Roket anti armor ringan M72 TDM

May be an image of one or more people, military uniform and outdoorsFoto: Panglima 10 Bgd (Para) Brig Jen Khairul Azmizal bin Ahmad Natal melancarkan roket M72 semasa Eks Iron Shield baru- baru ini. Kredit foto: Kompeni Bantuan 10 Briged Para

Salah satu perkara yang ditakuti oleh pasukan infantri adalah berhadapan dengan aset tentera musuh yang mana mereka samada tidak tahu ataupun tidak mempunyai cara untuk menanganinya. Semasa fasa awal Perang Korea misalnya, pasukan infantri Korea Selatan yang terpaksa berhadapan dengan kereta kebal T-34 85mm Korea Utara, seringkali melarikan diri daripada medan tempur. Ini adalah kerana Tentera Darat Korea Selatan langsung tidak memiliki sebarang senjata anti armor ringan. Oleh kerana itu kemunculan beberapa buah kereta kebal T-34 sahaja sudah cukup untuk mematahkan semangat juang pasukan infantri Korea Selatan.

Ketibaan pasukan bantuan Amerika sedikit membantu kerana mereka dilengkapi dengan senjata anti armor ringan M9/M9A1 Bazooka. Pun begitu prestasi Bazooka didapati tidaklah begitu efektif kerana ia hanya mampu menembusi hanya beberapa bahagian kereta kebal. Sekalipun jika roket Bazooka berjaya menembusi armor T-34, kepala peledaknya yang kecil tidak mampu untuk memusnahkan bahagian dalaman kereta kebal atau membunuh semua krewnya. Oleh itu T-34 masih boleh beroperasi meskipun ditembak oleh Bazooka berkali- kali. Dalam satu kerjadian, sebuah kereta kebal T-34 Korea Utara masih terus mara biarpun dihentam oleh tidak kurang 22 roket Bazooka. Disamping itu kepala peledak Bazooka didapati telah berkurangan keberkesanannya akibat terperap dalam simpanan. Hanya setelah pengenalan M20 Super Bazooka barulah ancaman kereta kebal Korea Utara dapat ditangani dengan berkesan.

Ancaman pasukan armor musuh terhadap pasukan infantri bukanlah sesuatu yang baru. Bagi menangani ancaman ini, pasukan infantri seringkali bergantung harap kepada pasukan artileri untuk memusnahkan pasukan armor musuh samada secara tembakan langsung atau tidak langsung. Namun begitu sokongan pasukan artileri tidak sentiasa ada. Malah seringkali pasukan infantri terpaksa mara dengan pantas meninggalkan sokongan artileri mereka jauh di belakang. Jelas sekali doktrin mengharapkan pasukan artileri menangani ancaman armor musuh tidak sesuai dalam peperangan yang pantas berubah medan hadapannya. Oleh kerana itu senjata anti armor ringan adalah amat diperlukan.

Kepesatan pembangunan kawasan bandar sejak 30 tahun yang lalu adalah salah satu mercu tanda pembangunan dan kemantapan ekonomi sesebuah negara. Oleh itu sebarang konflik masa kini mahupun di masa hadapan tidak dapat dielak daripada berlaku di kawasan bandar. Sebagai contoh, pertempuran Marawi berlaku di tengah- tengah bandar Marawi dan bukannya di kawasan pinggir bandar atau di dalam hutan seperti kelazimannya. Pertempuran yang berlanjutan selama hampir enam bulan tersebut memaksa tentera Filipina berperang dalam kawasan yang luar daripada kebiasaan di mana mereka tidak mempunyai pengetahuan berperang di kawasan sebegitu dan kawasan yang menawarkan banyak tempat berlindung dan membolehkan kumpulan kecil untuk menghadapi kumpulan lawan yang lebih besar dan lebih lengkap bersenjata.

Meskipun Tentera Darat Malaysia telah didedahkan kepada taktik peperangan dalam bandar malah mempunyai pusat latihan peperangan dalam bandar, sejauh mana persediaan TDM dalam menghadapi peperangan di kawasan sebegitu tidak diketahui. Malah pada sekilas pandang, tidak nampak TDM memiliki kelengkapan khusus untuk peperangan dalam bandar.

Pun begitu, TDM secara amnya suka bertindak dalam diam. Tidak seperti tentera darat negara lain yang gemar mengwar- warkan kegiatan dan mempamerkan kelengkapan perang mereka (sebagai sebahagian daripada strategi perang saraf mereka), terdapat kelengkapan perang atau keupayaan TDM hanya boleh diketahui jika benar- benar diamati atau dikaji.

Umum mengetahui bahawa tidak lama dahulu TDM diberitakan mula memperkenalkan senjata anti armor ringan M72 untuk memberi keupayaan anti armor kepada pasukan infantri TDM. Mula diperkenalkan secara meluas semasa Perang Vietnam, M72 telah terbukti berkesan terhadap kenderaan armor ringan musuh mahupun kubu dan bunker. Meskipun digunakan secara meluas oleh banyak negara, M72 mempunyai beberapa kelemahan ketara iaitu ia menghasilkan anjalan gas roket sehingga ke jarak 40 meter daripada belakang pelancar. Ini bukan sahaja bermakna tidak boleh dilancarkan daripada kawasan sempit seperti bilik ataupun bangunan, anggota yang mengendalikan M72 juga perlu memastikan tiada anggota sahabat yang berada atau melintas di belakangnya sebelum roket dilancarkan. Dalam perkhidmatan Tentera Darat dan Marin Amerika, M72 telah digantikan dengan senjata anti armor ringan AT4 yang mempunyai prestasi yang jauh lebih baik.

Jika begitu, mungkin ada yang tertanya mengapa TDM membeli senjata anti armor yang seperti sudah ketinggalan zaman?

Benar, M72 mula dibangunkan pada tahun 1959. Ia mula dihasilkan pada tahun 1963 dan penghasilan M72 ditamatkan pada tahun 1983. Ini bermakna usia rekaan M72 telah menjangkau 60 tahun!

Walaupun rekaannya telah usang dan telah digantikan oleh AT4 dalam perkhidmatan Tentera Darat Amerika, ia telah diberikan nafas baru oleh firma Nammo Roufoss AS dari Norway. Malah, beberapa kelemahan ketara pada M72 telah diperbaiki diantaranya menghasilkan varian M72 yang boleh dilancarkan daripada dalam bilik atau kawasan sempit tanpa mengurangkan kuasa penembusan armornya. Ini bermakna M72 sangat sesuai untuk digunakan dalam peperangan bandar.

Dalam operasi- operasi perang dalam bandar di Iraq dan Afghanistan, anggota tentera Amerika lebih gemar membawa M72 berbanding AT4 kerana M72 jauh lebih ringan (iaitu 3.5kg berbanding AT4 CS yang seberat 8kg) dan mengizinkan lebih banyak M72 boleh dibawa oleh satu- satu unit. Lazimnya seorang anggota boleh membawa 2 M72 berbanding 1 AT4. Disamping itu saiz M72 yang kompak memudahkan anggota membawa dan mengendalikannya berbanding AT4 yang panjang.

Ramai yang beranggapan TDM menggunakan M72 untuk tugas anti armor. Walaubagaimanapun #RENTAKA percaya bahawa TDM turut memilki varian yang dikenali sebagai M72 ASM RC (Anti Structure Munition Reduced Caliber) yang mana sasarannya adalah kumpulan musuh yang berlindung di dalam bangunan atau struktur konkrit. Uniknya varian M72 ini adalah ia boleh memusnahkan satu bilik tanpa menjejaskan bilik bersebelahan, menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam situasi seperti yang berlaku di Marawi dimana anggota pengganas berkubu di bangunan yang terdapat orang awam di dalamnya sekaligus menghalang pihak tentera daripada menembak kerana takut terkena orang yang tidak bersalah.

Akan tetapi mampukah M72 memusnahkan MBT. Secara amnya kuasa penembusan kepala peledak M72 tidak mampu menembusi armor MBT kecuali dalam keadaan- keadaan tertentu. Pun begitu, sasaran utama M72 bukanlah MBT tetapi kenderaan tempur dan kereta perisai yang mengiringi MBT. Secara amnya kenderaan tempur memiliki armor yang lebih nipis dan lebih mudah untuk ditembusi oleh senjata anti armor ringan seperti M72.

#rentaka
#10BrigedPara
#M72

Most Read