Ramalan RENTAKA tentang pemilihan pesawat pejuang negara- negara di Asia Tenggara

-AWAS Artikel Panjang!-

May be an image of aeroplane and sky

Tersebut alkisah, baru- baru ni tim RENTAKA dapat la berkumpul setelah sekian lama tak berkumpul. Macam biasa lah bila ada yang dah berkeluarga dan berkerjaya ni nak jumpa lama- lama sangat pun agak sukar. Jadi bermula jam 10 malam, seorang demi seorang mula memohon untuk mengundurkan diri. Akhirnya tinggallah yang masih bujang dan yang ngaku bujang untuk meneruskan persembangan. Entah macam mana, timbul cerita nombor ekor dan bomoh nombor ekor. Lantas salah seorang ahli tim nampak begitu teruja nak menyertai sesi tok moh menurun nombor ekor. Setelah beberapa panggilan telefon dibuat, maka salah seorang kenalan kami memberitahu bahawa ada sesi menurun akan diadakan pada keesokan malam. Setelah cabar- mencabar diantara satu sama lain, hanya dua orang sahaja yang benar- benar sanggup untuk menyertai sesi menurun nombor ekor tersebut setelah yang lain tiba-tiba tidak dapat hadirkan diri dengan alasan isteri masing-masing tak bagi keluar.

#GTB Pantang undur kecuali....



Keesokan malamnya tepat jam 3 pagi, bermulalah sesi menurun nombor ekor (tempatnya dirahsiakan). Oleh kerana ahli tim terlambat sampai, maka dapatlah giliran terakhir.

Kedengaran dialog yang mengujakan daripada dalam sebuah bilik yang kelihatan hanya diterangi oleh dua lampu lilin meliuk-liuk di hadapan seorang lelaki cina berusia lewat 50an.

Lekas la datuk... Apa nombornya cepaatttt...

Itu nombor musti mari, itu nombor musti mari...

Cepat la tok. Kami dah tak sabar dah ni...

Saya bukan datuk, saya bukan datuk. Saya tan sri, saya tan sri...nombor suda mau mali... nombor suda mau mali...

Cepat la Tan Sri...

Ini nombor mau mali, ini nombor mau mali...

Oooo... itu nombor suda mali, nombor suda mali... 2***

Bila tiba giliran tim RENTAKA, pembantu tok moh memberi isyarat memintak duit pengeras dibayar sebelum boleh memasuki bilik. Sementara itu tok moh masih lagi dalam keadaan menurun.

Lu olang mau nombor apa? Damacai? Toto? 4D? Nomot pin tepon bini? tanya tok moh.

Saya mau tau ORBAT TUDM tahun 2030 tok, balas seorang ahli tim dengan yakinnya.

Aiyaaaaaaaaa...

****************

Tidak lama dahulu, RENTAKA ada membuat satu posting tentang betapa pentingnya kedudukan Malaysia dan Indonesia dalam peta geopolitik dunia dan kedua- dua negara ini akan menjadi negara penting dalam pertarungan pengaruh di antara Amerika (dan sekutunya) dengan China.

Walaupun Taiwan dan tuntutan China ke atas Kepulauan Spratly dan Paracel dikatakan menjadi isu utama, Amerika dan Eropah menjadi semakin tercabar dengan kebangkitan China sebagai salah satu kuasa tentera dan ekonomi dunia.

Baru- baru ini pengurusan tertinggi TNI-AU dalam satu mesyuarat telah memutuskan untuk meminta kerajaan indonesia membeli pesawat pejuang F-15EX dan Rafale. Biarpun Kementerian Pertahanan Indonesia kelihatan berunding secara serius untuk mendapatkan pesawat pejuang Rafale bagi menambah kekuatan TNI-AU, RENTAKA berpendapat bahawa F-15EX akhirnya akan dipilih kerana ia memiliki jangkauan yang diperlukan untuk meronda ruang udara Indonesia yang begitu luas, disamping memiliki sistem penderia canggih dan sistem persenjataan terkini yang meliputi tiga dimensi. Daripada satu segi, perjanjian pembelian FMS akan memastikan tiada unsur- unsur korupsi dan setiap sen yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia benar- benar untuk membiayai program F-15EX Indonesia. Disamping itu Indonesia boleh memohon Amerika untuk memaniskan lagi perjanjian pembelian dengan pemberian pesawat F-16 terpakai daripada versi yang lebih terkini atau mengurangkan lagi harga pembelian pesawat pejuang F-15EX (atau mungkin kedua- duanya sekali?). Apapun, pada pendapat RENTAKA, ini adalah waktu yang terbaik untuk Indonesia memohon untuk membeli peralatan perang daripada Amerika. Jelas sekali keperluan untuk Indonesia memodenkan angkatan udaranya dan keperluan untuk Amerika memastikan Indonesia terus menyokong usaha untuk memagar China, akan terus memastikan Amerika berterusan membantu untuk memperkasakan TNI-AU daripada segi kuantiti dan kualiti.

Sebagai negara yang kurang berkemampuan tetapi menghadapi ancaman daripada China, RENTAKA berpendapat Filipin akan kembali ke dakapan Amerika selepas era Presiden Duterte. Filipina berkemungkinan besar akan meminta bantuan Israel untuk memodenkan angkatan tenteranya berikutan Israel sahaja yang mampu dan sanggup untuk membantu Filipina pada harga yang rendah. RENTAKA tidak terkejut jika Filipina membeli pesawat pejuang F-16I yang telah dinaiktaraf oleh firma Israel. Filipina akan menjadi satu lagi lubuk untuk Israel menjual persenjataan yang telah diundurkan daripada perkhidmatan tentera udara Israel.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Setelah melihat dengan sedalam- dalamnya, tim RENTAKA berpendapat TUDM daripada segi pemilikan aset tempur, tidak akan mengalami perubahan yang ketara. Sehingga 2040, TUDM masih lagi akan mengoperasikan pesawat pejuang Su-30MKM dan F/A-18D Hornet. Satu langkah logik yang mungkin diambil adalah penambahan bilangan pesawat pejuang Hornet sejajar dengan pengunduran daripada perkhidmatan pesawat pejuang F/A-18D daripada Tentera Laut dan Marin Amerika. Mengikut perancangan Tentera Marin Amerika, kesemua pesawat F/A-18D mereka akan diundurkan selewat-lewatnya pada tahun 2030. Berita baiknya, pada masa itu pesawat- pesawat pejuang ini telahpun menjalani proses naik-taraf daripada segi keupayaan, radar dan sistem peperangan/ penyerakan elektronik. Pun begitu, ia adalah satu langkah yang agak berisiko kerana seperti yang diketahui, Amerika menyertai banyak peperangan di seluruh dunia dan komitmen ini akan menyebabkan kebanyakan pesawat F/A-18D nya adalah agak tinggi usia jam penerbangannya apabila hendak disarakan. Dengan erti kata lain, pesawat- pesawat ini mungkin telah di "lenjan kaw- kaw punya".

Satu lagi langkah (agak extreme) yang mungkin diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan pesawat pejuang F-15 secara sementara iaitu secara pinjaman, sewaan atau secara pertukaran. Kebaikan langkah ini adalah ia memungkinkan TUDM untuk memiliki aset tempur yang ampuh pada kos yang minimum dan pada masa yang sama dapat meneroka keupayaan baru. Disamping itu kerajaan dapat mengekalkan status "Non- Aligned" tanpa perlu menghadapi risiko \atau tekanan yang serius. Al-maklumlah dengan keadaan di Laut Melayu atau LCS yang bertekanan tinggi dan sentiasa berubah, banyak tekanan diberikan kepada Malaysia untuk menyertai blok- blok tertentu. Walaubagaimanapun langkah ini amatlah sukar untuk diselesaikan kerana ia bukan sahaja perlu mencari pihak yang sudi meminjamkan sejumlah pesawat pejuang F-15 bersama alat ganti tetapi juga langkah ini memerlukan persetujuan banyak pihak. Pun begitu tim RENTAKA menjangkakan Amerika tidak akan memberikan banyak rintangan terutamanya jika Indonesia meneruskan hajat mereka untuk membeli pesawat pejuang F-15EX.

Oleh kerana kedua- dua jenis pesawat pejuang utama TUDM semakin hari semakin berusia, pemilihan pesawat LCA adalah amat penting kerana ia perlu mengisi lopong- lopong yang ada daripada segi keupayaan TUDM. Oleh kerana itu, meskipun dipanggil program LCA, pesawat pejuang yang dipilih haruslah mampu untuk melakukan tugas seperti mini MRCA. Bagi pembaca RENTAKA sudah tentunya tahu apa yang menjadi pilihan tim RENTAKA. Pesawat LCA (ehem Gripen ehem...) akan memastikan Malaysia sentiasa berupaya untuk mengurangkan tekanan atau impak jika ada negara yang cuba campur tangan dengan mngenakan sekatan di atas sebab- sebab tertentu.

Bagi pesawat latihan dan pesawat latihan lanjutan, T-7A dilihat sebagai satu pilihan yang baik kerana program ini masih baru, mendapat komitmen Tentera Udara Amerika dan peluang untuk mendapat program timbal balas. Disamping itu terdapat kemungkinan T-7 akan dibangunkan keupayaannya menjadi pesawat tempur ringan seperti mana pesawat latihan T-38 Talon dibangunkan menjadi pesawat pejuang F-5E Tiger II. Jika kerajaan dapat mengambil bahagian dalam projek T-7A, ia akan memberikan banyak impak yang positif terhadap pembangunan industri aeroangkasa negara khususnya industri pertahanan.

Tim RENTAKA berpendapat bahawa konflik maritim yang semakin memanas di Laut China Selatan akan menyaksikan pemilikan UAV MALE daripada China dan Amerika samada secara pemberian pada harga yang rendah ataupun secara percuma spertimana yang dibuat Amerika menerusi program Maritime Security Initiative. Bagaimana pula dengan pesawat AEW&C? TUDM sepatutnya sudah memiliki pesawat AEW&C sejajar dengan pembesaran set dan penggunaan sepenuhnya konsep Network Centric Warfare (NCW) dalam operasi TUDM. Pun begitu RENTAKA memahami akan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan jika hendak membeli pesawat AEW&C. Rata- rata pesawat AEW&C adalah berharga lebih daripada USD 1 bilion. Secara kasar, harga sebuah pesawat Globaleye adalah sekitar USD 1.38 bilion manakala pesawat E-7 Wedgetail pula sekitar USD 1.98 billion. Langkah yang mungkin boleh diambil oleh kerajaan adalah samada menyewa pesawat AEW&C atau membeli pesawat AEW&C yang telah diundurkan daripada perkhidmatan seperti dua buah pesawat Erieye yang baru sahaja diundurkan daripada perkhidmatan Tentera Udara UAE.

Sayugia diingatkan ini hanyalah pendapat tim Rentaka yang lahir daripada perbincangan di kedai mamak (dan mungkin juga daripada Tok Moh). Jadi sejauh mana ketepatannya tidaklah diketahui. Tapi siapa tahu kemungkinannya…kan?

Foto: F/A-18D Hornet di negeri dibawah bayu.
Kredit foto: 18 Skuadron TUDM.