sekiranya ada, sudah pastinya DRB Hicom sebagai kontraktor utama program Pendekar MBT akan segera mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut di bursa saham BSKL.

    Mungkin benar kereta kebal yang diterima kembali itu telah menjalani proses baik pulih di Poland. Akan tetapi harus diingat bahawa kilang Deftech di Pekan mampu untuk membaik pulih kereta kebal yang mengalami kerosakan. Hanya kerosakan yang benar- benar serius dan kompleks (seperti kerosakan akibat perang) barulah memerlukannya untuk dihantar kembali ke Poland. Tambahan pula, kerosakan apa yang memerlukan sehingga 7 buah MBT perlu dihantar kembali ke negara pengeluar asal? Ribut tidak, hujan tidak, perang pun tidak, tiba- tiba sahaja 7 buah kereta kebal dihantar ke Poland.

    Jadi apakah maksud sebenar kenyataan YAB Menteri Kanan Pertahanan? Terus- terang, tim RENTAKA pun tergaru- garu kepala juga.

    Sebelum ada yang berkata "aku dah kata dah, kita semua dah kena jual", ada satu lagi kemungkinan yang ramai mungkin tidak terfikir. Kemungkinan tersebut adalah PT-91M yang telah menjalani kerja- kerja naik taraf.

    Duduk tak duduk, sebenarnya telah hampir 20 tahun PT-91M berkhidmat dengan Kor Armor Diraja. Sejak daripada mula perkhidmatan lagi, Pendekar telah memainkan peranan utama dalam penguasaan medan tempur oleh TDM. Selain daripada membentuk salah satu tonggak pertahanan negara dan menjadi salah satu elemen cegah rintang terpenting negara, kereta kebal ini juga mainkan fungsi penting untuk membentuk doktrin dan operasi "combined arms" dalam pertahanan mahupun serangan dalam erti kata sebenarnya. Pada masa pembeliannya, PT-91M adalah antara MBT tercanggih di Asia Tenggara dan sehingga sekarang masih lagi mengerikan pihak lawan. Dalam tempoh masa MBT sulung ni berkhidmat, sedikit demi sedikit keupayaannya dah mula ketinggalan. Ditambah pula dengan pengenalan MBT yang dipacu oleh teknologi armor terkini oleh negara serantau serta pengajaran- pengajaran daripada konflik bersenjata di seluruh dunia (terutamanya di Syria dan Crimea). Pemilihan PT-91M secara keseluruhannya adalah tepat dan sesuai dengan keperluan TDM. Meskipun PT-91M dikatakan hanyalah setaraf kereta kebal T-72M1-E5, ia lebih daripada mencukupi untuk menghadapi ancaman pada dekad tersebut. Kini masa telah beredar dan ancaman juga telah berubah bentuk. jelas PT-91M perlu dinaik taraf agar tetap segar dan berkeupayaan tinggi.

    Pengunduran kereta kebal PT-91 daripada perkhidmatan Tentera Darat Poland, meskipun secara berperingkat- peringkat, bakal menggugat pengoperasian kereta kebal PT-91M TDM. Meskipun ia pada dasarnya adalah kereta kebal T-72 yang mana alatan gantinya sangat mudah untuk didapati atau dibuat, PT-91M masih lagi menggunakan banyak komponen- komponen yang dikeluarkan oleh industri pertahanan Poland. Sokongan industri terhadap komponen- komponen ini seperti  penderia amaran laser PCO SSP-1 Obra-3, armor reaktif ERAWA 2 dan enjin diesel S-1000R keluaran firma PZL Wola tidak diketahui samada akan berterusan apabila Tentera Darat Poland tidak lagi menggunakan PT-91. Sekalipun sokongan industri terhadap komponen- komponen ini diteruskan, kosnya mungkin akan bertambah.  

    Itulah sebabnya tidak lama dahulu, tim RENTAKA pernah mencadangkan agar kereta kebal PT-91 Twardy yang bakal diundurkan daripada perkhidmatan Tentera Darat Poland, dibeli oleh Malaysia dan dinaik taraf dengan menggantikan sistem transmisi, enjin serta komponen automotifnya sama atau lebih berkuasa daripada PT-91M. Bahagian turet pula digantikan dengan turet T-90S Brishma keluaran India bagi mengelak daripada dikenakan sekatan akta CAATSA Amerika. Turet T-90S Brishma mempunyai tahap perlindungan yang lebih tinggi (armor yang lebih tebal dan terdiri daripada besi yang lebih kukuh beserta armor komposit) serta boleh diubah suai untuk membolehkannya dipasang dengan blok-blok ERA jenis Realikt dan sistem penyerakan elektro-optik untuk menangani ancaman ATGM termasuklah daripada jenis Top Attack. Kerja- kerja naik taraf juga boleh melibatkan pemasangan penyerak elektro- optik mahupun sistem pelindungan aktif seperti Afghanit yang mampu mematahkan serangan peluru HEAT mahupun peluru kinetik. 

    Jadi terdapat kemungkinan bahawa 7 buah kereta kebal yang bakal diterima oleh TDM daripada Poland adalah PT-91 atau PT-91M yang telah menjalani proses naik taraf dan bakal diuji keberkesanannya di Malaysia. Itu adalah salah satu senario yang mana memerlukan kereta kebal PT-91M dihantar kembali ke Poland untuk tujuan "senggaraan".

    Apapun, hanya Allah SWT, YAB Menteri Kanan Pertahanan dan mereka- mereka yang tahu sahaja yang mengetahui maksud sebenar kenyataan yang dibuat minggu lepas. Kita hanya akan mengetahui kebenarannya apabila YAB Menteri Kanan Pertahanan menerangkannya dengan lebih lanjut atau apabila kereta kebal tersebut sampai di bumi Malaysia.  

    Please publish modules in offcanvas position.