Picture
MD530G adalah versi terkini siri helikopter MD500 Defender yang telah berkali- kali terbukti dalam peperangan. (Foto: MD Helicopters)
Oleh: Malik Saedon (rentaka.weeb.ly.com)

Helikopter MD530G ini adalah merupakan versi terkini daripada siri helikopter MD500 Defender dan secara asasnya menggunakan rekabentuk, enjin dan sistem transmisi yang sama seperti MD530F versi awam tetapi telah diubahsuai untuk mempertingkatkan lagi keupayaan untuk membawa bebanan persenjataan dan prestasinya. Helikopter ini direka agar mempunyai prestasi yang tinggi dalam suasana dan keadaan cuaca yang mencabar. Ia juga mampu untuk memberi bantuan tembakan bagi menekan musuh serta dilengkapi dengan keupayaan untuk melakukan serangan surgikal. Bebanan sistem persenjataan yang mampu dibawa serta sistem avioniknya membolehkan helikopter MD530  memikul tugas sebagai helikopter peninjau mahupun helikopter tempur. 
Perbezaan MD530G
Pada sekilas pandang, komponen pertama yang jelas berbeza dan tiada pada helikopter MD500 Defender yang lain adalah sepasang sayap kecil yang dipasang pada kiri dan kanan badan helikopter. Sayap ini dikenali sebagai Extended Range Weapon Wings (ER2W) atau Sayap Persenjataan Jangkauan Jauh. Sayap ini mempunyai dua fungsi utama iaitu bertindak sebagai stesen senjata dimana sehingga empat jenis sistem persenjataan boleh dipasang termasuklah roket pod, mesingan dan sebagainya. Fungsi kedua sayap ER2W adalah berfungsi sebagai tangki bahan api yang mampu bertaup sendiri dimana sehingga 132 liter bahan api mampu dimuatkan di dalam tangki. Ia mampu untuk memanjangkan lagi masa rondaan helikopter sehingga kira- kira 60 minit lagi. Walaupun sayap ER2W agak ringan iaitu hanya sekitar 45 kilogram, ia mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 890 kilogram bebanan persenjataan. Sayap ini juga hanya memerlukan masa 10 minit untuk dipasang atau ditanggalkan oleh dua orang krew, menjadikan MD530G berupaya untuk bertukar fungsi daripada helikopter tempur kepada utiliti mahupun peninjauan dengan pantas. Selain daripada itu, biarpun enjin Rolls Royce 250-C30 yang digunakan oleh MD530G adalah sama seperti enjin pada helikopter MD530F, tetapi enjin ini telah ditingkatkan lagi had torknya bagi membolehkan helikopter membawa bebanan yang lebih. Disamping itu skid pendarat helikopter MD530 adalah lebih besar dan diadaptasikan daripada skid pendarat helikopter MD600 Explorer bagi membolehkan ia menanggung bebanan yang yang lebih. Kokpit helikopter juga telah diubah susunannya dan menggunakan sistem glass cockpit dengan dua paparan Garmin G500H dan sebuah paparan pelbagai fungsi untuk pengimejan sasaran dan status persenjataan.

Sistem Pendorongan
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, helikopter MD530G dipacu oleh sebuah enjin turbin jenis Rolls Royce 250-C30 berkekuatan 650shp lengkap dengan kawalan sistem FADEC. Ia berupaya untuk memacu helikopter sehingga ke kelajuan 282km/j. Helikopter ini juga memiliki jangkauan operasi sejauh 519 kilometer dan mampu meronda sehingga 180 minit di udara. Jangkauan operasinya boleh dipertingkatkan lagi dengan membawa tangki bahan api tambahan. Bebanan maksimum keseluruhan yang boleh dibawa oleh MD530G adalah sekitar 816 kilogram.

Sistem Persenjataan
Biarpun saiznya yang kecil, helikopter MD530G tidak harus dipandang ringan. Ibarat pepatah melayu, 'Kecil- kecil cili padi', helikopter ini mampu membawa sehingga 862 kilogram bebanan persenjataan yang terdiri daripada kombinasi mesingan, pod mesingan berat dan pod roket. Para pengunjung ke pameran LIMA 2015 bertuah kerana dapat melihat sendiri helikopter MD530G yang lengkap dipasang senjata daripada dekat. Sistem persenjataan yang dipasang pada helikopter tersebut adalah dua laras mesingan gatling M134H-D "Mini-Gun" dan dua pod gabungan mesingan berat berkaliber 12.7mm dan roket 70mm FN Herstal RMP. Apa yang menarik, MD530G mampu untuk melancarkan roket berkaliber 70mm biasa ataupun roket TALON keluaran firma Raytheon yang menggunakan panduan laser- sesuai untuk serangan surgikal yang tidak memerlukan letupan yang besar. Disamping itu MD530G juga mampu untuk membawa peluru berpandu AGM-176 Griffin dan juga peluru berpandu AGM-114 Hellfire. Panduan laser untuk peluru berpandu panduan laser diberikan oleh kepala penderia MX-10D keluaran firma L3- Wescam. Seperti juga helikopter MD530G, biarpun kepala penderia ini bersaiz kecil tetapi ia memiliki sistem penstabil 4 axis yang bukan sahaja memberikan pengimejan yang jelas tetapi juga mampu untuk memancarkan laser ke sasaran melebihi 10 kilometer jauhnya dengan tepat. Disamping itu, MX-10D mampu untuk memberikan pengimejan infra merah, dalam keadaan cahaya yang malap dengan gambar bewarna beresolusi tinggi HD dan mampu memberikan keupayaan kepada jurutembak untuk melihat sasaran dengan jelas. Sistem persenjataan MD530G dikawal oleh Moog's Gen3 Weapon Stores Management System (WSMS) atau Sistem Pengurusan Persenjataan Gen3 Moog. Sistem WSMS terdiri daripada modul komputer kecil dan ringan yang bertindak sebagai otak dan jantung sistem tempur helikopter termasuklah menguruskan sistem komunikasi penting dan sistem bidikan.                                

MD530G Sesuai Untuk Malaysia?
Jika dilihat daripada susur galur helikopter ini bermula daripada OH-6 Cayuse yang berkhidmat dengan cemerlang menentang insurgensi semasa perang Vietnam sehinggalah versi MD530F yang digunakan oleh Tentera Afghanistan baru- baru ini, helikopter ini bukan sahaja telah digunakan untuk menentang insurgensi di banyak negara di seluruh dunia dalam keadaan iklim yang mencabar daripada hutan hujan tropika hinggalah kepada padang pasir. Ini adalah bukti keberkesanan dan kelasakan helikopter ini sehinggakan masih terus beroperasi di seluruh dunia dalam pelbagai versi. Oleh kerana pelbagai versi helikopter ini telah dan terus menjadi pilihan banyak negara- negara dunia ketiga, ia menunjukkan bahawa helikopter ini mudah untuk disenggara dan dikendalikan (dan juga mungkin harganya yang murah!).

Dua kritikan utama helikopter ini yang mungkin akan ditimbulkan adalah jangkauan operasinya yang tidak jauh dan ketidak-upayaan untuk helikopter ini untuk membawa bebanan persenjataan yang banyak. MD530G direka untuk pertempuran jarak dekat  dan bukannya membelasah lawan daripada jauh. Dalam banyak kempen insurgensi, pihak musuh sentiasa cuba untuk berada dekat dengan pasukan sahabat bagi menjadikan misi bantuan tembakan atau bantuan rapat udara sesuatu yang sangat merbahaya dan tinggi risiko untuk terkena pasukan sahabat. Disinilah perlunya helikopter tempur yang mampu untuk memberikan bantuan rapat udara dalam ertikata sebenarnya dan bukannya dengan cara mengebom daripada berkilometer jauhnya. Keupayaan untuk memberikan bantuan rapat udara dalam jumlah yang banyak juga penting untuk mematahkan serangan nekad pihak musuh atau setidak- tidaknya menyekat mereka daripada mara. Dalam misi sebegini, jangkauan operasi yang jauh mahupun keupayaan untuk membawa bebanan persenjataan dalam jumlah yang besar tidak penting. Apa yang penting adalah helikopter sentiasa berada di udara untuk memberikan bantuan tembakan bila diperlukan dan bantuan tembakan dapat diberikan dengan tepat. Saiz MD530G yang kecil bukan sahaja menjadikan ia satu sasaran yang sukar untuk ditembak oleh musuh tetapi juga menjadikan kawasan lapang kecil (seperti padang bola sekolah atau jalan kampung yang berturap) berdekatan dengan kawasan operasi boleh dijadikan kawasan sokongan hadapan helikopter ini menjadikan MD530G dapat mengisi bahan api dan peluru dengan pantas sebelum berlepas kembali untuk menyokong pasukan sahabat. Pun begitu, sekiranya senario berubah kepada perang konvensional, MD530G turut sama mampu bertindak seiring dengan keperluan semasa seperti memburu kereta kebal musuh kerana ia mampu untuk membawa peluru berpandu AGM-114 Helfire, ataupun melakukan serangan surgikal dengan menggunakan sistem peluru berpandu Griffin. Tidak ketinggalan juga misi OOTW seperti operasi mencari dan menyelamat atau menghantar bekalan makanan kepada kawasan- kawasan yang terjejas dengan banjir seperti kejadian banjir besar di Kelantan tidak lama dahulu. Sekali lagi saiz MD530G yang kecil memungkinkannya untuk mendarat di kawasan yang bersesuaian biarpun sempit, untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. (Rentaka)