Kisah strategi perang elektronik Rusia

May be an image of outdoorsFoto: Sistem EW Murmansk-BN milik Rusia

“Dukacita dimaklumkan bahawa anak puan telah mengalami kecederaan parah dalam pertempuran dan kini sedang dirawat di hospital”. Begitulah ucapan ringkas oleh seorang wanita yang mendakwa bahawa beliau adalah wakil daripada Kementerian Pertahanan.


Hati si ibu pantas direnggut perasaan kecewa, takut dan risau pada masa yang sama. Paginya yang indah tiba- tiba bertukar kelam. Jemarinya segera menekan skrin mencari nombor si anak yang tersimpan di dalam memori telefon bimbitnya. Sebaik menjumpai nombor telefon yang dicari, dengan pantas si ibu menekannya dan menunggu nada dering. Tapi hanya kehampaan yang kedapatan apabila mesej suara memberitahu bahawa telefon anaknya tidak aktif. Beliau mencuba lagi beberapa kali tetapi masih lagi mendapat mesej yang sama. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh si ibu tua melainkan mengalirkan air mata kesedihan.

Hari perlahan- lahan beransur petang. Si ibu hanya duduk terjelepuk dalam kesedihan dan putus asa. Sedikit makananpun tidak dijamah seharian lantaran selera makannya melayang entah ke mana sebaik menerima perkhabaran buruk tentang anaknya pagi tadi.

Tiba- tiba telefon bimbitnya berdering. Dilihat nama anak yang dirindui tertera pada skrin. Hati si ibu terus melonjak gembira. Tangannya terketar- ketar menekan skrin untuk menjawab panggilan. Suara anaknya yang menusuk di gegendang telinga terus mencairkan segala kedukaan yang bersarang di hatinya.

Dalam berbicara dengan anaknya, si ibu menceritakan segala apa yang terjadi. Si anak terkejut kehairanan kerana beliau tidak mengalami sebarang kecederaan, malah langsung tidak terlibat dengan sebarang pertempuran pada hari tersebut. Menganggapnya sebagai cuma satu kesilapan yang biasa berlaku di Kementerian Pertahanan, si anak menyakinkan si ibu bahaw beliau berada dalam keadaan yang sihat dan selamat walaupun sedang bertugas di barisan hadapan. Perbualan berakhir beberapa minit kemudian dengan si ibu berpuas hati dan yakin bahawa anaknya berada dalam keadaan selamat.

Sebaik meletakkan telefon, si anak segera mematikan kuasa pada telefon bimbitnya dan menyambung kembali kerjanya yang tertangguh. Si ibu tidak mengetahui bahawa si anak adalah merupakan sa;lah seorang komander yang paling bersinar bintangnya dalam tentera darat negaranya. Dengan hampir setiap operasi yang dirancang dan diketuainya sentiasa membuahkan kejayaan, beliau adalah salah seorang komander tentera yang diharapkan mampu untuk mematahkan serangan musuh.

Pun begitu hati si anak merasa sedikit gusar. Kisah yang diceritakan oleh ibunya membuatkan beliau merasakan sesuatu yang tidak kena. Akan tetapi si anak cuba membuang perasaan itu jauh- jauh dan meneruskan kembali kerjanya.

Tiba- tiba, telinganya menangkap bunyi desingan nyaring peluru artileri meluru ke lokasinya…
*******

Kisah ini RENTAKA adaptasikan daripada kisah benar yang berlaku ketika perang Rusia- Ukraine tidak lama dahulu. Taktik ini digunakan oleh pasukan EW Rusia dimana mereka sentiasa menggodam dan mencari nombor telefon bimbit anggota tentera Ukraine terutamanya komnder- komandernya. Tujuannya secara am adalah untuk melakukan perang psikologi secara menghantar mesej SMS untuk melemahkan semangat anggota tentera Ukraine dan menyebarkan maklumat palsu.

Akan tetapi ada satu lagi kegunaan nombor telefon yang dikumpul oleh pasukan EW Rusia iaitu mencari dan menentukan lokasi komander- komander tentera Ukraine terutamanya komander yang mempunyai prestasi yang bagus dalam pertempuran. Dalam hal ini, komander tentera Ukraine lazimnya akan mematikan telefon bimbit mereka dan hanya mengaktifkan beberapa ketika pada masa- masa tertentu untuk menerima dan membaca mesej atau SMS yang diterima. Lazimnya telefon bimbit diaktifkan beberapa minit- cukup untuk telefon menerima mesej tetapi tidak cukup masa untuk membolehkan pasukan EW Rusia mengesan lokasi mereka.

Dalam hal komander Ukraine yang kisahnya diceritakan ini, berkemungkinan prestasi beliau yang cemerlang di medan tempur telah memastikan nama beliau disenarai pendekkan oleh tentera Rusia untuk diburu.

Satu lagi taktik yang digunakan oleh pasukan EW Rusia adalah dengan menghantar mesej SMS kepada nombor telefon waris terdekat anggota tentera Ukraine , memberitahu bahawa anak/ adik/ abang mereka telah terkorban dalam pertempuran. Hasilnya waris terdekat tadi akan segera menghubungi anak/ adik/ abang/ saudara mereka. Sebaik sahaja panggilan tapi dijawab, pasukan EW Rusia akan mengesan lokasi penerima panggilan telefon dan menanda lokasi- lokasi tersebut. (#rentaka)Lokasi- lokasi yang dikesan mempunyai penerima panggilan telefon yang terbanyak bermakna lokasi- lokasi tersebut adalah merupakan samada pusat berkumpulnya tentera atau kedudukan briged mahupun divisyen tentera Ukraine. Bijak bukan?

Lokasi- lokasi ini kemudiannya akan diasak oleh tembakan artileri dan pelancar roket berganda.

Oh ya, bagi mereka yang tertanya- tanya tentang nasib komander tentera Ukraine yang kisahnya diceritakan di atas, beliau malangnya telah terkorban akibat serangan artileri yang ditujukan ke lokasinya yang dikesan apabila beliau menelefon ibunya.